Monday, January 2, 2012

Selamat Datang Batch 18

.
Segala-gala sudah disiap diatur untuk menyambut kedatangan warga baru SMA Maahad al-Mizan (Tingkatan 1) pada hari Selasa 3 Januari ini. Kumpulan pelajar tingkatan 1 ini merupakan batch ke-18 sekolah ini semenjak ianya ditubuhkan pada tahun 1995 dulu. Begitu juga dengan pelajar-pelajar Tingkatan 2, 3, 4 dan 5 yang akan balik ke 'wilayah al-Mizan' pada hari sama. Jadi bayangkan betapa sibuknya hari Selasa nanti dengan kehadiran kesemua 608 orang pelajar sekolah ini bersama keluarga masing-masing.


Guru-guru telah dibahagi-bahagikan tugas untuk menerima anak-anak didik ini. Beberapa jawatankuasa kerja telah dibentuk bagi melancarkan perjalanan pendaftaran, penempatan asrama dan sebagainya pada hari itu. Kami amat berbesar hati menerima anak-anak yang bakal menjadi ulamak (orang yang berilmu) pada masa akan datang ini.

Kepada pelajar-pelajar baru ini beserta keluarga masing-masing, diucapkan tahniah dan 'ahlan wasahlan wa marhaban bikum' kerana terpilih masuk ke sekolah ini. Anda sangat bertuah kerana lebih 200 orang lagi yang menduduki ujian kemasukan ke sini gagal ditawarkan kerana tempat yang terhad. Semoga sekolah ini akan dapat melahirkan insan yang gemilang dan berkualiti mulia serta berakhlak Islam sebagaimana misi sekolah ini ditubuhkan.

Beberapa kain rentang telah siap dipasang bagi meraikan kehadiran batch 18..

Kain rentang ucapan tahniah kepada calon-calon PMR juga siap dipasang di dalam kawasan sekolah.

.

No comments:

Post a Comment