Saturday, January 28, 2012

Di sebalik ‘jangan terlalu kerap balik…’

.

Semasa para pelajar balik kampung sempena cuti Tahun Baru Cina pada hujung minggu lepas, pihak sekolah membekalkan mereka dengan sekeping surat yang memberi tahu jadual balik kampung sepanjang tahun ini. Di dalam jadual itu, secara keseluruhannya pada tahun ini para pelajar akan balik ke kampung setiap dua minggu sekali.

Jadi apa yang menariknya?

Dalam mesyuarat Jawatan kuasa PIBG sekolah ini baru-baru ini, beberapa orang ahli jawatankuasa di kalangan ibubapa menyatakan jadual itu terlalu kerap balik ke kampung. Mereka risau pelajar-pelajar kelas peperiksaan tak cukup masa untuk belajar. Katanya, budak-budak itu jika di rumah tak mahu membaca buku atau mengulangkaji pelajaran… sebaliknya asyik dengan menonton TV, membuka Lap Top ber ‘facebook’ atau pun menonton ‘you tube’.

Di dalam satu kelas yang saya masuk sebagai ‘guru relief’, saya menceritakan kepada mereka yang ibubapa mereka ‘lebih suka’ mereka berada di asrama daripada berada di rumah. Secara spontan budak-budak itu menjawab ‘tidak betul’ dan tidak bersetuju dengan pernyataan saya itu.

Mereka berkata, mereka perlu balik dan jadual balik kampung dua minggu sekali itu , Ok.

Dua situasi ini menyebabkan saya berfikir.

(1) Ibubapa sangat mengharapkan anak-anaknya belajar bersungguh-sungguh di bawah bimbingan guru-guru di sekolah atau di asrama. Mereka tak mampu untuk mengajar anak-anak sendiri di rumah. Sebab itu mereka rasa ‘rimas’ kalau anak-anak kerap balik kampung dan tidak tahu mengulangkaji sendirian.

(2) Ibubapa lebih rela kerap datang ke sekolah menjenguk anak-anak untuk melepaskan rindu. Mereka rela datang setiap minggu dan duduk berjam-jam sambil makan dan berbual-bual dengan anak-anaknya. Malahan ada ibubapa ‘dek terlalu rindu’ kepada anak-anak sampai tak mematuhi peraturan waktu melawat anak-anak. Ada yang datang sebelah malam dari jauh semata-mata kununnya nak hantar butang baju anak! Walhal sepatutnya di’ajar’ sedikit anak itu kenapa tinggalkan butang baju. Peraturan waktu ibubapa melawat hanya pada hari Sabtu dan Ahad. Itupun dari jam 10.00 pagi hingga 5.30 petang saja.

(3) Hujah AJK PIBG yang mahukan anak tidak terlalu kerap balik kampung, patut disedari oleh para guru-guru, betapa besarnya harapan dan kepercayaan mereka kepada guru-guru untuk membimbing anak-anak mereka supaya menjadi manusia yang cemerlang dan berjaya. Jadi sebagai guru, saya ambil yang positif!

(4) Oleh yang demikian, saya dan guru-guru juga patut berkorban masa dan tenaga untuk mengajar lebih masa atau di hujung minggu jika diperlukan. Walaupun kita adalah guru, tetapi kita juga adalah ibu bapa. Mungkin kita juga akan mempunyai anak-anak yang belajar di asrama. Kita juga akan berpendapat yang sama dengan AJK PIBG supaya anak kita tidak terlalu kerap balik. Kita juga akan berpendapat supaya guru-guru sekolah anak kita akan mengajar anak-anak kita sehingga pada hari Sabtu dan Ahad.

(5) Di sini saya teringat kata-kata seorang Ketua Sektor di JPN suatu masa dulu. Katanya, dia tak ada masa untuk mengajar anak-anaknya kerana sibuk dengan tugas-tugas. Namun Alhamdulillah semua anaknya berjaya di dalam pelajaran. Katanya, Dia percaya "jika kita mengajar anak orang dengan bersungguh-sungguh, orang lain akan mengajar anak kita juga dengan bersungguh-sungguh!

.

1 comment:

  1. Pada pendapat saya, harapan ibubapa itu tidak salah.Walaubagaimana pun, ibu bapa telah diberi amanah iaitu "anak". Kita sebagai guru ada 2 amanah iaitu kerja mendidik dan juga anak.Bagi saya duit boleh dicari tetapi bagi ibu bapa yang bekerja seperti yang cikgu sebutkan (Peg JPN tersebut) sehingga tidak ada masa mengajar anak adalah kurang wajar.Touch drp guru adalah berbeza dgn touch drp ibu bapa sbg darah daging sdiri.nilai-nilai baiti jannati juga perlu diterapkan dalam diri anak-anak agar tidak mengabaikan org tua kelak.Tetapi saya juga berpegang pd kata-kata jika kita ikhlas mengajar anak org lain,insyaAllah anak kita juga mendapat bahagian yang sama dari pihak lain.Sebab itu walau sesibuk mana saya di sekolah,saya akan cari ruang untuk melawat anak-anak saya yang berada dalam jagaan ibu saya di Klang walaupun terpaksa ulang alik dalam hari yang sama.

    ReplyDelete