Saturday, January 28, 2012

Pilihanraya Memilih Ketua Umum

.
Pada minggu ini telah dijalankan pemilihan Ketua Umum SMA Maahad Al Mizan. Pemilihan dilakukan oleh guru-guru dan juga oleh rakan-rakan pelajar. Bagi para pelajar, apa yang menarik, satu 'pilihanraya' telah diadakan bagi para pelajar memilih calon-calon ketua umum dan penolong ketua umum ini...
Di dalam pilihanraya ini, calon-calon dibenarkan berkempen bagi memperkenalkan diri dan diberi peluang 'berpidato' menyatakan 'kekuatan' masing-masing.

Antara poster yang dipasang di kawasan laluan utama.

Sudut pidato, "Pilihlah saya! Jika saya terpilih saya akan... bla, bla, bla.....

Kumpulan penyokong ini menyediakan kain rentang bagi menarik perhatian "pengundi-pengundi"

Proses mengundi sedang dijalankan....

Lihatlah peti undinya, tak bertutup.... kalau kat luar, ini boleh berlaku penyelewengan!

Para pemenang mengangkat ikrar menjalankan tugas sebagai ketua pelajar untuk tahun 2012.

.

Di sebalik ‘jangan terlalu kerap balik…’

.

Semasa para pelajar balik kampung sempena cuti Tahun Baru Cina pada hujung minggu lepas, pihak sekolah membekalkan mereka dengan sekeping surat yang memberi tahu jadual balik kampung sepanjang tahun ini. Di dalam jadual itu, secara keseluruhannya pada tahun ini para pelajar akan balik ke kampung setiap dua minggu sekali.

Jadi apa yang menariknya?

Dalam mesyuarat Jawatan kuasa PIBG sekolah ini baru-baru ini, beberapa orang ahli jawatankuasa di kalangan ibubapa menyatakan jadual itu terlalu kerap balik ke kampung. Mereka risau pelajar-pelajar kelas peperiksaan tak cukup masa untuk belajar. Katanya, budak-budak itu jika di rumah tak mahu membaca buku atau mengulangkaji pelajaran… sebaliknya asyik dengan menonton TV, membuka Lap Top ber ‘facebook’ atau pun menonton ‘you tube’.

Di dalam satu kelas yang saya masuk sebagai ‘guru relief’, saya menceritakan kepada mereka yang ibubapa mereka ‘lebih suka’ mereka berada di asrama daripada berada di rumah. Secara spontan budak-budak itu menjawab ‘tidak betul’ dan tidak bersetuju dengan pernyataan saya itu.

Mereka berkata, mereka perlu balik dan jadual balik kampung dua minggu sekali itu , Ok.

Dua situasi ini menyebabkan saya berfikir.

(1) Ibubapa sangat mengharapkan anak-anaknya belajar bersungguh-sungguh di bawah bimbingan guru-guru di sekolah atau di asrama. Mereka tak mampu untuk mengajar anak-anak sendiri di rumah. Sebab itu mereka rasa ‘rimas’ kalau anak-anak kerap balik kampung dan tidak tahu mengulangkaji sendirian.

(2) Ibubapa lebih rela kerap datang ke sekolah menjenguk anak-anak untuk melepaskan rindu. Mereka rela datang setiap minggu dan duduk berjam-jam sambil makan dan berbual-bual dengan anak-anaknya. Malahan ada ibubapa ‘dek terlalu rindu’ kepada anak-anak sampai tak mematuhi peraturan waktu melawat anak-anak. Ada yang datang sebelah malam dari jauh semata-mata kununnya nak hantar butang baju anak! Walhal sepatutnya di’ajar’ sedikit anak itu kenapa tinggalkan butang baju. Peraturan waktu ibubapa melawat hanya pada hari Sabtu dan Ahad. Itupun dari jam 10.00 pagi hingga 5.30 petang saja.

(3) Hujah AJK PIBG yang mahukan anak tidak terlalu kerap balik kampung, patut disedari oleh para guru-guru, betapa besarnya harapan dan kepercayaan mereka kepada guru-guru untuk membimbing anak-anak mereka supaya menjadi manusia yang cemerlang dan berjaya. Jadi sebagai guru, saya ambil yang positif!

(4) Oleh yang demikian, saya dan guru-guru juga patut berkorban masa dan tenaga untuk mengajar lebih masa atau di hujung minggu jika diperlukan. Walaupun kita adalah guru, tetapi kita juga adalah ibu bapa. Mungkin kita juga akan mempunyai anak-anak yang belajar di asrama. Kita juga akan berpendapat yang sama dengan AJK PIBG supaya anak kita tidak terlalu kerap balik. Kita juga akan berpendapat supaya guru-guru sekolah anak kita akan mengajar anak-anak kita sehingga pada hari Sabtu dan Ahad.

(5) Di sini saya teringat kata-kata seorang Ketua Sektor di JPN suatu masa dulu. Katanya, dia tak ada masa untuk mengajar anak-anaknya kerana sibuk dengan tugas-tugas. Namun Alhamdulillah semua anaknya berjaya di dalam pelajaran. Katanya, Dia percaya "jika kita mengajar anak orang dengan bersungguh-sungguh, orang lain akan mengajar anak kita juga dengan bersungguh-sungguh!

.

Monday, January 23, 2012

Hj Azizi Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah Yang Baru.


.

Pada hari Jumaat yang lepas telah diadakan mesyuarat Jemaah Pengurusan Sekolah SMA Maahad Al Mizan kali pertama untuk tahun 2012 ini. Di dalam mesyuarat ini telah dilantik Jawatankuasa Jemaah Pengurusan Sekolah yang baru. Di dalam pengurusan Sekolah-sekolah Agama Rakyat, SMAN dan SABK, Jemaah Pengurusan Sekolah (JPS) adalah jawatan kuasa yang penting dan nama ahli-ahli jemaah pengurusan ini mesti dihantar untuk dilantik secara rasmi oleh Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk).

Berikut ialah nama ahli JPS yang baru. Pengerusi ialah Alfadhil Ustaz Hj Azizi bin Hj Ghazali. Timbalan Pengerusi ialah Ustaz Hj Ahmad Zahawir bin Saaya (muka baru dalam JPS). Setiausaha ialah Tn Pengetua, Ustaz Hj Megat Radzuan b. Megat Taib, manakala Bendahari ialah Guru Penolong Kanan, Tn Hj Ahmad Zuhairi b Hj Zakaria.

Ahli-ahli Jawatankuasa JPS pula ialah Ustaz Ahmad b. Puteh Othman, En Megat Kamalul Bahrin b. Megat Muhammad, En Musa bin Saaya, Ustaz Yusof b Hj Mahyuddin, Ustaz Mohd Kamalul Abrar b Hj Zakaria dan Ustazah Hjh Meriyam b Hj Abdul Latif (muka baru dalam JPS).

Ustaz Hj Azizi yang diamanahkan sebagai pengerusi JPS yang baru, adalah AJK JPS sejak sekolah ini belum ditubuhkan lagi. Beliau adalah ‘orang kuat’ semasa gerakan memungut derma orang ramai bagi menubuhkan sekolah Maahad Al Mizan sejak tahun 1994 dulu. Beliau tanpa segan silu telah mengumpulkan derma dari orang ramai, khususnya semasa beliau menjadi guru Tabung Haji dan semasa menjalankan tugas sebagai Naib Kadi.

Semoga Jemaah Pengurusan yang baru ini dapat menjalankan amanah yang diberi dengan amat baik sekali, Insya-Allah.


“Penghinaan dijadikan Perkara Yang Positif”

.

Di sebuah telaga minyak di Arab Saudi, di akhir tahun 40-an….

Seorang pegawai berpangkat rendah, remaja tempatan Arab Saudi, merasa haus dan bergegas mencari air untuk membasah tekaknya kering. Diaa begitu gembira ketika melihat air sejuk didepannya dan dengan cepat dia mengisi air sejuk ke dalam gelas.

Belum sempat dia minum, tiba-tiba dia terhenti kerana sebuah herdikan: “Woi, kamu tidak boleh minum air ini. Kamu cuma pekerja rendah. Air ini hanya khas untuk jurutera” Suara itu berasal dari mulut seorang jurutera Amerika yang bekerja di perniagaan tersebut.

Remaja itu akhirnya hanya terdiam menahan haus. Dia tahu dia hanya anak miskin lulusan sekolah asas. Kalaupun ada pendidikan yang dibanggakan, dia lulusan lembaga Tahfiz Quran, tapi kepakarannya itu tidak ada harganya di syarikat minyak yang semasa itu masih dikendalikan oleh Amerika.


Herdikan itu selalu terngiang-ngiang di telinganya. Dia selalu bertanya-tanya: Kenapa ini terjadi padaku? Kenapa segelas air sahaja dilarang untuk ku? Apakah kerana aku pekerja rendahan,sedangkan mereka jurutera ? Apakah kalau aku jadi jurutera aku boleh minum? Apakah aku boleh jadi jurutera seperti mereka?

Pertanyaan ini selalu tengiang-ngiang dalam dirinya. Kejadian ini akhirnya menjadi momentum baginya untuk membangkitkan “SIKAP POSITIF” . Muncul komitmen dalam dirinya. Remaja miskin itu bekerja keras siang hari dan bersekolah pada malam hari. Hampir setiap hari dia kurang tidur untuk mengejar citanya.

Banyak juga kata-kata melemahkan semangat yang diterima dari rakan-rakannya tapi dia tidak ambil peduli. Hasil kerja kerasnya mendapat hasil. Dia akhirnya lulus dalam peperiksaan dengan cemerlamg. Dia kemudai ditawarkan menyambung pelajaran ke Amerika mengambil jurusan bidang teknik dan master bidang geologi. Pemuda ini lulus dengan hasil memuaskan. Seterusnya dia pulang ke negerinya dan menjadi seorang jurutera.

Kini dia sudah menaklukkan ”rasa sakit”nya, kembali sebagai jurutera dan boleh minum air yang dulu dilarang baginya.

Apakah sampai di situ sahaja? Tidak, kariernya terus berkembang dengan pesar. Hasil kerja kerasnya, kerjayanya melonjak dari ketua bahagian, ketua cawangan, pengurus sehingga akhirnya dia menjawat jawatan sebagai wakil pengarah, jawatan tertinggi yang boleh dicapai oleh orang tempatan semasa itu.

Ketika ia menjawat wakil pengarah, jurutera Amerika yang dulu pernah mengusirnya, kini menjadi orang bawahannya. Suatu hari jurutera tersebut datang menghadap kerana ingin minta izin untuk bercuti dan berkata; “Aku ingin memohon cuti panjang, saya berharap anda tidak mengaitkan kejadian air di masa lalu dengan pekerjaan rasmi ini. Aku berharap Anda tidak membalas dendam, atas kekasaran dan keburukan tingkahlaku aku di masa lalu”

Jawapan pengarah bekas pekerja bawahan ini: “Aku ingin berterimakasih kepadamu kerana kau melarang aku minum semasa itu. Ya dulu aku sangat benci padamu. Tapi, setelah izin Allah, kamu lah aku berusaha hingga aku meraih kejayaan ini.”

Kini sikap positfnya sudah membuahkan hasil, lalu apakah ceritanya sampai di sini?

Tidak. Akhirnya bekas pegawai bawahan ini mendapat jawatan tertinggi di perniagaan tersebut. Dia menjadi Presiden Pengarah pertama yang berasal dari bangsa Arab.

Tahukan kamu apa perniagaan yang dipimpinnya? Perusahaan itu adalah Aramco (Arabian American Oil Company)perniagaan minyak terbesar di dunia. Ditangannya perniagaan ini semakin membesar dan kepemilikan Arab Saudi semakin dominan. Kini perusahaan ini menghasilkan 3.4 juta barrels (540,000,000 m3) dan mengendalikan lebih dari 100 ladang pusat gas di Arab Saudi dengan total cadangan 264 billiom barrels (4.20×1010 m3) minyak dan 253 triliun cadangan gas.

Di atas prestasinya, dia dilantik oleh Raja Arab Saudi untuk menjawat jawatan sebagai Menteri Minyak dan Mineral yang mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap dunia.

Ini adalah kisah benar Ali bin Ibrahim Al-Naimi yang sejak tahun 1995 sehingga sekarang (2012) menjawat Menteri Minyak dan Mineral Arab Saudi.

Bayangkan, hanya dengan mengembangkan penghinaan menjadi perkara yang positif, isu air segelas di masa lalu membentuknya menjadi salah seorang penguasa minyak yang paling berpengaruh di seluruh dunia.

Mohon izin untuk berkongsi dari

http://www.isuhangat.net/2012/01/segelas-air-untuk-engineer/





Saturday, January 21, 2012

Cerita Rabiatul Adawiyah




Rabiatul Adawiyah adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah Ta'ala. Kesabaran dan perjuangan harus dicontohi oleh wanita islam hari ini. Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati Allah, akhirnya di memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup.


Kisah bermula pada zaman dahulu di mana kejahilan menyelebungi masyarakat arab kebanyakan sekolah agama telah ditutup. Ayah Rabiatul Adawiyah adalah guru agama tapi terpaksa menjadi pendayung sampan. Untuk menarik minat orang menaiki sampannya dia akan mendendangkan lagu yang merdu ketika mendayung sampan. Rabiatul Adawiyah sentiasa disamping ayahnya hinggalah dia dewasa, apabila ayahnya meninggal dunia. Dia menggantikan tempat ayah sebagai pendayung sampan dan mendendangkan lagu yang merdu. Mendengarkan suaranya yang merdu itu menarik hati seorang lelaki untuk membawanya untuk dipersembahkan kepada raja dan dia terpaksa berkhidmat untuk raja. Setiap hari dia menyanyi dan menuang arak kepada raja dan tetamu raja.


Suatu hari timbul kesedaran di hatinya merasa insaf dengan segala perbuatannya kerana kejahilannya itu sedangkan bapanya adalah seorang guru agama. Dari hari itu Rabiatul Adawiyah tidak mahu lagi menyanyi dan menuang arak. Dia sering duduk bersendirian berzikir kepada Allah. Dia juga diseksa oleh raja dengan kerja yang berat. Pernah suatu hari pengawal raja disuruh melepaskan ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiatul Adawiyah kerana raja tidak senang melihat dia sentiasa berzikir. Tetapi akhirnya ular tersebut menerkam pengawal raja. Rabiatul Adawiyah tetap tenang, walaupun dia tidak diberi makan dia tetap mampu menjalankan ibadat kepada Allah. Apabila raja mengintainya di dalam bilik, kelihatan dia sedang munajat memohn doa kepada Allah. di dalam kegelapan biliknya kelihatancahaya yang menyuluh ke arahnya. Pada suatu malam raja bermimpi seorang tua datang dan mengatakan supaya melepaskan Rabiatul Adawiyah dan jangan lagi menyiksanya kemudia raja melihat Rabiatul Adawiyah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Beliau terus ke bilik Rabiatul Adawiyah untuk melihat sama ada Rabiatul Adawiyah masih ada atau sudah pergi. Kelihatan Rabiatul Adawiyah masih berzikir dan berdoa.


Sampai habis tempoh masa Rabiatul berkhidmat dengan raja, akhirnya dia dilepaskan oleh raja. Rabiatul Adawiyah berterima kasih kepada raja dan tidak meminta apa-apa daripada raja walaupun raja memberi peluang kepadanya untuk meminta apa saja sebelum dia pergi. Apabila dia pulang ke kampungnya, rumah telah roboh dan penduduk kampungnya juga ramai yang telah berpindah. Dia meminta orang menyediakan sebuah pondok kecil untuknya. Pada suatu malam, seorang pencuri terpandang pondok Rabiatul Adawiyah lalu dia ingin pergi mencuri di situ. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang solat. Dia tidak menjumpai apa-apa di dalam rumah Rabiatul Adawiyah melainkan sebiji tempayan. Lalu dia merasa kecewa dan ingin bunuh Rabiatul Adawiyah. Apabila dia mengeluarkan pisau dan ingin menikam Rabiatul Adawiyah tiba-tiba dia menjadi keras dan pisaunya terjatuh. Rabiatul Adawiyah terkejut. Rabiatul mengatakan pada pencuri itu ambillah apa yang dia inginkan jika dia seorang pencuri tetapi mengapa ingin membunuhnya. Lalu dia menyuruh pencuri itu mengambil wudhuk dan bersolat serta memohon pada Allah apa yang dia inginkan. Lalu pencuri itu bersolat dan meinta pada Allah agar mendapat rezeki yang banyak supaya dia tidak perlu menjadi pencuri lagi.


Pada masa yang sama diluar kelihatan kereta kuda yang membawa banyak harta yang menuju ke arah pondok Rabiatul Adawiyah. Raja menghantar orang untuk memberi Rabiatul Adawiyah harta yang banyak. Apabila orang itu datang menemui Rabiatul Adawiyah kerana ingin menyerahkan harta itu, Rabiatul Adawiyah mengatakan dia tidak pernah meminta harta dari Allah tetapi orang disebelahnya yang memohon kepada Allah jadi berikanlah harta itu kepada orang yang memintanya. Pencuri itu gembira kerana mendapat harta dan dia membuat sebuah mahligai yang indah. Pada suatu hari ada seorang lelaki menemui pencuri itu dan bertanya bagaimana dia mendapat harta yang begitu banyak dalam sekelip mata. Dia pun menceritakan kisahnya kepada lelaki itu. Lelaki itu menjelaskan kepadanya bahawa wanita yang ditenuinya itu adalah wali Allah. Dia berasa terkejut dan menyesal kerana tidak berterima kasih kepada Rabiatul Adawiyah lalu dia ke pondok rabiatul Adawiyah untuk menemuinya. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang nazak. Akhirnya Rabiatul Adawiyah pergi menemui kekasihnya.


Doa agung Rabi'ah Al-Adawiyah

" YA ALLAH DEMI KASIH MU KEPADA KU ,AKU YANG LEMAH BERMOHON KEPADA MU... Ya Allah, jika aku menyembah-Mu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka-Mu, dan jika aku menyembah-Mu kerana mengharapkan syurga -Mu, campakkanlah aku dari dalam syurga; tetapi jika aku menyembah -Mu demi Engkau semata, janganlah enggan memperlihatkan keindahan wajah-Mu yang abadi kepadaku" "Ya Allah, segala jerih payahku dan semua hasratku di antara segala kesenangan dunia adalah untuk mengingati Engkau. Dan di akhirat nanti, di antara segala kesenangan akhirat, adalah untuk berjumpa dengan-Mu"



p/s mulakan berdoa dengan yang berhuruf besar dan yang lain lain tu mohon lah apa yang kita hajatkan
inshaallah ...

Dipetik dari:

http://mencariygbenar.blogspot.com/2012/01/tips-berdoa-mengikut-rabiatul-adawiyah.html