Sunday, October 30, 2011

TAKWIM PERSEKOLAHAN 2012

.





Sekolah tak dibenar pilih BI ajar matematik/sains

.

Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata pihak kementerian itu tidak akan membenarkan sekolah memilih bahasa untuk pengajaran matematik dan sains kerana ini akan menyukarkan keadaan.

Menurut Muhyiddin, menyediakan pilihan akan menimbulkan masalah dalam perancangan.

Katanya, jika sekolah dibenarkan membuat pilihan, keadaan akan menjadi kucar-kacir dalam sistem pendidikan.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata, adalah sukar bagi kementerian untuk menyediakan guru jika sekolah memilih untuk mengajar dalam bahasa Inggeris, atau dalam Bahasa Melayu.

Kumpulan pendesak yang terdiri daripada ibu bapa meminta kerajaan membenarkan sekolah memilih bahasa pengantar bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut berikut perubahan dasar untuk kembali mengajar dalam Bahasa Malaysia.
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) harus dihormati dan diterima baik semua pihak.

Katanya, ini kerana sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak-anak mereka mempelajari sains dan matematik di sekolah.

"Sukar bagi Kementerian Pelajaran untuk merancang cara bagaimana sebuah sekolah mahukan bahasa Inggeris, manakala yang sebuah lagi mahukan bahasa Melayu dan bagaimana pula untuk menyediakan guru-gurunya.

"Pada hari ini kita tahu sesetengah guru bahasa Inggeris kita pun tidak berapa cekap...jadi kalau sesetengah sekolah nak bahasa Inggeris (tetapi) sekolah itu tidak mempunyai guru Bahasa Inggeris yang baik (maka) ia tidak akan tercapai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VIII di ibunegara hari ini.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran memberi jaminan bahawa kepentingan penguasaan bahasa Inggeris tidak akan diketepikan setelah PPSMI dimansuhkan.

"Kita sedar mungkin sebahagian daripada mereka itu menghendaki supaya kita tidak mengetepikan bahasa Inggeris...mereka punya kebimbangan kalau perubahan dasar ini bermakna bahasa Inggeris itu tidak diberikan perhatian.

"Sebab itu kita ubah dari PPSMI kepada MBMMBI kerana kedua-duanya ada... bahasa Melayu untuk kita martabatkan dan bahasa Inggeris untuk kita perkukuhkan," katanya.

Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) sebelum ini mendesak kerajaan agar mengekalkan PPSMI dengan mendakwa bahawa ramai kalangan ibu bapa mahu supaya PPSMI terus dikekalkan atau memberi pilihan kepada ibu bapa yang masih mahu mengekalkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka.

Muhyiddin juga percaya dasar MBMMBI yang dilaksanakan mulai tahun ini bagi murid Tahun 1 melalui pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu itu akan membuahkan hasil dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Saya telah perkenalkan beberapa inisiatif, contohnya kita sudah ubah kurikulum pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah secara yang lebih menarik, lebih berkesan dan kita sudah tambah waktu pembelajarannya daripada 240 minit kepada 300 minit seminggu.

"Kemudian kita bawa masuk guru-guru penutur jati yang sudahpun ditempatkan di seluruh negara sebagai 'Master Teacher'. Pendekatan ini dilihat amat berkesan kerana mereka memantau guru-guru yang mengajar bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di seluruh negara.

"Kita juga melatih lebih ramai guru di Institut Perguruan Malaysia iaitu jumlahnya 10,000 guru yang nanti akan membimbing pembelajaran dalam bahasa Inggeris," katanya.

.

Friday, October 21, 2011

Majlis "Seraut Kaseh Tentra Batch 13"






Minggu lepas, dua orang pelajar perempuan tingkatan 5 menjemput saya untuk hadir ke majlis Jamuan Akhir Tahun Tingkatan 5. Katanya majlis itu akan diadakan pada 20 Oktober, hari Khamis. Saya kata, Insya-Allah saya akan datang! Kemudian mereka menambah, “cikgu!, temanya putih, hitam dan kelabu”

Saya pun lantas bertanya, saya kena pakai baju kelabu ke?, Jika ada pakailah cikgu!


Masa itu saya teringat sewaktu saya hadir di suatu majlis anak saya di SBPI Rawang beberapa tahun lalu. Dalam surat jemputan, meminta para hadirin memakai baju warna ungu. Temanya Ungu! Nak tahu, masa itu, saya membeli baju baru warna ungu untuk hadir!

Sekarang nak pakai baju putih, hitam atau kelabu. Hari Khamis pakai batik…. Ha, Nasib baik saya ada batik warna kelabu!

Bila sampai hari yang dinanti, saya pakai batik warna lain, bukan kelabu. Saya lihat cikgu-cikgu lain pun tak pakai baju kelabu kecuali beberapa orang sahaja yang ‘sporting’.

Yang nak saya catatkan di sini, betapa para pelajar zaman sekarang begitu mengikut ‘edaran masa’. Zaman mereka berlainan dengan zaman kita belajar dulu. Kita dulu tak terfikir pun nak buat macam itu… Sekarang ni ada bertema-tema pulak! Macam orang buat kenduri kahwin sekarang pun ada tema. Contohnya, pink. maka semuanya warna pink. Pakaian ahli keluarga warna pink, khemah warna pink, alas meja warna pink, dan bunga telor juga warna pink. Mungkin air sirapnya juga warna pink!

Anak perempuan saya yang duduk di asrama sekarang pun ada dua pasang baju khas yang serupa dengan kawan-kawannya. Satu baju ‘batch’ mereka dan satu lagi baju Jawatankuasa asrama sebab dia jadi SU Asrama. Baru-baru ini dia balik rumah bawa kain lagi suruh buat baju. “Dah pakat dengan kawan-kawan nak datang ke sekolah semasa ambil result SPM nanti pakai baju tu”….



Gambar berikut sekitar majlis Jamuan Akhir Tahun pelajar ting. 5 sekolah saya. Batch mereka batch 13 atau dinamakan juga batch ‘seven eleven’ sebab mereka masuk tahun 2007 dan keluar tahun 2011.




Lihatlah pelajar memakai baju kelabu yang seragam





Pelajar lelaki menyampaikan hadiah kepada Tn Pengetua, juga pakai baju ikut tema, 'kelabu'!



Sebahagian guru yang hadir di majlis Jamuan "Seraut Kaseh Tentra" itu. Apa pun terima kasih kerana menjamu cikgu-cikgu makan....


Wednesday, October 19, 2011

Program Selepas PMR di Al Mizan


.
Program Selepas PMR tahun ini dilaksanakan agak berlainan dengan program tahun-tahun lepas. Kita mengambil pendekatan yang lebih memberi menafaat kepada para pelajar di samping memberi pendidikan, pengalaman dan ilmu yang berguna kepada para pelajar tingkatan 3.

Kalau pada tahun-tahun yang lepas, aktiviti yang mengisi program selepas PMR banyak berupa sukan dan permainan, tetapi pada tahun ini, programnya dibahagikan kepada dua slot setiap hari. Slot pertama iaitu dari jam 7.30 pagi hingga jam 10.00 pagi, para pelajar akan berkebun, satu pendekatan yang menaikkan derajat ‘pertanian’ di kalangan para pelajar. Dari segi kesihatan, aktiviti berkebun ini juga mengeluarkan peluh di samping memberi satu pengalaman yang sukar dicari oleh anak-anak zaman sekarang ini.

Manakala slot kedua pada jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang, slot pengisian ilmu agama Thanawi (pelajaran ting. 4) disampaikan kepada para pelajar. Hasrat kita agar silibus mata pelajaran ini akan dapat dihabiskan dengan cepat pada tahun hadapan agar lebih banyak masa untuk mereka mengulangkaji pelajaran tersebut.

Setelah tiga hari saya membantu dan menyusun aktiviti berkebun ini, banyak yang saya lihat. Pertama, ramai di kalangan para pelajar ini tak pernah memegang cangkul sebelum ini. Sedangkan inilah ‘senjata’ para petani yang menghasilkan ribuan tan sayuran dan makanan di negara kita. Pada hari pertama beberapa orang pelajar mengadu kepada saya, tangannya 'melecet' kerana mencangkul semasa membina batas. Budak-budak sekarang ini rupanya tak pernah mengalami ‘kesusahan’ bekerja. Mungkin terlalu dimanjakan atau dibenarkan oleh ibubapanya asyik main ‘game’ sahaja.

Jadi rumusannya, aktiviti berkebun ini pada saya sangat mendatangkan pengajaran dan pengalaman kepada para pelajar. Insya-Allah saya masukkan gambar-gambar kebun pelajar ting. 3 di blog ini dari semasa ke semasa untuk melihat apa yang dimaksudkan ‘ jika kita berbudi kepada tanah ini…..’




Kawasan kosong ini akan menjadi 'kebun' pelajar lelaki ting. 3




Alamak, kerasnya tanah ni, boleh jadi kebun ke?





"Yang berat sama di pikul...." jadi kena gotong royong dulu bagi membuat asas bagi setiap batas sayur...




Lihatlah hasilnya, selepas hari kedua...




Mulai hari ketiga, setiap batas di'jagai' oleh dua orang pelajar. Oleh kerana ada 78 orang pelajar lelaki, maka ada 39 buah batas ke semuanya.....




Makin seronok pulak berkebun, "dah boleh tanam benih ke cikgu?


Yang ini, kebun pelajar-pelajar perempuan....


Nanti jika sayurnya dah boleh diambil, kami nak masak sendiri ...






Musim Pelajar Ponteng Sekolah Sudah Tiba.


.

Bila tiba akhir sesi persekolahan seperti sekarang ini, ramai orang mengatakan musim pelajar ponteng sekolah telah tiba. Hal ini bukan perkara baru, malah saban tahun ianya diperkatakan di sana-sini, samada di sekolah, di pejabat pelajaran, di dalam masyarakat atau di media-media utama.






Sekarang peperiksaan UPSR dan PMR telah selesai. Namun sesi persekolahan untuk tahun ini masih belum selesai. Ini bermakna, pelajar-pelajar tahun 6 dan tingkatan 3 masih perlu ke sekolah walaupun tidak ada lagi proses P&P seperti mana mereka sewaktu belum menduduki peperiksaan tempoh hari.

Sekarang menjadi satu cabaran kepada pihak sekolah untuk menyediakan aktiviti-aktiviti selepas peperiksaan agar para pelajar datang ke sekolah. Ini bukan tugas mudah. Sekarang bukan seperti zaman dahulu, para pelajar mendengar apa sahaja yang diperintahkan oleh guru-guru dan ibu bapa. Sekarang zaman telah berubah. Banyak daya tarikan di luar sekolah berbanding yang ada di dalam sekolah. Ini semua adalah factor kenapa para pelajar ponteng sekolah.

Beberapa tahun dulu, ada arahan agar peperiksaan awam dan juga peperiksaan akhir tahun di adakan di minggu-minggu terakhir sebelum sesi persekolahan tamat. Tetapi tak tahulah, mungkin kaedah itu juga ada banyak permasaalahannya yang kita tak berapa tahu. Yalah nak menguruskan sesuatu peperiksaan itu, bukan satu kerja yang mudah yang boleh dilonggokkan pada satu-satu tarikh sahaja.

Jadi tahun ini, nampaknya keadaan yang sama berulang. Selepas UPSR masih ada 2 bulan hari persekolahan. Selepas PMR masih ada lagi 5 minggu hari persekolahan. Dan selepas peperiksaan akhir tahun, masih ada tiga atau empat minggu lagi sebelum sekolah bercuti. Jadi bayangkan, inilah masanya musim ponteng sekolah. Ianya dah bermula, terutama bagi sekolah-sekolah harian. Sekolah berasrama mungkin hal ini tidak berlaku…





Gambar-gambar yang ditunjukkan ini boleh didapati di banyak laman web yang menceritakan masalah ponteng di kalangan pelajar ini…







Monday, October 17, 2011

Jam di Mekah hasil sentuhan anak Malaysia

.



MENARA Abraj Al-Bait mercu tanda utama kota Makkah. Gambar kecil, Wan Nazri Wan Aria.



MAKKAH: Rakyat Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Makkah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai 'sentuhan anak Malaysia'.

Wan Nazri Wan Aria, 31, adalah jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.
Katanya, menara itu memerlukan 'struktur keluli tidak berat' untuk menyokong jam gergasi itu, dan kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar Syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungjawab berkenaan.
Uniknya, 14 tenaga pakar Premier Composite Technology itu juga adalah daripada kumpulan anak muda Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia mengerjakan haji dan umrah.

Dengan ketinggian 601 meter, ia adalah menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.

“Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London,” kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara pada 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.

Nazri bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui kumpulan media Tabung Haji yang menikmati teh tarik di Restoran Felda D'saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini.
Katanya, beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian tenaga pakar yang melakar sejarah di Makkah, apabila dibabitkan dalam kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di Tanah Suci itu.

Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.

Selain itu, 90 juta kaca mozek keemasan digunakan menghiasi keempat-empat permukaan jam berkenaan.

Nazri berkata, menara jam yang dilaporkan bernilai RM9 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya, Kumpulan Binladin pada Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar Premier Composite Technology akan terus berada di Makkah bagi memantau dan menyelia kerja akhir pembinaan menara jam itu.

Sementara itu, menceritakan pengalaman kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata, beliau mengambil masa lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan diberi peluang menerajui projek itu.

Rakannya, jurutera Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata, bahan komposit adalah satu bidang baru dan tidak banyak syarikat dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu.

Beliau berkata, bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama menjadi satu kelebihan, dan menurutnya, beliau bersama kumpulannya turut terbabit dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu.

Beliau bersama kumpulan rakannya juga terbabit dalam pemasangan kubah bergerak di Masjid Al-Nabawi di Madinah dan juga kubah di Masjid Putrajaya. – BERNAMA





.

Sunday, October 9, 2011

Belanjawan 2012

.
Berikut adalah intipati dari pembentangan bajet 2011 oleh PM pada 7 Oktober 2011

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membentangkan Belanjawan 2012, belanjawan yang kedua di bawah tempoh pelan pembangunan lima tahun Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10). Belanjawan 2012 dilihat sebagai dokumen yang menggariskan strategi kerajaan dalam menjayakan agenda transformasi negara ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Setelah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan, Prorgam Transformasi Ekonomi dan langkah transformasi politik, pembentangan Belanjawan 2012 dianggap sebagai memenuhi keperluan menjayakan hasrat Gagasan 1Malaysia.
Jumlah bajet – RM232.8 bilion
Perbelanjaan Operasi – RM181.6 bilion
Perbelanjaan Pembangunan – RM51.2 bilion

Infrastruktur:
RM5 bilion adalah utk pembangunan infrastruktur asas luar bandar, termasuk RM1.8 bilion utk Jalan Luar Bandar & Jalan Perhubungan Desa.
Rolling Plan Ke-2 (RP2) bagi RMK10 akan dilaksanakan tahun ini & diperuntukkan RM98.4 bilion untuk tahun 2012 & 2013
Kerajaan akan panjangkan program bekalan air bersih kpd komuniti di Sabah dgn peruntukan RM50juta.


FELDA
Kerajaan akan peruntuk RM400juta utk naik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat di kawasan-kawasan FELDA yg terpilih
Peneroka FELDA akan terima “durian runtuh” yang mana jumlahnya akan diumumkan sebelum penyenaraian dilakukan.
SME Revitalisation Fund berjumlah RM100juta akan menawarkan pinjaman mudah dgn maksimum RM1juta bagi peniaga dari Januari 2012.
Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan peruntukan pembangunan RM420juta.


Pengecualian cukai kereta hibrid
Pengecualian sepenuhnya duti import & duti eksais bagi mengimport kereta hibrid & elektrik akan dilanjutkan sehingga 2013.


Pendidikan:
Sektor pendidikan akan dapat RM50.2bilion utk melahirkan tenaga kerja berbakat, kreatif & inovatif.
Sebuah tabung khas RM1bilion akan melihat kpd keperluan pembinaan, baik-pulih & penyelenggaraan bangunan sekolah2.

Mansuh YURAN PENDIDIKAN:
Buat pertama kalinya, Kerjaan akan memansuhkan yuran pendidikan rendah & menengah di semua sekolah2 kerajaan.Beban ibu-bapa akan dapat diringankan.
Sekolah swasta yg berdaftar dengan Kementerian Pelajaran akan diberi insentif termasuk Elaun Cukai Pelaburan.


Pengecualian cukai bagi sumbangan kewangan syarikat dan orang perseorangan kepada sekolah-sekolah dan tempat ibadat berdaftar.
Untuk memantapkan modal insan sektor swasta, insentif akan diberi termasuk potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa.


Bantu Sekolah SKJT dan SKJC
Peruntukan RM1 bilion akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.
Daripada peruntukan tersebut, RM500 juta kepada Sekolah Kebangsaan, RM100 juta disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, RM100 juta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, RM100 juta Sekolah Mubaligh, RM100 juta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan RM100 juta kepada Maktab Rendah Sains MARA.




Kakitangan Awam
SSM dimansuhkan, Perkenal Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam(SBPA)
Kerajaan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan menyediakan gaji sebaris dengan pembaharuan lebih radikal.
Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam berteraskan merit untuk kakitangan kerajaan menggantikan sistem lama SSM. Sistem ini akan menaikkan gaji maksimum tiap gred.
Kenaikan gaji tahunan pula dijangka antara RM80 hingga RM300 mengikut gred.
Kerajaan akan wujud lebih banyak mata gaji. Ini bermakna, penjawat awam akan mendapat gaji maksimun lebih tinggi, sehingga kepada 37.7 peratus. Kakitangan awam akan mendapat kenaikan gaji antara RM80 hingga RM320
Dalam skim baru mengikut time-based, guru akan dapat gred 44 pd tahun ke-8 & gred 48 pd tahun ke-16.


Kenaikan pencen:
600,000 pesara kerajaan akan dapat kenaikan pencen pesara sebanyak 2% setahun.
Lanjut Umur persaraan:
Kerajaan setuju lanjutkan umur persaraan wajib kepada 60 tahun daripada 58 tahun bg mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.
Pelepasan cukai sedia ada ke atas caruman Skim Persaraan Swasta diperkenalkan untuk menjamin kesejahteraan pesara.


Subsidi
Beras – Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal RM2.40, rakyat hanya bayar RM1.80. Subsidi kerajaan 60 sen.
Gula – bagi setiap kilogram gula, harga asal RM2.50, rakyat hanya bayar RM2.30. Subsidi kerajaan berjumlah 20 sen.
Minyak masak – harga RM4.75, rakyat hanya bayar RM2.50
Tepung – harga asal RM1.90, rakyat bayar RM1.35


Bantuan yuran kepada kakitangan awam:
Kerajaan akan tawar bantuan yuran pengajian kpd penjawat awam, termasuk 5,000 peluang ijazah sarjana & 500 kedoktoran falsafah.
Satu porgam khas akan diperkenalkan utk 175,000 anggota tentera yang tidak layak menerima pencen.
Kerajaan akan memberi sumbangan kepada duda dan balu polis bantuan khas.
Demi mengenang jasa polis khas &polis tambahan masa zaman darurat, akan beri RM3,000 kpd setiap bekas anggota serta duda & balu mereka.


Kerajaan akan mengambil langkah2 jangka pendek dan jangka panjang mengatasi kos sara hidup:
Kenaikan harga barang terutamanya bahan makanan & akan ambil langkah bersepadu untuk mengatasinya.
Dasar Agro Makanan Negara 2011-2020 akan dilaksana & RM1.1bln akan diperuntukkan utk pembangunan sector pertanian.
Segala subsidi, insentif & bantuan berjumlah RM33.2bln akan diteruskan dalam semangat “Rakyat Didahulukan”.


KAR1SMA akan memberi manfaat kpd 500,000 rakyat, dgn membantu ringankan beban sara hidup.
Menambah kedai kedai Rakyat 1 Malaysia, Membuka dan meluaskan lagi unit kedai rakyat 1 Malaysia, meluaskan lagi menu makanan rakyat 1M .
Bantuan SKIM Rumah Pertamaku
Bagi Skim Rumah Pertamaku, had maksimum harga rumah akan dinaikkan kpd RM400,000 drpd RM220,000.
Melaksanakan Program Perumahan Rakyat (PPP) di seluruh negara dgn membina 75,000 unit rumah mampu milik.
Program Rumah Mesra Rakyat (SPNB) akan diteruskan. SPNB diminta membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat pada tahun 2012.
RM63 juta untuk memulihkan 1,270 rumah terbengkalai. RM40 juta utk baik pulih dan menyelenggara rumah kos rendah awam dan swasta.
Kerajaan akan wujudkan Tabung Khas Perumahan Nelayan RM300juta utk bina & baik pulih rumah.

Subsidi rumah
Kerajaan akan memberikan subsidi RM20,000 untuk pembelian Program Rumah Mesra Rakyat.
Mereka yang tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usah boleh dapatkan pembiayaan untuk membeli rumah berharga RM65,000 dengan harga RM45,000. RM200 juta diperuntukkan untuk program ini.


Kesihatan:
Perkhidmatan kesihatan akan diperuntukkan RM15 bilion utk perbelanjaan mengurus dan RM1.8bilion utk pembangunan.
Hospital akan dinaiktaraf & dibina, kerajaan juga akan tambahbaik 81 klinik kesihatan luar Bandar & buka 50 klinik 1Malaysia.
Kuala Lumpur General Hospital, hospital tertua di Malaysia akan dinaiktaraf menjadi sebuah hospital primer dengan sebuah sayap baru utk rawatan pesakit luar.
Demi keselesaan warga kota, hospital yang berusia 141 tahun dan merupakan hospital tertua di Malaysia ini akan dinaiktaraf supaya menjadi sebuah hospital primer negara dilengkapi dengan peralatan terkini dan canggih dengan peruntukan 300 juta ringgit.
Warga emas berumur 60 tahun ke atas akan dikecualikan caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital & klinik kesihatan.
Untuk menjamin kesihatan para ibu dan anak, maka sebuah hospital khusus untuk kaum wanita dan kanak-kanak akan dibina di Kuala Lumpur melalui perkongsian awam swasta dengan kos 700 juta ringgit.

Bajet 2012 untuk para doktor/pegawai perubatan:
Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana mereka bertugas berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi ini sememangnya tidak kondusif untuk mereka memberi rawatan berkualiti. Oleh yang demikian, Kerajaan telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau fleksi Pegawai Perubatan Siswazah, di mana waktu kerja di jadual semula kepada purata 60 jam seminggu.


Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi RM 600.
Bagi menggantikan Elaun Luar Waktu Bekerja Biasa, Kerajaan memperkenalkan Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat kuasa 1 September 2011.
Bagi pakar dan pegawai perubatan, Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun on-call semalaman antara 30 hingga 80 ringgit berkuat kuasa pada tarikh yang sama.


SARA 1M
Skim Amanah Rakyat (SARA 1Msia) akan memanfaatkan 100,000 isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.
Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100 ribu isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh memohon pinjaman 5,000 ringgit dengan tempoh bayaran balik lima tahun. Pada akhir tempoh lima tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih yang menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad dengan kerjasama institusi kewangan terpilih mulai Januari 2012.
Bantuan Gumanan
Bantuan Guaman secara percuma, kerajaan akan menambah 10 juta lagi pada tahun 2012 untuk bantuan guaman.

Peruntukan melatih wanita profesional:
Peruntukan RM10juta akan disediakan utk melatih wanita professional utk kembali ke pasaran kerja.
Kerajaan akan sediakan perkhidmatan suntikan percuma imunisasi HPV di seluruh negara untuk mengatasi kanser servik.

Bantuan kepada belia:
RM200juta akan disediakan utk melatih belia yg telah meninggalkan sekolah melalui Program Strategik untuk Belia 1Msia (SAY 1Msia).
RM15 juta akan diperuntukkan untuk bina gelanggang futsal agar matlamat “Satu Gelanggang Satu Mukim” dapat dicapai.

Meringan beban kos sara hidup :
Pemberian secara sekali (one- off assistance) kepada golongan berpendapatan rendah:
Bantuan sebanyak RM500 akan diberi kpd isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah. Pemberian diberi kepada ketua isi rumah melalui BSN.
Untuk menerima bantuan ini, ketua isi rumah yang layak hendaklah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi pelaksana. Bantuan ini akan disalurkan melalui bank dan Pejabat Pos.
Bantuan persekolahan RM100 ringgit diberi kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima di seluruh negara.
Pemberian baucar buku bernilai RM200 ringgit kepada semua pelajar warganegara Malaysia di institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan, matrikulasi serta pelajar tingkatan enam di seluruh negara.


Simpanan persaraan – KWSP
Caruman majikan dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus bagi pencarum yang menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 5.3 juta pencarum KWSP.
Pelepasan cukai sehingga 6 ribu ringgit untuk caruman kepada KWSP:
Dalam Bajet 2011, bagi mempastikan pekerja swasta dan mereka yang bekerja sendiri mempunyai simpanan mencukupi semasa bersara, saya telah mengumumkan pelepasan cukai sehingga 6 ribu ringgit untuk caruman kepada KWSP dan insurans hayat diperluaskan bagi meliputi caruman kepada Dana Pencen Swasta, kini dikenali sebagai Skim Persaraan Swasta.

Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat di usia persaraan di samping mempromosi skim persaraan swasta yang dijangka dapat merancakkan pembangunan pasaran modal, saya mencadangkan:
Pertama: Pelepasan cukai baru sehingga 3 ribu ringgit ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans selama 10 tahun. Dengan ini, pelepasan cukai sedia ada ke atas Skim Persaraan Swasta dan anuiti insurans dirasionalkan;
Kedua: Potongan cukai ke atas caruman majikan bagi pekerja dalam Skim Persaraan Swasta; dan
Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan dana Skim Persaraan Swasta.


Bonus kepada kakitangan awam (setengah bulan gaji)

Tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM 500 ringgit untuk penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada pesara kerajaan. Bayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember 2011.
Ini akan menjadikan jumlah bonus bagi tahun 2011 bersamaan sebulan gaji dengan bayaran minimum RM1,000 bagi penjawat awam dan bantuan RM1,000 bagi pesara kerajaan.
Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta kakitangan awam serta 618,000 pesara kerajaan.
Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan belanja RM4 bilion.

.

Saturday, October 1, 2011

Selamat Berjuang Pelajar Ting.3

.



Hanya tinggal 4 hari lagi pelajar-pelajar tingkatan 3 akan menduduki peperiksaan PMR. Peperiksaan itu sememangnya dinanti-nantikan oleh pelajar-pelajar tingkatan 3. Apa tidaknya, setelah hampir setahun mereka diberi ‘tumpuan khusus’ dengan pelbagai program dan aktiviti pembelajaran oleh pihak pentadbir sekolah dan guru-guru mata pelajaran. Malahan ibubapa dan PIBG juga memberi perhatian dan sokongan yang tinggi kepada anak-anak pelajar tingkatan 3 ini.

Entah kenapa peperiksaan PMR selalunya diberi ‘perhatian’ begitu istimewa di sekolah-sekolah menengah. Pada hal masih ada lagi peperiksaan besar lain yang memberi ‘impak’ lebih besar kepada masa depan sesaorang pelajar seperti peperiksaan SPM dan STPM.






Peperiksaan PMR bukanlah peperiksaan ‘kalah mati’. Pelajar-pelajar yang gagal kerana tidak lulus semua mata pelajaran, masih boleh menyambung pelajaran di tingkatan 4. Cuma kalau ada pun gunanya peperiksaan PMR ini hanya untuk pemilihan aliran atau pakej mata pelajaran semasa mereka naik ke tingkatan 4 sahaja.

Dengan perubahan system pendidikan masa kini pula, peperiksaan PMR tahun ini adalah peperiksaan PMR yang ketiga terakhir sebelum peperiksaan PMR itu dimansuhkan pada tahun 2014. Hanya ada 3 kali sahaja lagi peperiksaan PMR akan diadakan iaitu pada tahun 2011, 2012 dan 2013. Lepas itu PMR akan berubah formatnya dan akan menjadi satu penilaian berbentuk pentaksiran berasaskan sekolah sahaja.

Jadi kenapa semua sekolah begitu mengambil berat tentang peperiksaan PMR? Di dalam mesyuarat guru di sekolah saya, saya selalu memaklumkan kepada guru-guru bahawa kita mesti bekerja keras untuk kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan PMR kerana ia satu perjuangan meningkatkan imej pendidikan khususnya di negeri Perak. Ini kerana setelah begitu lama negeri kita berada di ranking ‘bawah’ berbanding negeri lain di dalam pencapaian peperiksaan ini.






Justeru itu, pemimpin pendidikan di JPN dan PPD meletakkan visi agar kita dapat meningkat dan merealisasikan hasrat kita berada di ranking tiga teratas. Sebab itulah kita kena berusaha kuat bagi membuktikan sekolah kita dan negeri kita juga mampu berada di ranking atas sebagaimana slogan kita iaitu kita mahu “Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan”.






Di sekolah saya, pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan kepada para pelajar tingkatan 3 tahun ini. Sejak awal tahun lagi, pelbagai aktiviti utama dan sokongan dilaksanakan. Contohnya, program-program yang dianjurkan oleh panitia-panitia mata pelajaran, program motivasi dengan memanggil motivator luar, program latihtubi semasa cuti persekolahan dan program Pecutan Akhir sebelum peperiksaan PMR.

Banyak peruntukan kewangan dikeluarkan untuk melaksanakan program-program ini. Umpamanya bagi menjalankan Program Pecutan Akhir PMR, sebanyak lebih RM5000.00 dibelanjakan untuk memfotostat bahan-bahan latihtubi. Wang ini kalau dibahagikan dengan 133 orang calon PMR, bermakna setiap seorang pelajar diperuntukkan kira-kira RM38.00 untuk bahan-bahan fotostat bagi latihtubi mereka.











Program Pecutan Akhir PMR dilaksanakan sebaik sahaja selepas Peperiksaan Percubaan sehingga peperiksaan PMR sebenar berlangsung. Guru-guru turun secara “all out” atau “sederap” bagi membantu calon-calon PMR ini. Jadual waktu secara anjal dilaksanakan. Dua orang guru masuk ke satu-satu kelas secara serentak iaitu dengan kaedah ‘teacher support team’ (TST).






Sepanjang ianya dilaksanakan saya dapati, ianya berjalan dengan amat baik dan semua pelajar begitu serius mengikutinya. Tuan Pengetua juga amat berpuas hati dengan perjalanan program ini. Beliau juga turut mengarahkan saya menyusun program yang sama kepada pelajar-pelajar di tingkatan-tingkatan yang lain.






Berasaskan analisis peperiksaan Pertengahan Tahun, Peperiksaan Percubaan dan Ujian Pasca Percubaan yang meningkat dari satu ujian ke satu ujian, saya sangat berharap dan berdoa agar keputusan peperiksaan PMR tahun ini akan mencapai sasaran sekolah kami. Semoga dengan pencapaian ini nanti, SMAMAM akan berada di ranking atas, di muka surat pertama, sesuailah dengan hasrat kami, ALMIZAN SABK PILIHAN!


.