Saturday, December 31, 2011

Bolehkah sambut tahun baru masihi?


.
Hari ini 31 Disember 2011. Insya-Allah esok kita akan berada di tahun baru masihi 2012. Di TV sekarang ini banyak diiklankan sambutan menyambut tahun baru ini. Persoalannya bolehkan kita sebagai umat Islam menyambut tahun baru yang bukan Islam?
Di sini saya copykan satu artikel berkaitan hal ini. Semoga kita mendapat menafaat darinya.

Soalan

Saya pernah terbaca bahawa haram bagi kita umat Islam menyambut perayaan Tahun Baru pada malam 31 Disember? Apa pandangan ustaz dalam perkara ini?

Jawapan

Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.


Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.


Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.


Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-


* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.


Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah " Al-‘Adat Muhakkamah"

Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).


Terdapat satu keadah lain berbunyi : " Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat"

Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)


* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga. Namun ia tidak semestinya menjadikan seluruh sambutan menjadi haram jika percampuran itu tidak menjadi satu agenda penganjur, tatkala itu, mereka yang bercampur atas kehendak sendiri melakukan dosa secara individu dan ia dari jenis 'haram lighairihi' atau haram yang datang akibat dari sebab-sebab luaran.


* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).


* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara'. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.

Sekian

Ust Zaharuddin

www.zaharuddin.net

sumber:

http://www.homosapiensz.com/2011/12/harus-sambut-tahun-baru-masihi-jika.html


Friday, December 30, 2011

Lagi Penghargaan

.

Pencapaian cemerlang Maahad Al Mizan dalam PMR baru-baru ini, mendapat penghargaan lagi. Selepas mendapat sijil penghargaan kategori lompatan saujana dari PPD Kuala Kangsar pada minggu lepas, kali ini mendapat pula sijil penghargaan dari JPN Perak. Majlis diadakan sempena Perhimpunan Bulanan Jabatan Pelajaran Perak yang diadakan pada hari Khamis 29 Disember di dataran atrium JPN. Sekolah ini menerima 2 sijil penghargaan, pertama kategori GPS terbaik sekolah luar Bandar dan yang keduanya kategori kuantiti terbaik sekolah luar Bandar.

Oleh kerana pada hari Khamis tersebut, tuan pengetua, PK-PK dan semua guru-guru bermesyuarat guru bil 1/2012, maka sekolah ini telah diwakili oleh GK Sains bagi menerima sijil-sijil tersebut daripada Timbalan Pengarah JPN Perak.





Dan satu lagi berita gembira bagi calon-calon PMR sekolah ini yang mendapat “straight A’s” pula, ialah pihak sekolah akan memberi hadiah berupa wang tunai kepada setiap seorang. Majlis penyampaian wang tunai tersebut akan diadakan pada perhimpunan rasmi sekolah yang pertama sesi depan iaitu pada hari Rabu nanti.

Berapa jumlah wang tunai hadiah dari Lembaga Pengurusan Sekolah itu, tak perlulah saya beritahu di sini, sama-samalah kita nantikan. Selain pelajar yang memperolehi 9A, pelajar yang mendapat 8A juga akan menerima hadiah wang tunai pada hari itu nanti…

.


Monday, December 26, 2011

Tahniah calon PMR 2011


AlhamduliLlah… Keputusan Peperiksaan PMR 2011 yang diumumkan baru-baru ini amat membanggakan warga sekolah saya. Ini pertama kali sekolah ini mencapai kejayaan begitu cemerlang semenjak sekolah ditubuhkan.

Sebagai seorang guru yang bertugas di sini, saya turut berasa bangga dan bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan calon-calon peperiksaan PMR tahun ini. Tahniah di atas kejayaan cemerlang mereka. Sesungguhnya kejayaan ini membuktikan sekolah SABK mampu mencipta kecemerlangan seperti sekolah-sekolah SMKA dan SBP. Ia juga merupakan pendorong semangat kepada kami guru-guru untuk terus mendidik pelajar-pelajar di sekolah ini.

Daripada 132 orang calon yang menduduki peperiksaan tersebut, seramai 123 orang lulus semua mata pelajaran. (Hanya sembilan orang sahaja yang yang gagal. Itu pun hanya satu mata pelajaran sahaja = near miss). Peratus lulusnya adalah 93.18 % berbanding hanya 48.12 % pada tahun lepas.

Gred purata sekolah (GPS) adalah 2.04 berbanding 2.56 pada tahun lepas. Gred GPS 2.04 ini menjadikan kedudukan sekolah ini di tempat ke-2 di daerah Kuala Kangsar dan di tempat ke-26 di negeri Perak.

Bilangan pelajar yang memperolehi 9A adalah seramai 5 orang, manakala 11 orang lagi memperolehi 8A1B.

Semasa menerima keputusan PMR pada hari Khamis lepas, sekolah ini turut menerima sijil penghargaan kategori "Lompatan Saujana" dari Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Kangsar.


Kain banting di atas telah mencetuskan 'semangat' para calon PMR setiap kali perhimpunan pagi diadakan. Kain banting yang digantung di depan astaka ini dilihat oleh setiap pelajar saban hari. Walaupun target sekolah di dalam banting ini tidak tercapai sepenuhnya, tetapi ianya telah hampir-hampir menjadi kenyataan.

Saya masih ingat, semasa banting ini mula digantung, beberapa rakan memberitahu saya yang ianya tak akan boleh tercapai. "Terlalu tinggi", katanya. Pada masa itu, saya katakan, "biarlah tinggi, barulah ada cabaran!". "Yang penting, setiap pelajar mahu berusaha bersungguh-sungguh kerana mereka semua 'harapan sekolah' dan 'wajib lulus' ".

Akhirnya, sekali lagi sekalung tahniah kepada semua pelajar ting. 3 dan semua guru yang membantu mereka mencapai kejayaan ini. Kejayaan hari ini sebenarnya merupakan pendahuluan untuk kejayaan-kejayaan yang akan kita usahakan lagi pada masa-masa akan datang.

Semoga berjumpa kembali di "Wilayah Al Mizan" pada hari pendaftaran asrama pada 3 Januari 2012 (hari Selasa) nanti....