Sunday, August 7, 2011

Ramadhan: Dapatkah kita keberkatannya?

(Berikut saya copykan satu arikel yang sangat menarik tentang Ramadhan untuk tatapan kita bersama: Artkel ini saya ambil dari satu website dan ditulis oleh Zainal Dahari)



Syukur ke hadrat Illahi, sekali lagi kita berpeluang bersama Ramadan, bulan yang mulia yang diwahyukan dan difardukan untuk kita berpuasa, semoga dengan berpuasa kita akan menjadi orang yang bertaqwa..

Jika ditanya semua orang Islam, semuanya akan bersetuju mengatakan Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan. Setiap kali datang Ramadan banyak tazkirah yang mengulas tentang perkara-perkara yang berlaku dan terdapat dalam bulan Ramadan.

Sebagai renungan bersama mari kita cuba senaraikan semula antara kelebihan-kelebihan dan peluang-peluang yang ada dalam bulan Ramadan untuk panduan kita bersama.

1. Malam Anugerah Khas, Malam Lailatul-Qadar dipilih Allah untuk dinikmati oleh orang Islam yang beribadat dalam bulan Ramadan. Orang Islam akan dapat menikmati ganjaran ini, ganjaran pahala bagi setiap ibadat yang dilakukan sama seperti beribadat selama seribu bulan dalam bulan yang lain, iaitu melebihi 80 tahun lamanya

2. Ganjaran pahala bagi setiap ibadat orang Islam digandakan
i. Setiap satu solat sunat dikerjakan dalam bulan Ramadan ganjaran nya sama dengan ganjaran solat wajib yang dilakukan dalam bulan selain Ramadan.
ii. Ganjaran solat wajib yang dilakukan dalam bulan Ramadan diberi tidak kurang tujuh puluh kali ganda dibandingkan dengan dikerjakan dalam bulan yang lain.

3. Suasana beribadat orang Islam tidak diganggu oleh iblis dan syaitan kerana semua iblis dan syaitan dibelenggu oleh Allah dalam bulan Ramadan. Kekurangan adalah kerana kejahilan dan kedegilan kita sendiri.

4. Mereka yang jarang ke mesjid dan surau semasa bulan yang lain tidak akan berasa malu jika ke mesjid dan surau dalam bulan Ramadan kerana ramai orang lain pun beigitu juga.

5. Dengan dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda, marilah kita iringi semua solat wajib lima waktu kita dengan solat sunat awal dan akhir jika terdaya kerana masa yang diambil tidaklah lama.

6. Peluang untuk mendirikan solat malam iaitu selepas tengah malam hingga waktu subuh adalah terbuka luas kerana kita perlu bangun untuk bersahur. Antara solat yang digalakkan ialah solat tahajjud dan solat taubat. Kita perlu bersahur kerana itu syariat.

7. Masa yang panjang yang ada waktu lepas tengah malam hingga sahur, kalaupun tak mampu nak buat selalu, sekali sekala buatlah solat sunat tasbih. Solat sunat tasbih ini memerlukan masa yang sedikit panjang dan kekuatan stamina yang lebih terutama kekuatan sendi pinggang, lutut dan kaki.
Ganjaran pahala solat sunat tasbih amat istimewa.

8. Setiap kita tentunya banyak berbuat dosa, peluang meminta ampun dari Allah terbuka luas dalam bulan Ramadan, kerana salah satu kumpulan manusia yang berdoa yang tidak akan ditolak doanya oleh Allah ialah mereka yang berdoa sedang mereka itu berpuasa.

9. Peluang bertadarus Al-Quran terbuka luas di mesjid dan surau kerana hampir setiap malam semua surau dan mesjid mengadakannya. Mereka yang kurang mahir boleh bersama jemaah lain dan akan dibimbing membaca bersama dalam kumpulan-kumpulan tertentu.

10. Pada Hari Kiamat nanti, Al-Quran akan memohon kepada Allah supaya semua pembaca Al-Quran diberi kemudahan dalam perhitungan dan diberi ganjaran kebaikan oleh Allah kerana telah mengorbankan masa lapang dan waktu tidur malamnya dengan membaca Al-Quran.

11. Dapat merasa manisnya menikmati (mendengar dan menghayati) bacaan AL-Quran hampir sama dengan sewaktu di Tanah Suci Makkah dan Madinah kerana banyak masjid dan surau mengadakan solat terawih secara bacaan AL-Hafiz satu malam satu juzuk.

12. Dengan solat terawih secara bacaan hafiz ini juga kita berpeluang melakukan sujud tilawah beberapa kali bila sampai ayat-ayat yang tertentu. Waktu sujud adalah waktu kita paling hampir dengan Allah dan ambillah peluang yang tidak datang selalu ini untuk memohon apa sahaja kepadaNya, Insyaallah akan dimakbulkan semua doa kita.

13. Oleh kerana imam akan membaca ayat-ayat yang panjang, secara tidak langsung kita boleh berlatih untuk berdiri lama sewaktu solat sebagaimana yang biasa berlaku di tanah suci sewaktu musim haji dan umrah. Dalam keadaan biasa sehari-hari kita hanya dapat berlatih pada waktu solat subuh Jumaat sahaja bila kebanyakan imam akan membaca Surah As-Sajdah dan Surah Al-Insaan, itupun tidak panjang hanya 30 dan 31 ayat sahaja setiap satunya.

14. Dengan bersolat terawih juga kita boleh berlatih membaca ayat-ayat Al-Quran dengan mengikut perlahan-lahan bacaan imam kerana ia tidak menjadi kesalahan asalkan tidak mengganggu imam dan makmum yang lain.
(Walau bagaimanapun untuk mengelakkan kekeliruan dalam masalah ini ada khilaf ulamak mengatakan bahawa makmum wajib mendengar dan dilarang membaca Al-Quran sewaktu imam membaca, Wallahualam).

15. Dengan mengerjakan solat terawih 20 rakaat atau 23 rakaat jika bersama witir, kita sebenarnya melakukan latihan jasmani yang mampu menambahbaik kesihatan badan kita.

16. Dengan bersolat Isyak atau Subuh secara berjemaah adalah umpama beribadat separuh malam, manakala jika kita di malam yang sama bersolat Isyak dan Subuh secara berjemaah maka adalah umpama bersolat seluruh malam. Oleh itu jika kita bersolat Isyak dan Subuh pada malam bertepatan dengan datangnya malam Lailatul Qadar maka untunglah kita seolah olah kita sudah beribadat seluruhnya pada malam Lailatul Qadar tersebut, Wallahualam.

17. Kita boleh berkenal-kenalan dengan ramai orang kerana solat terawih digalakkan dibuat secara berjemaah. Kita juga boleh solat di kariah yang lain jika kita suka dan dengan itu boleh mengenali lebih ramai saudara seagama.

18. Dalam bulan Ramadan, kita boleh mengawal dan menjimatkan perbelanjaan makanan harian kita kerana kekerapan makan telah berkurang. Kita boleh menjimatkan wang dengan banyak, contohnya tanpa makan pagi, rehat pagi, makan tengahari, minum petang dan makan lewat malam. Kita makan hanya dua kali sahaja iaitu berbuka dan sahur..

19. Tanpa disibukkan dengan waktu membeli keperluan makanan, memasak, dan masa-masa makan kita akan ada banyak masa untuk membaca Al-Quran dan kitab-kitab agama. Membaca kitab agama lebih-lebih lagi membaca Al-Quran akan menguatkan keimanan, manakala ganjaran pahalanya tidak terhitung hanya Allah Maha Mengetahui.

20. Secara semulajadinya manusia tidak akan bertindak agresif apabila mereka lapar berlainan dengan haiwan. Dengan ini suasana berpuasa di bulan Ramadan juga dapat mewujudkan peluang bagi memperbaiki hubungan yang tidak mesra yang berlaku antara mana-mana dua pihak yang berselisih faham sebelum itu.

21. Mereka yang belum mengeluarkan zakat, samaada harta, tanaman, ternakan ataupun keuntungan perniagaan boleh mengambil peluang keemasan di bulan Ramadan ini untuk melipatgandakan hasil ganjaran pahala disisi Allah.

22. Para hartawan boleh merapatkan hubungan dengan orang ramai terutama fakir miskin dan anak-anak yatim melalui sumbangan makanan, pakaian ataupun wang ringgit.

23. Orang yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan boleh mula berjinak-jinak dengan alam periagaan melalui jualan pakaian hariraya, kuih muih atau makanan berbuka puasa atau lainnya asalkan halal dan tidak terleka dari beribadat bila sampai waktunya.

24. Mereka yang sebelum ini kurang menitikberatkan soal aurat dalam berpakaian, ambillah peluang ini untuk memperbaiki diri, Insyaallah semua rakan dan taulan akan menerima kita dengan hati yang terbuka. Sesungguhnya Allah tidak akan memberatkan sesiapa pun atas apa yang dia tidak mampu.

25. Dengan berpuasa kita berpeluang mengurangkan berat badan dengan menjaga diet dan pemakanan

26. Dengan pergi solat terawih kita berpeluang mengurangkan dosa mata, dosa telinga, dosa mengumpat dengan meninggalkan peti-peti tv yang banyak menyiarkan rancangan yang tidak sesuai.

27. Dengan berpuasa dan solat terawih kita juga berpeluang mengurangkan dosa kaki dan dosa tangan dengan tidak merayau ke tempat-tempat yang melalaikan.

28. Anak-anak yang kurang berpeluang berbakti kepada kedua ibubapa, ambillah peluang ini dengan membantu mereka memasak dan menyediakan makanan untuk berbuka dan sebagainya. Disamping membantu kita dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

29. Mereka yang berhutang, ambillah peluang yang baik ini untuk melangsaikannya, disamping selesainya hutang, hati kita akan tenang dan gembira, pemiutang akan turut sama gembira, dan sebagaimana dalam sebuah hadis Rasulullah mengatakan antara orang yang berhutang dengan orang yang tidak berhutang, doa orang yang tidak berhutang lebih cepat dimakbulkan Allah.

30. Sekiranya ada orang berhutang dengan kita dan jumlahnya boleh kita maafkan dan tidak akan memiskinkan kita jika kita melupuskannya, adalah dianjurkan kita lupuskan sahaja, semoga rezeki kita akan ditambah oleh Allah berganda-ganda kerana kerelaan kita itu.

Disamping itu banyak lagi kelebihan yang terdapat dalam bulan Ramadan yang tidak dapat disenaraikan setiap satunya.

Apa yang dimushkilkan ialah dengan begitu banyak kelebihan yang ada, mampu dan dapatkah kita menikmati sebahagian daripadanya kalaupun tidak berjaya menikmati kesemunya. Para ulamak selalu mengulang-ulang perkara ini tetapi ramai dari kita masih ditakuk lama. Dari setahun ke setahun, Ramadan datang dan kemudian Ramadan pergi, yang muda dah jadi tua, dulu kuat sekarang lemah, dulu sihat dah mula uzur, dulu kaya kini bertukar menjadi miskin dan sebagainya, nilai ibadat kita masih tidak berubah..

Ada di antara kita yang berazam untuk memulakan dan melipatgandakan ibadat bila bersara contohnya, tetapi sedarkah kini begitu ramai antara kita yang menjadi uzur sebelum masuk umur bersara, usia baru tiga puluhan atau empat puluhan kaki mula tidak kuat, lutut mula sakit, pinggang mula payah nak lurus, mata cepat jadi kabur, pendengaran telinga cepat merosot, yang lengkap anggota sudah cacat kerana kemalangan dan sebagainya.

Bukan itu sahaja ramai pula yang mati dalam usia muda. Juga ramai pula dihinggapi kencing manis perlu selalu melawat dan tinggal di hospital, atau mendapat sakit ghout, sakit buah pinggang, sakit kencing tak tus, sakit karang susah kencing, darah tinggi naik menggila terpaksa makan ubat sepanjang masa, rosak paru-paru dan menghadapi masalah jika terkena air sejuk, mengidap pening yang kronik dan berbagai lagi kesukaran yang mengganggu dan menghalang kita dari beribadat kepada Allah dengan selesa.

Oleh itu marilah sama-sama kita berazam dan memulakan langkah menuju dan mengerjakan amal ibadat kepada Allah dan kebaikan sesama manusia dari sekarang selagi masa masih ada dan janganlah menunggu hingga sudah tiada daya upaya kerana waktu itu menyesal sudah tidak berguna lagi. Jika tak mampu buat semua janganlah pula kita tinggalkan semua. Hidup dan mati itu sangat hampir seperti hampirnya dua jari kita.

Anggaplah Ramadan sebagai tetamu khas yang datang bertandang setahun sekali ke rumah kita dan sekarang ini sudah hampir seminggu bersama kita. Apakah bentuk layanan yang kita sediakan dan berikan kepadanya. Setakat ini baikkah layanan kita, lazat dan istimewakah makanan yang kita sediakan, rumah dan bilik tempat tidurnya bagaimana dan lain-lain keperluannya adakah telah di sediakan sewajarnya. Jangan lupa tetamu bernama Ramadan ini lagi tiga minggu akan pulang kepangkuan Allah melaporkan dan membawa semua rekod atas apa yang tuan rumah sediakan kapadanya. Susah memanglah susah tetapi marilah kita berusaha, Insyaallah masa masih belum terlewat semoga Allah tetap memberi kekuatan kepada kita.

No comments:

Post a Comment