Sunday, August 7, 2011

Sejarah Kehidupan Ayahanda Saya

( Baru-baru ini seorang adik saya memberi saya satu catatan tulisan tangan almarhum ayahanda saya. Beliau menjumpai catatan itu di bilik almarhum ayahanda saya. Catatan bertulisan jawi setebal enam muka surat itu rupanya adalah catatan sejarah hidup ayahanda saya yang saya fikir sangat tinggi nilainya. Tidak ramai orang di dunia ini yang mampu menulis sejarah hidup sendiri untuk dikongsikan dengan anak-anak dan masyarakat sekelilingnya. Berikut saya salin semula catatan itu untuk tatapan kita semua….)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.


Pada tanggal 3 September 1928 waktu subuh hari Jumaat lahir seorang kanak-kanak lelaki bernama Zakaria bin Pandak Leman dan ibunya Teh Fatimah di sebuah kampung tepi sungai Perak iaitu kampung Teluk Manis, Layang-layang Kiri, Parit, Perak. Beliau adalah anak yang kelima dari enam beradik (ketiga yang masih hidup).

Di waktu kecilnya, ayahandanya meneroka tanah di Jeliang, Manong, Kuala Kangsar, yang senantiasa berulang alik dari kampung Teluk Manis ke Jeliang itu lebih kurang perjalanan 20 batu dengan menaiki sebuah basikal.

Di masa beliau berumur 7 tahun iaitu tahun 1936, beliau bersekolah di Sekolah Melayu Layang-layang Kiri. Pada tahun 1937, beliau telah dibawa oleh bapanya berpindah ke Jeliang dan beliau bersekolah di Sekolah Melayu Manong lebih kurang 3 batu jauhnya dari kampung Jeliang. Di sekolah itu beliau belajar dalam darjah 2 sehingga tamat darjah 6 pada akhir tahun 1941. Beliau ke sekolah itu menaiki basikal, turun pagi balik jam 5.00 petang.

Di sekolah ini beliau mendapat sijil, sekolah pagi “nombor satu” sijil darjah lima dan darjah enam dan sekolah petang (sekolah Quran) pun dapat sijil “nombor satu”. Manakala tamat mengaji, beliau memohon jawatan guru pelatih, tetapi malangnya belum pun ada jawapan dari pihak berkuasa, negara telah meletus peperangan dengan tentera Jepun (peperangan dunia yang kedua).

Dalam masa pemerintah Jepun itu, pada tahun 1943 beliau masuk belajar agama di sekolah Arab (Al-Madrasah Al-Idrisiah) Bukit Chandan, Kuala Kangsar, duduk di asrama sekolah itu. Yang mana Mudir (Guru Besarnya) ialah alfadhil Assheikh Abdullah Fahim. Pada awalnya, belajar di bangunan al Madrasah Al-Idrisiah itu satu tahun lebih, kemudian tentera Jepun menggunakan sekolah itu menempatkan buruh-buruhnya, maka berpindah belajar di sekolah Al-Madrasah Mariah dekat dengan bangunan Madrasah Idrisiah itu juga dan pelajar terpaksa duduk di berek Al-Madrasah Mariah, belajar di situ lebih kurang setahun. Kemudian tercetus pergaduhan kerajaan Jepun dengan komunis, dan komunis dengan orang ramai (kampung) diisytiharkan masa darurat.

Guru-guru yang mengajar beliau di Madrasah Idrisiah ialah (1) Assheikh Abdullah Fahim, (2) Al-ustaz Uthman Sujak, (3) Al-ustaz Nawawi dan (4) Al-ustaz Yusuf. Beliau belajar membaca Al Quran kepada Tuan Haji Ahmad al Banat, imam masjid Ubudiah Bukit Chandan.

Di awal tahun 1945 semasa kerajaan Jepun menyerah kalah kepada kerajaan Inggeris, komunis mendirikan kerajaannya selama 14 hari. Keadaan Negara amat susah dharurat. Kami, Ustaz Uthman bin Itam Karib, Ustaz Mokhtar al Ataruddin Lebai Awang, Abdul Aziz dan Zakaria bin Sulaiman pergi meninggalkan kampung hendak belajar di pondok Batu Hampar, Pendang, Kedah. Perjalanan kami adalah menjadi catatan riwayat yang tak boleh dilupakan, iaitu menaiki keretapi dari Kuala Kangsar menumpang keretapi yang membawa tentera-tentera Jepun sampai ke Bukit Mertajam. Di sana kami bermalam 4 hari 4 malam di surau dan kami pergi menziarahi rumah AsSheikh Yamani dan AsSheikh Ahmad Fuad Hassan lebih kurang 4 batu dari bandar Bukit Mertajam itu.

Dari situ kami menaiki lori sewa ke Kota Sarang Semut Kedah. Dari Kota Sarang Semut itu kami berjalan kaki ke Pendang terus ke pondok Batu Hampar lebih kurang 7 batu.
Di pondok Batu Hampar ini saya belajar selama 2 tahun kepada Tok Guru Hj. Abdul Aziz bin Hj. Ibrahim. Di dalam masa dua tahun ini kami pernah keluar dari pondok mencari nafkah kerana perbelanjaan dari kampung tak sampai.

Ceritanya:, Pada satu hari kami bersetuju pergi ke Kota Setar (Alor Setar) hendak mencari kerja yang halal di bandar itu. Kami seramai 5 orang iaitu, Ustaz Uthman Karib, Ustaz Mokhtar, Abdul Aziz, Zakaria dan Anuar budak Selangor, minta izin kepada Tok Guru hendak keluar pondok itu.
Jam 8.00 pagi kami berjalan kaki menuju Alor Setar sejauh 20 batu. Pada malam itu kami tak sampai ke bandar Alor Setar itu, hanyalah kami sampai ke Simpang Kuala Kedah, kami bermalam di situ, di masjid. Keesokan harinya kami berjalan lagi lebih kurang 4 batu menuju Masjid Zahir Alor Setar. Di situ kami berjumpa dengan Imam Besar Masjid Zahir itu berbangsa Arab. Dan kami menceritakan kepadanya akan tujuan kami kalau-kalau ada tempat orang fakir miskin dekat situ.

Alhamdulillah, beliau berikhtiar berurus dengan sahabat-sahabatnya di Pejabat Daerah Alor Setar. Setelah selesai urusan-urusan yang berkenaan, kami diserahkan kepada balai polis, suruh menghantar kami di satu tempat orang fakir miskin Seberang Perak lebih kurang 2 batu dari bandar Alor Setar itu. Kami duduk di situ selama sebulan setengah bersama dengan pengemis. Panjang ceritanya, biarlah tinggal dalam kenangan sahaja.

Kemudian kami dihantar ke Jitra untuk dihantar balik ke Ipoh. Di Jitra ini kami duduk seminggu sahaja. Manakala sampai di Ipoh saya dapat khabar ayahanda bonda saya ada di Telok Manis Layang-layang Kiri kerana lari dari komunis di Jeliang yang sentiasa mengganas, membunuh, menyamun dan lain-lain kejahatan.

Pada tahun 1946, saya balik belajar di Pondok Batu Hampar setelah negara aman sedikit. Pada tahun 1947 saya pergi pindah belajar di Pondok Ahmadiah, Benut Payung, Kota Bharu Kelantan. Gurunya ialah AsSheikh Haji Abdullah AtThohir bin Ahmad. Saya belajar di sini selama lapan tahun iaitu sehingga tahun 1954.

Di masa belajar di Kelantan ini bermacam-macam riwayat, pahit manis yang dirasai, almaklumlah saya orang miskin dan di zaman dharurat di sana sini bergaduh komunis. Dalam masa di Kelantan ini pada tahun 1952 saya bersama Mokhtar bin Hj Ahmad Badawi dan Abdul Razak Uthman pergi merantau ke Batu Pahat Johor ke rumah Kiyai Hj Solleh di kampung Simpang Kiri dekat Yong Peng. Di situ kami mengaji wakaf Quran bulan Ramadhan. Selama di sini kami dapat menimba beberapa ilmu berkenaan peperangan parang panjang dengan kafir.
Kami duduk di Johor ini selama dua bulan dan kami meneruskan perjalanan ke Singapore. Kami duduk di sini selama seminggu di rumah Ustaz Daud. Kami balik ke Kelantan menaiki kapal kecil dari Singapore ke Kuala Terengganu. Dari Kuala Terengganu menaiki bas ke Kota Bharu.

Akhir tahun 1954 saya balik ke Jeliang (berhenti mengaji di Kelantan) bercita-cita hendak pergi ke Bukit Tinggi, Sumetera, Indonesia. Tetapi malang visa tak dapat kebenaran.

Pada tahun 1955 saya pergi ke Makkatul Mukarromah kerana tujuan belajar di sana selama 5 tahun. Tetapi malangnya mulai pada tahun itu selepas mengerjakan haji, kerajaan Saudi tak membenarkan sesiapa jua bernaung di Makkah kerana kerajaan Saudi hendak membesarkan binaan Masjidil Haram, maka rumah-rumah di sekeliling bandar Makkah itu akan roboh, saya balik ke Malaya.

Pada awal tahun 1956 saya pergi belajar di Pondok Irsyadiyah Batu 26, Bagan Datoh, Perak buat sementara menanti mendapat visa pergi ke Indonesia, tetapi malang juga telah beberapa lama menunggu tidak juga mendapat kelulusan. Selama tujuh bulan di Irsyadiyah itu maka saya pun balik ke kampung. Guru di Irsyadiyah ialah Tuan Guru Hj. Ghazali bin Irsyad.

Di kampung, membuat (membina) sebuah rumah kayu dua tingkat tukang sendiri. Di sebelah petang mengajar kanak-kanak di kampung itu didirikan sebuah surau (kelas) dekat surau Jalan Badak. Pelajar-pelajarnya berjumlah 30 orang.

Di awal tahun 1957 dengan persetujuan pemimpin kampung Jeliang dan kampung-kampung berhampirannya maka dipindahkan tempat belajar itu di sebuah surau dekat masjid Jeliang dibuat sebagaimana Sekolah Agama Rakyat dengan lebih seratus pelajar dan 3 orang guru. Sekolah itu dinamakan Al Madrasah Al Hidayah Al Islamiah. Pada tahun 1961 sekolah ini dibuat baru di kampung Jalan Badak dan tetekala siap maka semua pelajar dipindah ke situ. Saya Hj Zakaria sebagai Guru Besar (Mudir).

Pada 5.8.1958 mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bekas pelajar Madarasah Al-Ihya As-Sharif Semanggol, duduk di Kampung Simpang Lawin, Talang, Kuala Kangsar bernama Anisah binti Hj. Othman.

Kami telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Taala 10 orang anak iaitu lima lelaki dan lima perempuan, iaitu:
1. Ahmad Zuhairi 2. Mohd Faisal @ Ahmad Zahari 3. Noor Huda 4. Wardah
5. Muhsinuddin 6. Husnul Khatimah 7. Mohd Kamalul Abrar 8. Syamsyidar
9. Asyirah 10. Ihsan Busyro.
(Pada masa surat ini ditulis semua anak-anak ini telah bekerja dan berkahwin dan mempunyai anak-anak. Alhamdulillah.)

Masa di kampung aktiviti saya pada waktu pagi mengajar orang perempuan di surau dan masjid sekeliling dan bekerja menoreh getah dan berkebun dan lain-lain. Pada waktu petang mengajar di Madrasah Al Hidayah Al Islamiah Jeliang dan menjadi imam di Masjid Al Khairiyah Jeliang selama 40 tahun sehingga akhir tahun 1993.

Mulai tahun 1994 membangunkan sebuah Sekolah Menengah Agama di Kampung Jalan Badak diberi nama Al Maahad Al Mizan dan mengajar di situ sebagai pengetua sekolah itu sehingga tahun 2001. Dan menjadi tenaga pengajar sehingga awal tahun 2006 dan bersara dari sekolah ini.

Selepas itu saya mengajar sedikit-sedikit di Pondok Al Ridzuan, pusat pengajian pondok yang dibangunkan di kampung Jalan Badak juga. (Pondok ini ialah untuk orang tua lelaki dan perempuan).

( Sekian, Semoga Allah mencucuri Rahmat dan Keredhaan kepada roh ayahanda saya, Amin!)
.

4 comments:

  1. aminn..moga2 begitulah..Atoook!!..syg atok..sedih tak dpt jumpe atok...

    ReplyDelete
  2. salam cikgu,
    sy baru dpt tahu ayahanda cikgu meninggal dr ayh sy..
    Semoga Allah mencucuri Rahmat dan Keredhaan kpd arwah..al-fatihah

    ReplyDelete
  3. hebatnya perjuangan aruah menuntut ilmu

    ReplyDelete
  4. Alfatihah buat allahyarham .... menyoroti tiap bait kalimah bagai terasa kejerihannya...ketabahannya itu tk mungkin dpt ditiru...

    ReplyDelete