Sunday, October 24, 2010

Darihal jambangan bunga dan bilangan guru lelaki.....



Minggu lepas saya menghadiri Istiadat Konvokesyen ke-12 Sidang Kedua Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim. Difahamkan seramai 4000 orang graduan menerima Ijazah masing-masing selepas menamatkan pengajian selama 4 tahun. Majlis dibahagikan kepada 10 sesi atau selama 5 hari di mana terdapat 2 sesi pada setiap hari.

Memanglah majlis itu amat menarik dan penuh istiadat. Lebih-lebih lagi kepada saya sebagai ‘orang kampung’ yang hanya pernah menghadiri majlis seumpama itu semasa saya menerima ‘skrol’ 23 tahun yang lalu. Lepas daripada itu saya tak pernah lagi menghadiri majlis-majlis sedemikian samada mengiringi adik-adik atau pun orang lain.

Ada 2 perkara yang menarik perhatian saya semasa saya hadir pada hari tersebut.

Pertama, ialah tumbuhnya gerai menjual jambangan bunga yang begitu banyak di luar pintu masuk universiti dan di dalam kawasan universiti dan ini merupakan satu jenis ‘perniagaan bermusim’ yang 'baru' bagi saya. Rupanya sekarang ini dah menjadi ‘budaya’ pula setiap grduan itu dihadiahkan jambangan ‘bunga hidup’ sebagai tanda ucapan tahniah.

Bayangkan gerai-gerai ini kena menyediakan 4000 buah jambangan bunga yang akan dibeli oleh para waris sebagai tanda ucapan tahniah kepada para graduan. Itu sekiranya satu graduan satu jambangan. Bayangkan jika ada graduan yang menerima lebih dari satu jambangan bunga, tentu lebih banyak bunga diperlukan… Satu jambangan bunga yang telah digubah berharga antara RM40 hingga RM80, bukan murah…. Dua puluh tiga tahun dulu rasanya saya tidak melihat gerai-gerai bunga seumpama ini di majlis konvokesyen….

Meraikan kejayaan masing-masing…, setiap orang sejambangan bunga…

Yang ni, seorang dua jambangan bunga... Jika ramai yang begini, maka bekalan bunga yang lebih banyak diperlukan. Untung besarlah pengusaha tanam bunga!

Perkara kedua yang menarik perhatian saya ialah semasa saya mendengar ucapan daripada Dato Naib Canselornya. Beliau menerangkan pencapaian universiti, matlamat melahirkan bakal pendidik untuk negara dan sebagainya. Yang memeranjatkan saya apabila beliau menyebut nisbah pelajar perempuan kepada pelajar lelaki di universiti itu sekarang ialah 73 : 27.

Memang umum mengetahui pelajar perempuan telah mendominasi IPTA, tetapi angka 73 peratus itu adalah mengejutkan saya. Ini menyebabkan saya berfikir, bilangan cikgu-cikgu lelaki akan semakin berkurangan berbanding cikgu-cikgu perempuan pada masa hadapan.

Memanglah dari satu segi, perkembangan itu menunjukkan kecemerlangan pelajar perempuan dalam pendidikan amat membanggakan. Ini juga adalah satu bukti kejayaan hasil usaha memperkasa kaum wanita di Malaysia yang boleh dibanggakan supaya dapat terus bersaing dengan lelaki dalam membangun dan memajukan negara ini.

Namun persoalan yang boleh difikirkan apakah masalah disiplin yang ketara di sekolah-sekolah sekarang adalah disebabkan kurangnya bilangan guru-guru lelaki. Lebih-lebih lagi di sekolah-sekolah bandar besar di mana bilangan guru perempuan terlalu ramai berbanding guru lelaki.

Bayangkan pada masa hadapan jika guru lelaki semakin berkurangan, maka guru wanita terpaksa menghadapi semua masalah disiplin yang berlaku di sekolah-sekolah. Mampukah mereka berdepan dengan generasi yang suka main ’game’ komputer ini. Silap-silap budak-budak itu ’delete’ cikgu tersebut...

Saya tidak memandang rendah terhadap kebolehan guru wanita dalam menghadapi situasi yang melibatkan masalah disiplin pelajar, tetapi dengan kehadiran ramai guru lelaki sekurang-kurangnya pelajar yang bermasalah dapat dikawal apabila pelajar berkenaan berasa ’cuak’ kepada guru yang lebih besar dan bertenaga daripada mereka.

Mujur kat SMKSTA bilangan guru lelaki masih ramai dan gagah-gagah belaka!
Tapi..... masalah disiplin di kalangan pelajar banyak juga ye???
.

1 comment: