Sunday, October 31, 2010

Kijang Vs Rusa.

Akhirnya Skuad Kijang dapat membalas dendam di atas kekalahan mereka kepada Skuad Rusa pada tahun lepas. Kali ini si Kijang menang dengan mengalahkan si Rusa dengan jaringan 2-1.

Tahniah diucapkan kepada seluruh pemain dan penyokong Kijang di atas kemenangan pasukan yang terkenal dengan jolokan The Red Warriors yang telah ‘menghiburkan’ peminat-peminat bolasepak di negara ini pada malam semalam.

Teman tumpang sekaki aje. Yop Seladang tak menjadi-jadi lagi nampaknya....

Cerita dari Majalah di Mesir

(diringkaskan untuk pengajaran buat kita semua)

Menurut majalah tersebut, pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walau pun tinggal dibumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata. Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan dari pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.

Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya."Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki...." nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan mengejek. "Siapalah kamu hai orang tua? Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?"

Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata kata yang lebih dahsyat."Ambil hanphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahannam untukku," katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawasanya dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan dari si gadis manis. Sayang wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis yang masih muda itu yang tidak menghormati hukum hakam itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.

Sepuluh minit kemudian bas pun tiba perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut di dapati tertidur. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka.

Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu.Dalam suasana kelam kabut itu, mayat gadis itu dibawa turun lalu diletakkan di pinggir jalan. Orang ramai berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya.

Mayatnya menjadi hitam seolah olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat.

Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu. Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Nauzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan ikhtibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslim sejati.

Jangan sekali sekali kita mempertikaikan hukum Allah dan mahupun sunnah RasulNya saw dengan mempersendakan atau ejekan.Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.

.

Friday, October 29, 2010

Inna lilLah...

Pada hari Khamis yang lepas telah diadakan Kursus Pengurusan Jenazah di sekolah kami. Kursus ini merupakan sebahagian daripada program selepas PMR pelajar-pelajar tingkatan 3.

Seramai dua orang tenaga pengajar dari Kolej Komuniti telah dijemput memberikan kursus tersebut kepada para pelajar dan guru-guru sekolah ini. Kursus bermula dengan sesi penerangan menggunakan slide power point dan tayangan video bagi pengurusan jenazah.

Selepas itu diadakan sesi amali memandi dan mengkafankan jenazah. Dalam sesi ini pelajar-pelajar lelaki dan pelajar-pelajar perempuan di asingkan di tempat yang berlainan.

Gambar-gambar di atas menunjukkan latihan amali memandikan jenazah yang telah dijalankan. Tahniah dan terimakasih kepada pelajar yang telah sanggup menjadi sampel ”jenazah” dan dimandikan dengan air sintuk, air cendana dan air kapur barus.....

Monday, October 25, 2010

Penerangan Penderitaan Rakyat Ghaza


Malam minggu lepas, di Masjid Sultan Yusuf Kampung Jeliang diadakan Program Penerangan Penderitaan Rakyat Gaza Palestin dan Program Qiamullail. Program ini dianjurkan oleh sebuah NGO di Kuala Kangsar dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid kampung ini.

Saya sungguh terharu mendengar slot yang disampaikan sendiri oleh Saudara Mustaffa Mansor pada malam itu. Beliau telah menerangkan kisah penderitaan rakyat Gaza sekarang ini ketika berdepan dengan tentera Yahudi laknatuLlah. Beliau telah menunjukkan slaid dan klip video yang beliau rakam sendiri semasa beliau dan rombongannya melawat Gaza beberapa bulan yang lalu.

Banyak yang saya dapat dari penerangan beliau. Antaranya, ’kekuatan dalaman’ rakyat Ghaza yang mempertahankan hak tanah air mereka. Kekuatan ini bukan alang-alang orang mampu melakukannya. Contohnya mereka berjaga malam mempertahan rumah-rumah dan tanah mereka dari diceroboh oleh rejim zionis. Para ustaz dan guru-guru pula melatih dan mendidik anak-anak kecil dan para remaja mereka yang bakal mewarisi negara mereka dengan kekuatan ilmu agama dan menghafaz al Quran. Sebab itu, mereka tidak takut, malah berani untuk terus tinggal di rumah mereka walaupun telah ditembak dan dibom oleh tentera Israel. Pada mereka jika mereka mati dalam mempertahankan rumah dan tanah air mereka, mereka akan mendapat shahid...

Memang sayu melihat gambar-gambar anak-anak yang tak berdosa di tembak dan dibom oleh tentera Israel... namun semangat juang orang-orang Gaza terus bertahan. Semoga Allah memberi kemenangan kepada mereka. Marilah kita sama-sama mendoakan saudara se Islam
dengan kita ini agar Allah menyelamatkan mereka dan tanah air mereka....

Lihatlah kemusnahan di semenanjung Gaza...

Walaupun bangunan ini telah dibom, rakyat Gaza masih tinggal di bangunan tersebut kerana mempertahannya dari dirampas oleh rejim zionis

Semoga saudara-saudara kita ini dapat mempertahankan tanah air mereka, kedaulatan negara mereka dan agama Islam yang maha suci......

Road Show Pengarah dan Perancangan Strategik 2010 2011


Hari Khamis yang lepas saya menghadiri Program Pengarah Pelajaran Perak Bersama Pengetua, Guru Besar dan Penolong Kanan Sekolah-sekolah Daerah Kuala Kangsar. Program berlangsung di Auditorium Kolej Islam Darul Ridzuan di Bukit Chandan seawal 8.00 pagi lagi. Seramai lebih 200 orang hadir bagi mendengar amanat dan visi serta misi Tn Pengarah Pelajaran Perak yang baru, En. Mohd Rauhi bin Mohd Isa.

Di majlis itu, kami dibentangkan dengan Perancangan Strategik 2010-2011 Jabatan Pelajaran Perak.

Berikut saya perturunkan beberapa perkara penting di dalam perancangan strategik tersebut untuk makluman dan tindakan kita bersama-sama:

VISI

Melonjakkan kecemerlangan dalam pencapaian akademik, kokurikulum dan imej perkhidmatan.

MISI

Kami warga pendidik negeri Perak akan memastikan misi berikut dilaksanakan:

1. Memperkasakan kepimpinan instruksional dan membina kepimpinan transformasional.
2. Membangun dan meningkatkan kualiti warga pendidikan.
3. Membudayakan headcount di JPN, PPD dan sekolah.
4. Melaksanakan pemantauan dan penyeliaan secara bersepadu di semua peringkat.
5. Memantapkan pelaksanaan program kecemerlangan dan program khas.

SLOGAN

PERAK SENTIASA DI PUNCAK KECEMERLANGAN


SASARAN

Sasaran UPSR 2010 – tempat ke-7 peringkat Kebangsaan
Sasaran UPSR 2011 – tempat ke-5 peringkat Kebangsaan

Sasaran PMR 2010 – tempat ke-7 peringkat Kebangsaan
Sasaran PMR 2011 – tempat ke-5 peringkat Kebangsaan

Sasaran SPM 2010 – tempat ke-7 peringkat Kebangsaan
Sasaran SPM 2011 – tempat ke-5 peringkat Kebangsaan

Sasaran STPM 2010 – tempat ke-5 peringkat Kebangsaan
Sasaran STPM 2011 – tempat ke-3 peringkat Kebangsaan


Ada banyak lagi maklumat berkaitan Perancangan Strategik JPN ini. Untuk mengetahui lebih jelas layari portal JPN di sini:

http://pelajaranperak.gov.my/v2/modules/mastop_publish/files/files_4cc4f6c630868.pdf

.



Sunday, October 24, 2010

Darihal jambangan bunga dan bilangan guru lelaki.....



Minggu lepas saya menghadiri Istiadat Konvokesyen ke-12 Sidang Kedua Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim. Difahamkan seramai 4000 orang graduan menerima Ijazah masing-masing selepas menamatkan pengajian selama 4 tahun. Majlis dibahagikan kepada 10 sesi atau selama 5 hari di mana terdapat 2 sesi pada setiap hari.

Memanglah majlis itu amat menarik dan penuh istiadat. Lebih-lebih lagi kepada saya sebagai ‘orang kampung’ yang hanya pernah menghadiri majlis seumpama itu semasa saya menerima ‘skrol’ 23 tahun yang lalu. Lepas daripada itu saya tak pernah lagi menghadiri majlis-majlis sedemikian samada mengiringi adik-adik atau pun orang lain.

Ada 2 perkara yang menarik perhatian saya semasa saya hadir pada hari tersebut.

Pertama, ialah tumbuhnya gerai menjual jambangan bunga yang begitu banyak di luar pintu masuk universiti dan di dalam kawasan universiti dan ini merupakan satu jenis ‘perniagaan bermusim’ yang 'baru' bagi saya. Rupanya sekarang ini dah menjadi ‘budaya’ pula setiap grduan itu dihadiahkan jambangan ‘bunga hidup’ sebagai tanda ucapan tahniah.

Bayangkan gerai-gerai ini kena menyediakan 4000 buah jambangan bunga yang akan dibeli oleh para waris sebagai tanda ucapan tahniah kepada para graduan. Itu sekiranya satu graduan satu jambangan. Bayangkan jika ada graduan yang menerima lebih dari satu jambangan bunga, tentu lebih banyak bunga diperlukan… Satu jambangan bunga yang telah digubah berharga antara RM40 hingga RM80, bukan murah…. Dua puluh tiga tahun dulu rasanya saya tidak melihat gerai-gerai bunga seumpama ini di majlis konvokesyen….

Meraikan kejayaan masing-masing…, setiap orang sejambangan bunga…

Yang ni, seorang dua jambangan bunga... Jika ramai yang begini, maka bekalan bunga yang lebih banyak diperlukan. Untung besarlah pengusaha tanam bunga!

Perkara kedua yang menarik perhatian saya ialah semasa saya mendengar ucapan daripada Dato Naib Canselornya. Beliau menerangkan pencapaian universiti, matlamat melahirkan bakal pendidik untuk negara dan sebagainya. Yang memeranjatkan saya apabila beliau menyebut nisbah pelajar perempuan kepada pelajar lelaki di universiti itu sekarang ialah 73 : 27.

Memang umum mengetahui pelajar perempuan telah mendominasi IPTA, tetapi angka 73 peratus itu adalah mengejutkan saya. Ini menyebabkan saya berfikir, bilangan cikgu-cikgu lelaki akan semakin berkurangan berbanding cikgu-cikgu perempuan pada masa hadapan.

Memanglah dari satu segi, perkembangan itu menunjukkan kecemerlangan pelajar perempuan dalam pendidikan amat membanggakan. Ini juga adalah satu bukti kejayaan hasil usaha memperkasa kaum wanita di Malaysia yang boleh dibanggakan supaya dapat terus bersaing dengan lelaki dalam membangun dan memajukan negara ini.

Namun persoalan yang boleh difikirkan apakah masalah disiplin yang ketara di sekolah-sekolah sekarang adalah disebabkan kurangnya bilangan guru-guru lelaki. Lebih-lebih lagi di sekolah-sekolah bandar besar di mana bilangan guru perempuan terlalu ramai berbanding guru lelaki.

Bayangkan pada masa hadapan jika guru lelaki semakin berkurangan, maka guru wanita terpaksa menghadapi semua masalah disiplin yang berlaku di sekolah-sekolah. Mampukah mereka berdepan dengan generasi yang suka main ’game’ komputer ini. Silap-silap budak-budak itu ’delete’ cikgu tersebut...

Saya tidak memandang rendah terhadap kebolehan guru wanita dalam menghadapi situasi yang melibatkan masalah disiplin pelajar, tetapi dengan kehadiran ramai guru lelaki sekurang-kurangnya pelajar yang bermasalah dapat dikawal apabila pelajar berkenaan berasa ’cuak’ kepada guru yang lebih besar dan bertenaga daripada mereka.

Mujur kat SMKSTA bilangan guru lelaki masih ramai dan gagah-gagah belaka!
Tapi..... masalah disiplin di kalangan pelajar banyak juga ye???
.

Wednesday, October 20, 2010

Monorel Arafah-Mina Diuji Hari Ini.


MAKKAH: Sistem monorel yang baru siap dibina akan digunakan buat pertama kali pada musim haji tahun ini bagi mengangkut jemaah untuk perjalanan antara Arafah dan Mina.

Wartawan Malaysia yang dipimpin pengurus pasukan media Tabung Haji (TH) Malaysia, Ahmad Fadzil Ghazali, berpeluang melihat sistem itu dilaksanakan secara percubaan hari ini.

Bagaimanapun, difahamkan pada peringkat permulaan sistem pengangkutan itu akan hanya dibuka kepada jemaah haji tempatan.Sistem itu penting bagi mengatasi kesesakan lalulintas setiap musim haji terutama ketika jemaah bergerak menuju ke Padang Arafah untuk melakukan wukuf di sana - satu daripada rukun haji yang mesti dipenuhi oleh setiap jemaah.

Wukuf kali ini ialah pada 15 November, bersamaan 9 Zulhijjah. Jemaah haji dari Makkah akan bertolak ke Arafah dengan berpakaian ihram pada 8 Zulhijjah dan bermalam di sana.

Di Arafah, jemaah ditempatkan mengikut benua dan kemudian negara. Khemah disediakan oleh Muassasah, badan kerajaan Arab Saudi yang mengurus haji.

Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia musim ini akan dibawa dengan bas ke Arafah untuk bersama jutaan umat Islam lain. Pasukan wartawan Malaysia turut melihat persiapan untuk kemudahaan jemaah di Arafah, Mudzalifah dan tempat melontar di Mina.

Kerja penyelenggaraan dan mencantikkan Arafah yang terletak kira-kira 21.9 kilometer dari Makkah giat dilaksanakan. - BERNAMA


.

Tuesday, October 19, 2010

Pasukan Robotik Di Pameran Pendidikan

Berikut ialah gambar kenangan gerai pameran Kelab Robotik SMKSTA Manong di hari Program MB Bersama Komuniti Pendidikan pada 16 Oktober 2010 yang lalu....

Monday, October 18, 2010

Buat Warga SMKSTA

Semasa majlis berhenti rehat, tuan pengetua memohon YAB Menteri Besar mencatatkan sesuatu pesanan buat kenangan warga SMKSTA....




.

Gambar-gambar Program MB Bersama Komuniti Pendidikan


Friday, October 15, 2010

PTK Mansuh…


Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecepatan (PTK) untuk kakitangan awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.Katanya, PTK akan digantikan dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima oleh penjawat awam menjelang Jun 2011.


Beliau menegaskan demikian ketika membentangkan bajet 2011 di Dewan Rakyat petang ini. Perdana menteri berkata, keputusan itu dibuat dalam usaha berterusan menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambilkira maklumbalas para penjawat awam.Katanya, penjawat awam selaku pelaksana dasar adalah komponen yang amat penting dalam usaha negara merealisasikan wawasan kebangsaan."Tanpa agen pelaksana yang cekap, berkesan dan dinamik, wawasan negara akan hanya tinggal sekadar matlamat murni", tegas perdana menteri.

Rasa tidak puas hati berkaitan PTK tidak sahaja bangkit dari kakitangan bawahan, malah sehingga peringkat pegawai kanan kerajaan.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu PTK dikaji semula termasuk dari segi kenaikan pangkat dengan tidak hanya mengutamakan mereka yang lulus cemerlang tahap empat sahaja. Sebaliknya, Presidennya, Omar Osman dilaporkan berkata penjawat awam yang lulus tahap tiga namun berpengalaman dan menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, juga perlu diberikan keutamaan untuk kenaikan pangkat.


Katanya, ini kerana sejak PTK diperkenalkan pada 2002, kakitangan lama memang sukar untuk mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK berbanding kakitangan muda. Mengikut sistem PTK, mereka yang lulus tahap empat layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat dan anjakan gaji manakala lulus tahap tiga layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.


Ramai kakitangan lama yang berpengalaman, sukar menikmati kenaikan pangkat disebabkan lulus tahap tiga dan terpaksa bersaing dengan mereka yang lulus cemerlang tahap empat.

.

Selamat Datang.....


Segala-galanya telah siap sedia untuk majlis YAB Menteri Besar Perak bersama Warga Pendidik dan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kuala Kangsar 2010.
Majlis tersebut akan berlangsung pada 16 Oktober (hari Sabtu) mulai jam 8.30 pagi bertempat di padang SMK Sultan Tajul Ariffin, Manong. Seramai 2000 orang disasarkan untuk hadir ke majlis ini.

Majlis tersebut diadakan sempena Program Sehari Menteri Besar bersama warga Pendidik, Pegawai Awam dan Masyarakat Setempat di Manong ini. Pada sebelah pagi majlis berlangsung di SMK Sultan Tajul Ariffin, manakala di sebelah petang majlis bersama komuniti pula di SK Manong dan juga di kampung Guar.

Selamat datang diucapkan kepada semua para jemputan ke sekolah kami….

Gambar berikut menunjukkan khemah-khemah yang dibina bagi majlis di padang sekolah itu nanti …

Tuesday, October 12, 2010

Larangan Merokok Di Kawasan Sekolah...

Sekolah sebagai 'kawasan larangan merokok' sudah diwartakan sejak dulu lagi. Sayangnya, ia kadang-kadang tidak diambil perhatian oleh banyak pihak. Pekeliling tentang sekolah kawasan larangan merokok sudah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Namun begitu masalah rokok di sekolah masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Kegiatan merokok di kalangan pelajar sekolah dewasa ini kian membimbangkan. Kempen yang dijalankan oleh KPM, JPN, PPD dan sekolah seperti tiada memberi kesan dan kesedaran buat mereka. Pihak sekolah kini berdepan dengan masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing termasuk pelajar merokok.

Pelbagai faktor yang menyebabkan gagalnya kempen sekolah kawasan bebas rokok. Antaranya ialah:


(i) Terdapat segelintir kakitangan dan para pelanggan sekolah yang tidak mematuhi larangan merokok di kawasan sekolah.

(ii) Budaya merokok sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat.

(iii) Kementerian Kesihatan masih tidak melaksanakan ketegasan dalam kompaun terhadap sekolah, guru dan orang ramai mengikut Pekeliling Kesihatan Awam bil 1/1997.

(iv) Menganggap rokok bukan masalah besar.

(v) Papan Tanda amaran 'Sekolah kawasan larangan merokok' tidak digeruni dan tidak diberi perhatian.

(vi) Pelajar mudah belajar dari pelakuan orang yang merokok. Mereka mula mencuba dan akhirnya rokok sudah tidak dapat dipisahkan dengan pelajar.

(vii) Guru sebagai model, tetapi kadang-kadang model yang merosakkan jika dia juga perokok.

(viii) Kempen Anti rokok atau Nafas Segar kurang berkesan dan menginsafkan. Bukan kegagalan isi programnya tetapi kesedaran dari masyarakat kita.

Sama-sama kita renungkan dan bertindak, Jika tidak slogan, ”Sekolah bebas dadah 2012’ hanya akan tinggal slogan sahaja!!





Saturday, October 9, 2010

Format Baru PMR Dan UPSR Mulai 2016

SYDNEY: Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menggunakan format baru mulai 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun 6 akanmempunyai bentuk dan format yang agak berbeza.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian perlu mengambil masa untuk melaksanakan sistem penilaian yang baru itu kerana pelajar yang ada dalam sistem sekarang tidak boleh dibebani dengan format baru.

"Kalau kita nak mulakan penambahbaikan UPSR dan PMR itu, ia mungkin akan bermula seawal-awalnya pada tahun 2016.

"Pelajar yang telah ada dalam sistem sekarang ini tidak perlu kita hadapkan dengan ujian baru kerana mereka telah berada dalam sistem ini...tapi kohort yangbaru masuk mungkin pada 2011, maka ujian yang pertama ialah pada 2016," katanyakepada wartawan Malaysia di sini, Sabtu.
Beliau berkata rundingan ketiga dan terakhir meja bulat mengenai penambahbaikan sistem peperiksaan itu telah selesai dan mereka menerima baik pandangan dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan kementerian. "Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan manakala bagi PMR pula umumbersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah.
"Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai," katanya.

Muhyiddin berkata antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.

Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet dan maklumat terperinci mengenai penambahbaikan itu akan diumum apabila ia diputuskan secara muktamad.
Mengenai penilaian berasaskan sekolah bagi PMR pula, Muhyiddin berkata Lembaga Peperiksaan akan memainkan peranan penting untuk menyelaras bentuk ujian yang akan dilakukan di peringkat sekolah itu.

"Mungkin dalam masa seminggu lagi kita akan maklumkan secara muktamad," katanya.
Muhyiddin berkata penambahbaikan itu akan memperkukuhkan lagi sistem dan kualiti pendidikan negara, dan tidak dilihat sebagai berasaskan peperiksaan semata-mata.
Beliau berkata program perintis penilaian berasaskan sekolah itu telah dilaksanakan sejak 2008 dan sehingga kini ia melibatkan 550 sekolah.

Penambahbaikan sistem peperiksaan UPSR dan PMR itu akan melibatkan perubahan dari segi kurikulum, buku dan latihan untuk guru, katanya. - BERNAMA

Majlis Malam Mesra Alumni SMKSTA

Malam ini saya menghadiri program Majlis Malam Mesra Alumni SMKSTA Manong. Majlis yang mengumpulkan bekas-bekas pelajar itu bermula jam 8.00 malam di dewan besar SMKSTA. Menurut jangkaan saya hampir 400 orang hadir di majlis tersebut. Tahniah kepada jawatankuasa Alumni. Semoga kewujudan alumni ini akan menjadi satu lagi forum yang dapat membantu aspek kebajikan pelajar sekolah ini selain PIBG yang sedia ada.