Saturday, July 30, 2011

Hari Kokurikulum, Hari Kiosk Keusahawanan dan Hari Koperasi

.

Berikut adalah gambar-gambar sekitar program Hari Kokurikulum, Hari Kiosk Keusahawanan dan Hari Koperasi 2011, SMA Maahad Al Mizan yang telah berlangsung pada 30 Julai bersamaan hari Sabtu....












Wednesday, July 27, 2011

Kem Kecemerlangan PMR SABK Negeri Perak

.
Pada 22 hingga 24 Julai 2011 yang lalu telah diadakan Kem Kecemerlangan PMR Sekolah-sekolah Agama Bantuan Kerajaan Negeri Perak bertempat di Maahad Tarbiyah Islamiah Batu 8, Changkat Jering. Seramai 10 orang pelajar ting. 3 dari setiap sekolah SABK telah terpilih menjadi peserta kem tersebut. Objektif utama kem ini adalah bagi membantu para pelajar cemerlang dari setiap sekolah mencapai ‘straight A’ dalam peperiksaan PMR nanti.

Pada hari Ahad 24 Julai, iaitu hari terakhir kem tersebut, telah diadakan pula perjumpaan guru-guru tingkatan 3 seluruh SABK negeri Perak dengan Dato’ Pengarah Pelajaran Negeri Perak dimana setiap sekolah dikehendaki menghantar 10 orang guru tingkatan 3 ke majlis itu. Saya mewakili tn pengetua telah hadir bersama 10 orang guru lagi mewakili sekolah saya.

Dalam ucapan panjang lebar dan bersemangat Dato’ Pengarah JPN telah menjelaskan hasrat dan hala tuju JPN Perak bagi mencapai visinya iaitu kecemerlangan dalam akademik, kecemerlangan dalam kokurikulum serta meningkatkan imej perkhidmatan pelajaran Perak. Saya sebenarnya sangat kagum dengan kerja kuat Dato’ Pengarah bagi meningkatkan taraf pencapaian peperiksaan awam negeri perak walaupun dengan bekerja 7 hari seminggu. Beliau telah sanggup berjumpa setiap kumpulan guru di negeri ini bagi menyampaikan hasrat dan hala tuju JPN.

Bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan awam tahun ini, beliau telah menggesa semua warga pendidik di negeri ini “melaksanakan tindakan segera” atau “sense of egency”. Usaha Sektor Pendidikan Islam melaksanakan kem kecemerlangan PMR kepada pelajar SABK seperti pada 22-24 Julai itu adalah satu sense of egency bagi mencapai peningkatan bilangan pelajar mendapat straight A. Bagi mencapai peningkatan peratus lulus, pihak sekolah diminta mengadakan program tersendiri untuk calon-calon PMR mereka.

Semasa majlis penutup kem kecemerlangan itu, telah diadakan penyampaian anugerah untuk sekolah SABK yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini. Sekolah saya telah menerima 3 hadiah, iaitu tempat kedua tertinggi GPS, pencapaian terbaik subjek KHB dan anugerah guru KHB terbaik di kalangan sekolah-sekolah SABK negeri Perak.







Saya mewakili sekolah menerima hadiah dari Dato’ Dr. Syed Omar Shariffudin, Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak , diperhatikan oleh Dato Pengarah

SABK Al Mizan diwakili oleh 6 pelajar cemerlang lelaki dan 4 pelajar cemerlang perempuan

Monday, July 25, 2011

2 bulan di sekolah yang baru...

Berikut adalah beberapa program / aktiviti yang saya hadiri sepanjang tempoh masa sebulan dua ini....



Latihan Dalam Perkhidmatan (Ladap) bil. 5 pada hari Sabtu



Bengkel audit akademik peperiksaan pertengahan tahun



Program Pecutan Akhir Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh



Menghadiri Mesyuarat Sekolah-sekolah SABK yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah JPN Perak di BTPN Ipoh



Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar



Mewakili pengetua ke Multaqa Pengetua-pengetua SABK / SMAN Peringkat Kebangsaan di Hotel Putra Kuala Lumpur



Kejohanan Olahraga sekolah



Ikrar mematuhi peraturan sukan



Acara tarik tali antara rumah...




Menghadiri Majlis penutup Program Anti dadah peringkat sekolah...



Pasukan yang menjadi johan dikir barat membuat persembahan.


Ikrar tidak akan mendekati dadah


Dua beradik yang sangat rapat



Saya ingin mencatatkan dalam ‘post’ kali ini tentang perihal almarhum ayahanda saya dan almarhum bapa saudara saya yang kedua-duanya telah kembali ke RahmatulLahi Taala baru-baru ini.


Sebenarnya ayahanda saya Tn Hj Zakaria adalah anak yang ketiga dan yang bungsu dalam keluarga nenda saya Tn Hj Sulaiman dengan Hjh Teh Fatimah. (Keluarga ini mempunyai tiga orang anak yang kesemuanya adalah lelaki dan seorang lagi anak angkat perempuan). Manakala bapa saudara saya Tn Hj Abdul Aziz adalah adalah anak kedua atau yang tengah. Sebab itu anak-anak saudara mereka memanggil ayahanda saya sebagai “ayah cu” dan memanggil bapa saudara saya itu sebagai “ayah ngah”. Seorang lagi bapa saudara saya iaitu yang tua ialah Tn Hj Mahyuddin di panggil “ayah we”.

Kedua-dua ayahanda saya dan ‘ayah ngah’ saya agak banyak persamaan berbanding abang mereka yang sulung atau “ayah we” saya. Ini kerana mereka berdua merupakan guru “Sekolah Arab” manakala “ayah we” saya adalah guru agama di sekolah kebangsaan.

Ayahanda saya menubuhkan “Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Arab” di kampung Jeliang ini pada tahun 1956 sebaik sahaja balik dari Makkah sebagaimana saya ceritakan dalam “posting” yang lepas. “Orang kanan” atau orang kuatnya yang mentadbir sekolah yang bernama “Madrasah Hidayah Islamiah Kampung Jeliang” ini adalah abangnya sendiri iaitu ayah ngah saya. Mereka berdua inilah yang menjadi Mudir dan Timbalan Mudir sekolah ini sejak penubuhannya pada tahun 1956 sehinggalah ke tahun 1995 iaitu kira-kira hampir 40 tahun lamanya.

Pada tahun 1995 ayah ngah saya mengambil alih jawatan Mudir kerana ayahanda saya membuka dan mengasaskan ‘Sekolah Arab Menengah’ di kampung ini yang diberi nama Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah Kampung Jeliang, yang kemudian ditukar namanya kepada SMA Maahad Al Mizan.





Gambar yang bersejarah ini diambil dalam tahun 1961 semasa suatu ‘majlis’ di Sekolah Agama Rakyat Hidayah Islamiah Kampung Jeliang. Lihatlah betapa ramai anak-anak murid sekolah ini pada masa itu. Kanak-kanak kecil yang berdiri di samping ayahanda saya itu adalah saya sendiri. Masa itu saya baru berumur 2 tahun…



Gambar yang dibesarkan… di sebelah kanan ayahanda saya ialah bonda saya yang juga salah seorang tenaga pengajar di situ, dan di sebelah kiri ayahanda saya ialah ayah ngah saya selaku timbalan mudir.


Apa yang saya nak kongsikan dalam ‘post’ ini bukanlah sekadar nak tunjukkan gambar lama itu, tetapi nak kongsikan tentang satu sifat yang saya rasa amat istimewa yang ada pada ayahanda saya dan bapa saudara itu.

Ayahanda dan ayah ngah saya semasa hayatnya mempunyai banyak persamaan. Pertama mereka berdua sebagai guru agama di ‘sekolah arab’. Sekolah ini beroperasi pada sebelah petang. Jadi di sebelah pagi, mereka berdua adalah bekerja sendiri sebagai pekebun, penoreh getah, pesawah dan sebagainya. Sebagai pekebun mereka selalu berkebun bersama-sama di tanah yang diberi oleh nenda saya atau di tanah yang mereka beli sendiri. Begitu juga semasa bersawah padi, mereka selalu menjayakan sawah padi itu bersama-sama. Saya masih ingat semasa saya kecil dulu akan keseronokan bersawah padi di sawah di bendang Pulau Jitan Lempor. Bendang ayahanda saya dan bendang bapa saudara letaknya bersebelahan saja.


Kedua-dua ayahanda dan bapa saudara ini adalah guru agama bertauliah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Jadi pada sebelah malam atau hari cuti hujung minggu, mereka akan mengunjungi masjid dan surau untuk mengajar masyarakat akan ilmu-ilmu Islam. Apabila ada kursus atau mesyuarat samada di Kuala Kangsar atau di Ipoh, mereka berdua akan pergi bersama-sama. Sama-sama akan pergi dengan menaiki bas Wai Thung! Duduk sebelah menyebelah… Apa yang menarik, perawakan mereka berdua juga hampir sama. Kedua-duanya sentiasa berserban dan berkain pelaikat.

Ada orang memberitahu saya, mereka tak pernah melihat dua orang adik beradik yang begitu baik dan rapat satu sama lain seperti ayahanda dan bapa saudara saya. Mereka selalu pergi ke mana-mana berdua. Hubungan yang begitu rapat inilah yang nak saya kongsikan dengan rakan-rakan semua. Kalau kita bandingkan pada hari ini ada orang adik beradik yang tak bertegur sapa atau ada orang adik beradik tetapi hubungannya agak renggang. Malahan orang itu lebih rapat dengan kawan-kawan lain berbanding dengan adik beradik sendiri.

Semoga kita dan adik beradik kita akan menjadi adik beradik yang sentiasa berbaik sangka dan bersatu hati dalam banyak hal seperti halnya ayahanda dan bapa saudara saya ini. Saling bekerja sama dan mempunyai hubungan yang sangat baik antara satu sama lain. WalLahu Aklam…


Friday, July 15, 2011

Ayah ngah dalam kenangan




Lima belas hari selepas ayahanda saya meninggal dunia, bapa saudara saya Tn Hj Abdul Aziz b Hj Sulaiman pula menghembuskan nafas terakhir. Beliau meninggal adalah pada 24 Jun 2011 bersamaan hari Jumaat iaitu pada kira-kira jam 12.30 tengah hari di hospital daerah Kuala Kangsar. Beliau yang berumur 84 tahun telah lama terlantar akbibat sakit kanser meninggalkan seorang isteri, sepuluh orang anak, 50 cucu dan beberapa orang cicit. Jenazah beliau selamat disemadikan pada hari yang sama di tanah perkuburan Islam Kampung Jeliang iaitu bersebelahan dengan kubur cucundanya Abdul Fatah yang meninggal akibat kemalangan jalanraya dua bulan sebelumnya.

Bapa saudara saya ini lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Bedul juga merupakan seorang guru agama di sekolah agama rakyat Jeliang pada masa sihatnya. Beliau semasa hayatnya menjadi Penolong Pendaftar Nikah atau Naib Kadi bagi kariah Jeliang, Lempor, Ara Panjang dan Guar selama hampir 30 tahun. Boleh dikatakan orang-orang muda yang nak mengahwini anak-anak gadis dari 4 kampung ini akan mengenali beliau terutama selepas disoal balas di majlis akad nikah tersebut…
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ‘ayah ngah’ saya ini, Amin!





Ayahanda yang dikasihi.


Hari Khamis 9 Jun 2011 bersamaan 7 Rejab 1432H adalah satu tarikh yang tak dapat saya lupakan. Ini kerana pada tarikh itu ayahanda saya yang dikasihi Tn Hj Zakaria b Hj Sulaiman telah kembali ke RahmatuLlah pada kira-kira jam 8.30 pagi. Almarhum ayahanda meninggal dunia setelah tidak sihat selama beberapa hari sebelum itu. Almarhum ayahanda menyahut panggilan Ilahi pada usia 82 tahun. Almarhum meninggalkan bonda yang dikasihi, kami 10 beradik dan 42 orang cucunda. Ayahanda selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Jeliang selepas solat Asar pada hari yang sama.






Pada saya, ayahanda yang dikasihi adalah seorang yang sangat berjasa khususnya kepada kami sekeluarga dan masyarakat sekeliling kami umumnya. Kalau boleh saya menceritakan, sejak dari mudanya, ayahanda adalah seorang yang sangat suka menuntut ilmu terutama ilmu Agama. Selepas menamatkan sekolah rendah, beliau belajar di sekolah pondok di Benut Payung Kelantan dan juga di Kedah Darul Aman. Hajat beliau untuk menyambung pelajaran di Makkah al Mukarramah tidak kesampaian apabila sesampainya beliau di sana pada tahun 1955 telah berlaku keadaan ‘tegang’ dan peperangan antara Negara-negara Arab dan Israel menyebabkan rakyat negara luar tidak dibenarkan berada di negara tersebut.






Apabila ayahanda balik dari Makkah itu, beliau telah mendirikan rumah tangga pada usia 3o tahun dan membuka Sekolah Agama Rakyat di Kampung Jeliang ini bagi meneruskan perjuangannya menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat. Walaupun pada masa itu terdapat berbagai tawaran untuk beliau berkhidmat dengan kerajaan seperti menjadi Kadi dan guru agama, namun ayahanda lebih berminat untuk membuka sekolah agama dalam visinya menyampaikan risalah dan dakwah Islamiah kepada masyarakat di samping bekerja sendiri untuk menyara diri dan keluarganya.






Begitulah kehidupan ayahanda yang dikasihi, pada sebelah pagi beliau menjadikan kebun getah, dusun dan sawah sebagai tempat perjuangannya, sebelah petang beliau akan meneruskan tugas mendidik anak bangsa mengenal agama Islam yang suci di ‘Sekolah Arab’nya dan sebelah malamnya pula beliau akan mengunjungi masjid-masjid dan surau-surau bagi menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat kerana beliau dilantik sebagai Guru Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Selain itu ayahanda merupakan imam di masjid dan merupakan pakar rujuk berkaitan ilmu agama kepada masyarakat sekeliling.






Perjuangan ayahanda di sekolah agama rakyat yang dikenali juga Madarsah Hidayah Islamiah Kampung Jeliang selama hampir 40 tahun itu diteruskan pula di SMA Maahad Al-Mizan apabila sekolah al Mizan itu ditubuhkan pada tahun 1995. Ayahanda menjadi pengasas dan pengetuanya yang pertama. Waktu itu ayahanda saya sudah pun berusia 67 tahun, namun perjuangannya sukar ditandingi. Segala perit getir dilalui dengan tabah. Beliau bukan sahaja sebagai pengetua tetapi juga sebagai ‘tukang kebun’, ‘pencuci bilik air’ atau apa sahaja tugas yang perlu yang mampu dilakukan bagi ‘menghidupkan’ sekolah menengah agama itu pada peringkat awalnya.










Saya masih ingat, mana ada pengetua yang ‘gaji’nya lebih rendah berbanding guru-guru-guru biasa di sekolahnya. Tetapi itu ada pada yang dikasihi ayahanda saya. Beliau membayar gaji guru melebihi gajinya sendiri semata-mata kerana hendakkan guru-guru muda itu kekal mengajar di situ. Namun segala kesusahan dan ‘pahit maung’ beliau terubat apabila orang ramai dan masyarakat luar terus memberi sokongan dengan memberi bantuan kewangan termasuk membeli ‘wakaf kaki’ dan menghantar anak-anak untuk belajar ke sekolah tersebut.






Ayahanda saya meletakkan jawatan sebagai pengetua pada tahun 2000 apabila beliau merasa tidak mampu meneruskan tugas yang sangat mencabar itu berbanding usianya. Lagi pun beliau sudah nampak penggantinya iaitu al fadzil ustaz Hj Megat Radzuan yang baru bersara dari jawatan kerajaan pada masa itu. Selepas itu, ayahanda masih menerus tugas sebagai seorang guru biasa di sekolah tersebut sehinggalah pada tahun 2006. Selain daripada itu ayahanda meneruskan tugas dakwahnya dan memimpin orang ramai mengenali ilmu Islam apabila beliau menjadi salah seorang tenaga pengajar di Pondok AlRidzuan Kpg Jalan Badak dan juga mengajar di masjid Jeliang sehinggalah ke akhir hayatnya.






Sesungguhnya saya sangat berbangga mempunyai seorang ayahanda seperti beliau. Beliau merupakan seorang yang tegas tetapi sangat menyayangi anak-anaknya. Kesemua kami diberi pendidikan yang secukupnya setakat mana yang kami mampu. Tidak pernah ada alasan ‘tidak ada duit’ untuk belajar. Pergilah menuntut ilmu setakat mana kami nak pergi. Beliau akan sentiasa mengusahakan mengikut kemampuannya. AlhamduliLlah berkat dari usaha dan doanya, tujuh dari sepuluh orang anaknya ‘graduat’ dari universiti-universiti tempatan. Beliau tidak meninggalkan harta yang banyak, tetapi beliau meninggalkan anak-anaknya yang mempunyai bekalan ilmu pengetahuan….





Antara kenangan manis kejayaan ayahanda saya yang dapat saya rasakan adalah apabila beliau dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak pada tahun 1999. Majlis diadakan di dewan banquet bangunan Kerajaan Negeri Perak dan anugerah itu disampaikan oleh DYTM Raja Muda Perak. Di sebelah adalah gambar saya semasa mengiringi ayahanda saya di dewan bankuet pada majlis tersebut...

Saya masih teringat satu ucapan ayahanda di majlis perpisahannya di Maahad Al Mizan pada tahun 2003, bahawa sebiji kelapa tua, kalau dimakan akan memberi santan yang pekat dan berkhasiat, dan kalau ditanam akan menjadi benih dan akan tumbuh sebagai pokok baru yang subur, dan kalau boleh beliau nak menjadi seumpama ‘kelapa tua’ yang banyak menafaatnya kepada manusia keseluruhannya itu. Dengan kata lain, hidup kita ini biarlah banyak membuat jasa dan berguna kepada orang orang lain. Alhamdulillah, ayahanda telah pun dapat memberi sumbangan yang besar kepada ahli keluarganya dan memberi menafaat kepada masyarakat sekelilingnya.





Sekarang apabila ayahanda saya sudah tiada, saya sangat ‘terasa sayu’… lebih-lebih lagi apabila ketika pergi solat Jumaat ke masjid. Memang telah menjadi kebiasaan saya sejak lebih 10 tahun ini, saya akan mengambil beliau untuk bersolat Jumaat di masjid dan menghantarnya ke rumah semula selepas solat itu. Tetapi sekarang saya akan keseorangan tanpa beliau di sebelah untuk pergi dan balik solat ke masjid itu…






Semoga Allah SWT melimpahkan Keredhaan serta Syurga kepada Roh ayahanda yang dikasihi, Amin ya Rabbul Alamin!










.