Tuesday, June 7, 2011

Kisah Sultan Muhammad Al Fateh

.

Constantinople atau kini dikenali sebagai Istanbul merupakan ibukota kepada Empayar Byzantium yang diasaskan pada tahun 324 Masihi oleh Maharaja Constantine Agung. Kota yang indah ini terletak di dua buah benua, iaitu Asia dan Eropah.

Pada zaman keemasannya yang menjangkau selama dua abad dari 850 hingga 1050 Masihi, Constantinople muncul sebagai sebuah pusat kebudayaan dan keilmuan yang tersohor. Bermula dari abad ke-11 empayar agung ini mula mengalami zaman kemerosotannya.

Pada zaman kemerosotannya empayar ini telah digempur oleh tentera salib dan kemudiannya oleh tentera Turki Uthmaniyah yang mempercepatkan proses pereputannya. Keagungan Constantinople berakhir pada 1453 apabila kota tersebut ditawan oleh Sultan Muhammad II atau lebih dikenali sebagai Muhammad Penakluk (al-Fatih). Dengan penaklukan yang dilakukan itu Constantinople ditukarkan namanya kepada Istanbul dan seterusnya diisytiharkan sebagai ibukota Daulah Uthmaniyah pada tahun 1457.

Disebabkan kedudukannya yang strategik dan kemasyhuran yang dimilikinya, Constantinople cuba ditakluki oleh tentera Islam sejak pemerintahan khalifah Muawiyah lagi yang pernah menghantar bala tentera bagi menakluki kota tersebut pada tahun 669 Masihi. Usaha ini gagal kerana kekebalan kota Constantinople, tetapi menjadi satu peristiwa bersejarah apabila seorang sahabat nabi, Abu Ayyub al-Ansari meninggal dunia dalam ekspedisi ini.

Usaha bagi menakluki kota ini dipertingkatkan lagi oleh sultan-sultan Daulah Uthmaniyah yang mengaitkan usaha ini dengan keyakinan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad tentang sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali parit Khandaq iaitu “..Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, manakala tenteranya adalah sebaik-baik tentera…”.

Selain itu, wasiat Abu Ayyub yang mahukan supaya jenazahnya dikebumikan paling hampir dengan kubu Constantinople turut menjadi inspirasi kepada umat Islam untuk menakluki kota ini. Kepentingan hadith ini dan wasiat Abu Ayyub menjadikan usaha umat Islam menakluki ibu kota Byzantium sebagai tugas suci yang terus dilakukan sepanjang zaman.

Atas inspirasi inilah Sultan Muhammad ll berusaha sejak dari usia muda untuk menawan kota tersohor ini. Usaha yang beliau lakukan ini juga adalah atas keyakinan bahawa dirinyalah pemimpin terbaik untuk memikul tugas murni yang gagal dijayakan oleh pemimpin lain.


Sultan Muhammad ll dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Edirne. Beliau merupakan anak keempat Sultan Murad II. Sultan Muhammad ll adalah seorang sultan Uthmaniyah yang berwibawa sebagai seorang pentadbir, ketua tentera dan juga merupakan seorang yang mahir dalam ilmu sejarah, geografi, ilmu falak dan puisi. Menurut Belini, iaitu seorang pelukis dari Venice yang bertemu Sultan Muhammad ll, sultan Uthmaniyah ini digambarkan sebagai seorang Islam yang warak dan fasih bertutur dalam sekurang-kurangnya tiga bahasa, iaitu Arab, Turki dan Parsi.


Sultan Muhammad ll adalah seorang yang bercita-cita tinggi dan secara tegas menyatakan cita-citanya untuk menawan kota Constantinople sebaik-baik sahaja dilantik menjadi sultan. Bagi merealisasikan cita-citanya itu Sultan Muhammad ll sendiri terlibat dengan perancangan bagi menawan kota ini sejak awal-awal lagi. Usaha beliau ini dibantu penasihat dan pembantunya yang berwibawa seperti Ak Shamsuddin yang merupakan penasihat kerohaniannya dan wazir Zarghanos Pasha.


Usaha Sultan Muhammad menakluki Constantinople merangkumi perancangan bagaimana kota ini perlu dipencilkan terlebih dahulu daripada sokongan luar, kekebalan kota ini perlu dihancurkan dan persiapan rapi dilakukan bagi menggempur kota tersebut. Sebagai langkah awal, Sultan Muhammad ll, telah membuat perjanjian persahabatan dengan jiran-jiran Constantinople bagi mengelakkan mereka menghulur bantuan kepada kota ini apabila dikepung.


Pada waktu yang sama Rumeli Hisari telah disiapkan binaannya pada 31 Ogos 1452 bagi melengkapkan peranannya dengan Anadolu Hisari dalam usaha memencilkan Constantinople dan menghalangnya daripada menerima bantuan luar melalui selat Bosphorus.
Setelah meyakini bahawa Constantinople telah dipencilkan, pada hari Isnin 2 April, 1453 Sultan Muhammad ll telah mengisytiharkan perang ke atas kota tersebut.

Serangan ke atas Constantinople dimulakan selepas solat Jumaat pada 6 April 1453 dengan tembakan dilepaskan oleh meriam gergasi. Meriam ini dicipta oleh Sultan Muhammad ll dengan bantuan seorang jurutera bangsa Hungary bernama Urban. Meriam yang mampu menembak peluru seberat antara 800-1200 paun ternyata berjaya merobek kubu yang selama ini amat kebal daripada sebarang serangan.


Serangan ke atas Constantinople melibatkan persiapan Sultan Muhammad ll yang melibatkan 140 buah kapal perang 320 buah perahu dengan angkatan tentera berjumlah seramai seratus lima puluh ribu orang, termasuklah dua belas ribu tentera janisari yang terlatih. Walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi menawan,namun kota ini ternyata kebal kerana selepas dua minggu serangan dilancarkan, kota tersebut masih mampu bertahan. Kegagalan ini sedikit sebanyak menjejaskan semangat juang bala tentera Sultan Muhammad ll. Antara faktor yang menggagalkan usaha penaklukan ini ialah keterbatasan serangan yang dilancarkan dari darat.


Lantaran itu, pada malam 21-22 April 21-22 Sultan Muhammad ll telah mengarahkan supaya kapal perangnya diheret melalui Bukit Galata menuju ke Tanduk Emas bagi membolehkan serangan dari laut yang lebih berkesan dapat dilancarkan. Dengan bantuan kayu bulat yang dilicinkan dengan menggunakan lemak lembu satu landasan diwujudkan bagi memudahkan kapal ini diseret menaiki bukit. Strategi yang digunakan ini ternyata memberikan kesan yang mengejutkan sehingga berjaya memecahkan pertahanan musuh dan membolehkan serangan dilakukan dengan lebih berkesan.


Walaupun strategi demi strategi diusahakan, namun kejayaan muktamad menawan Constantinople masih belum berhasil. Pada malam 26 Mei Sultan Muhammad ll telah mengadakan perundingan dengan pakar-pakar strateginya bagi membolehkan serangan muktamad dilancarkan. Pada hari Ahad 27 Mei Sultan Muhammad ll telah melakukan lawatan ke atas ketumbukan tenteranya bagi memberikan mereka semangat dan menawarkan hadiah apabila kota Constantinople berjaya ditawan.

Pada 28 Mei Sultan Muhammad ll mengumumkan kepada tenteranya supaya berehat, membersihkan rohani dan berpuasa sebelum serangan muktamad dilancarkan pada keesokan harinya. Pada malam sebelum serangan dilancarkan Sultan Muhammad ll sendiri bersama-sama dengan Zarghanos Pasha membuat persiapan terakhir dengan memperincikan strategi yang akan digunakan. Selain itu, beliau juga melawat khemah tenteranya bagi memberikan mereka semangat dengan menegaskan bahawa tugas menawan Constantinople adalah tugas suci yang mestilah dilaksanakan pada kali ini.


Pada awal pagi Rabu 29 Mei, tentera Uthmaniyah telah bertindak membakar khemah dan melaungkan kata-kata semangat bahawa mereka akan bermalam di dalam kota Constantinople pada waktu malam nanti. Serangan awal telah dilancarkan oleh tentera yang melibatkan pasukan rakyat yang kurang mahir dan diikuti dengan serangan oleh tentera yang lebih terlatih.


Akhirnya menjelang terbit matahari serangan dilancarkan oleh pasukan pemanah dan tentera janisari yang lebih terlatih. Serangan secara terancang ini ternyata membuahkan hasil yang membawa kepada jatuhnya kota Constantinople setelah dikepung selama lima puluh empat hari. Sebaik-baik sahaja memasuki Constantinople Sultan Muhammad ll mengumumkan bahawa kota ini kini dikenali sebagai Istanbul.


Penaklukan kota Constantinople oleh Sultan Muhammad ll merupakan satu peristiwa bersejarah dalam perkembangan Islam. Kejayaan yang dicapai ini merupakan gabungan inspirasi yang membakar semangat, perancangan yang rapi, kerja sepasukan yang jitu, strategi yang sesuai pada waktunya dan keyakinan kepada pertolongan Allah dalam membawa kejayaan. Ternyata usaha penaklukan ke atas kota ini oleh Sultan Muhammad ll boleh dijadikan iktibar dalam perjuangan membawa perubahan kepada ummah.

Usaha Mohamad Syaari Abdul Rahman menulis buku Kuasa Kepimpinan al-Fateh adalah satu usaha murni yang patut dipuji kerana membantu mendedahkan kepada khalayak satu peristiwa yang telah mengubah perjalanan sejarah umat Islam. Usaha Sultan Muhammad ll wajar menjadi iktibar kepada generasi muda dalam usaha menjadikan nasib umat Islam pada masa akan datang lebih baik daripada umat Islam pada masa kini.

(Sumber: Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman
Dekan
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya)
.

2 comments:

  1. Terima kasih menulis artikel ni.. Perjuangan al Fateh sedikit sebanyak tinggal pada Recep Tayyib Erdogan pemimpin Turki kini. Reformis yang pernah dipenjarakan kerana sebuah 'sajak'. Pemain bola yang hebat. Berani mengecam Israel kerana menjadikan Palestine sebagai "open-air-prison". Yeah.. Perjuangan mesti diteruskan.
    Li

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana memberi saya ilmu jazakallahu khairan jazak

    ReplyDelete