Saturday, December 4, 2010

Selamat Maal Hijrah 1432


Insya-Allah, dua hari lagi kita akan menyambut tahun hijrah 1432. Sebaiknya setiap kali kita menyambut tahun baru hijrah, kita mulakan dengan azam tahun baru dengan cara yang diajarkan oleh agama kita.

Sambutan Maal Hijrah bukan sebarang program, tetapi ia merupakan permulaan kepada keazaman kita pada tahun baru hijrah itu, iaitu keazaman untuk tidak mengulangi maksiat kepada Allah SWT. Sebaliknya menanam keazaman untuk bersama-sama membantu Agama Allah dengan cara melaksanakan tuntutan-tuntutannya seperti golongan Muhajirin dan golongan Ansar pada awal perkembangan Islam.

Mereka telah pun memenuhi tuntutan Allah agar beriman, seterusnya menyahut perintah Allah untuk berhijrah dan perintah Allah untuk Jihad Fi Sabilillah bagi membela agama Islam. Bagi mereka ialah ganjaran dari Allah berupa keampunan dariNya dan kurniaan rezeki yang luas dan mulia. Buktinya ialah firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 20 hingga 22 :


Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadaNya dan keredaan serta Syurga. Mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan di sisiNya pahala yang besar.

Hijrah adalah satu tuntutan Tuhan kepada para hambaNya. Keimanan kepada Allah telah menjadikan semua perintah Allah tetap dijunjung dan disempurnakan walaupun ianya sulit dan sukar. Rasulullah SAW telah membuktikan melalui hijrah agung baginda dengan meninggalkan Kota Mekah bumi kelahiran baginda menuju ke Kota Madinah semata - mata kerana memenuhi tuntutan menegakkan sebuah negara setelah baginda telah dibuang dan ditolak di negera sendiri kerana menegakkan cara hidup Islam.

Biar pun hijrah bersama baginda Rasulullah SAW telahpun berakhir, namun tuntutan hijrah dalam konteks meninggalkan segala maksiat dan menuju keredhoan Allah tetap berkekalan sehinggalah hari kiamat.

Sabda nabi SAW :Maksudnya ;“Hijrah tidak akan berakhir sehinggalah berakhirnya peluang bertaubat dan peluang bertaubat tidak berakhir sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat” - Riwayat Abu Daud

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1432. Marilah kita ”Sama-sama Berhijrah” (Maal Hijrah)


.

No comments:

Post a Comment