UMAT Islam menyambut Maal Hijrah setiap tahun bagi mengingati dan menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat dalam peristiwa Hijrah dari Makkah ke Madinah. Hijrah adalah peristiwa penting dalam sejarah Islam. Dalam konteks sirah Rasulullah s.a.w, Hijrah membolehkan baginda mengatur strategi yang lebih berkesan bagi umat Islam menggembleng tenaga dan mengukuhkan kekuatan umat Islam.
Walaubagaimanapun, Konteks hijrah adalah sangat luas, bukan sekadar bermaksud kita berhijrah dari Makkah ke Madinah atau dari satu tempat ke tempat lain. Tetapi juga dari sudut bagaimana kita hendak menjiwai perjuangan dan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w dalam menjana dan menobatkan Islam di persada dunia.
Namun marcapada ini, kita sedih melihat umat Islam sekadar membilang detik masa dan mengadakan pertunjukan hiburan dan bunga api, apatah lagi mabuk sehingga melupakan tatasusila sebagai seorang manusia. Adakah ini yang diajarkan oleh umat islam terdahulu? Sebilangan besar kita pula masih terkapai-kapai mencari erti sebenar kehidupan dengan mengejar kejayaan dan keseronokan dunia sehingga alpa bahawa hidup ini hanyalah sementara taktala diri ini semakin hampir menghadap Maha Pencipta.
Sudah terang lagi bersuluh, umat Islam nyata perlu berhijrah dari melakukan perbuatan yang buruk kepada sesuatu yang lebih baik dan kejayaan sebagaimana sabda Rasullulah,
“Orang yang berhijrah itu ialah mereka yang meninggalkan apa-apa yang dilarang Allah ke atasnya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru, kita perlulah sentiasa meningkatkan ketakwaan agar terus kekal sebagai Muslim yang mampu berdepan dengan apa jua cabaran yang mampu menggugat keimanan kita. Generasi muda Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu dunia dan akhirat untuk menjadi insan cemerlang. Ummah perlu menjadikan sejarah penghijrahan dan perjuangan Rasulullah sebagai pencetus kejayaan.
Konsep hubungan hijrah dan kejayaan mendapat rahmat Allah dan disebut dalam al-Quran Karim yang bermaksud:“Sesungguhnya orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang boleh mengharap rahmat dari-Nya.” (al-Baqarah: 218).
Umat Islam memerlukan ilmu untuk mengukir kejayaan kerana ia merupakan aspek terpenting dalam usaha melakukan anjakan paradigma menuju kegemilangan. Sejarah membuktikan jatuh bangun sesebuah bangsa bergantung kepada ilmu. Tanpa ilmu, sesebuah bangsa dan negara itu akan diperalat dan ditindas. Namun, sejarah Islam telah memberikan contoh jalan yang terbaik seperti kegemilangan Islam yang banyak disumbangkan oleh golongan ilmuan Islam. Mereka bukan sahaja warak tetapi berilmu.
Nama-nama tokoh seperti Ibnu Sina, al-Biruni, al-Kindi, Ibnu Hayyan, Umar al-Khayyan dan al- Khawarizmi cukup mengerunkan dunia dengan ketinggian ilmu pengetahuan. Tetapi sayangnya, kegemilangan tamadun Islam gagal dipertahankan. Penjajahan kuasa Barat ke atas negara dunia ketiga khususnya negara-negara Islam, telah berjaya memusnahkan dominasi Islam terhadap tamadun ilmiah.
Negara Barat turut belajar rahsia kegemilangan Islam sehingga mereka mampu menjadi bangsa yang disegani masyarakat dunia. Kita dapat melihat pada dunia hari ini ketika mana beberapa negara seperti Jepun, China dan Korea Selatan mencapai kemajuan hebat dalam pelbagai bidang hingga mampu bersaing dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis. Jepun yang suatu ketika dahulu hampir musnah apabila bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki,masih mampu untuk bangun dan berhijrah menjadi bangsa maju serta dihormati oleh dunia. Apakah rahsia di sebaliknya? Tentunya mereka memartabatkan ilmu itu sendiri.
Suatu ketika dahulu, umat Islam berjaya membuktikan kepada dunia bahawa mereka umat cemerlang. Mereka membawa rahmat besar dan mewujudkan kualiti modal insan yang mementingkan pembangunan rohani dan material. Mereka berjaya membebaskan kesesatan akidah manusia dengan mewujudkan negara Islam di Timur Tengah, Afrika Utara, Asia Tengah, sebahagian Eropah dan beberapa kawasan di Asia. Mereka juga berjaya menjadikan negara Islam sebagai pusat ilmu pengetahuan dan tempat rujukan dunia. Manusia berpengetahuan dan berilmu, menjadi tenaga penggerak tamadun manusia. tidak tidak dapat dinafikan lagi, kemuncak dunia Islam sebagai pusat utama ilmu pernah wujud pada zaman kerajaan Abassiah pada abad kelapan dan sembilan Masihi.
Seiring dengan sifat mahu menuntut ilmu, umat Islam wajar menanam sikap mampu memberi pendapat, idea dan inovatif, merekacipta sesuatu yang baru dan menjadi masyarakat pintar. Kita tidak boleh hidup dalam dunia yang jumud dan mengharap perubahan datang dengan sendiri tanpa usaha. Firman Allah Taala,
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.” (surah al-raa’d :11).
Justeru itu, dengan semangat Maal Hijrah umat Islam perlu membetulkan kesilapan dan kelemahan diri. Jika sebelum ini kita menanam azam sempena Tahun Baru Masihi, kita juga mempunyai perlu mempunyai azam yang sama sempena Tahun Baru Hijrah.
Kita perlu membuang sikap malas, lesu dan mundur selain meningkatkan ilmu pengetahuan, kemahiran, kepakaran dan kebijaksanaan bagi menjana kemajuan dan pembangunan negara. Kini, sudah tiba masanya umat Islam di seluruh dunia bangkit dari takuk lama dan menjadi umat yang cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia dengan mengikuti jejak langkah umat terdahulu yang pernah meletakkan Islam sebagai pembina tamadun terunggul di dunia.
.