Thursday, January 24, 2013

Ucapan di majlis maulid






Syukur kepada Allah yang masih lagi memberikan kepada kita nikmat Islam dan Iman serta usia yang panjang yang dengannya kita semua mampu untuk meraikan 12 rabiulawal untuk tahun  1434.  12 rabiulawal mengikut pendapat yang paling soheh adalah tarikh kelahiran nabi kita Muhammad s.a.w.
Sejarah sambutan maulidurrasul adalah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir. Walaupun ada berbagai pendapat tentang hukum merayakan maulidurrasul, tetapi ianya tidaklah diharamkan sepenuhnya dikebanyakan Negara umat Islam.
Berbagai program dirancang dan dilaksanakan dengan tujuan untuk melahirkan rasa kasih kepada baginda Nabi s.a.w. Antara program yang selalu kita lihat bilamana sambutan maulidurrasul ini diadakan iaitu diadakan perarakan, diadakan bacaan marhaban, diadakan syarahan dan akhir sekali makan.

Benarkah semua ini diprogramkan sebagai tanda kasihkan Rasulullah? Benarkah dengan perarakan, marhaban, syarahan yang sekejap dan makan boleh melahirkan perasaan kasihkan rasulullah?
Apa yang kita lihat, suasana sekarang menampakkan kita hanya menunjukkan nilai kasih dan sayang kita pada nabi hanya pada sambutan kelahiran nabi Muhammad S.A.W iaitu pada rabiulawal semata-mata.
 Ini kerana kita menghabiskan banyak duit ringgit, mengiklankan di media massa,  menggantung  kain rentang dimerata-rata  dan menggerakkan masa dan tenaga untuk  perarakan, jamuan makan dan sebagainya.
Apakah perarakan semata-mata boleh menunjukan nilai kasih kita kepada baginda nabi. Kalau perarakan dapat menunjukkan nilai kasih kita kepada nabi maka baik lagi Abu Lahab kerana gembiranya dia dgn kelahiran baginda nabi lalu berarak mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali. Kalau jamuan sebagai tanda kasihkan nabi maka apa kurangnya abu lahab yang menyembelih 10 ekor unta sebagai tanda kelahiran baginda rasulullah.
Begitu juga dengan marhaban dan berzanji yang dibaca dengan penuh lenggok dan gaya. Tapi apapun yang dibaca, langsung tak difahami oleh sesetengah orang.
 Mungkin syarahan ada juga sedikit nilai padanya kerana dapat memberi sedikit ilmu dan pengetahuan kepada yang hadir mendengar. Tapi mampukah kita melahirkan tanda kasih andai yang hadirpun ada yang tak bertudung. Kalau bertudungpun hanya menutupi jambul di depan sahaja.

Nabi bersabda dengan mafhumnya, “Barang siapa yang tidak mengikut sunnahku bukan daripada umat ku.” Inilah tanda aras kita tentang kasihnya kita kepada baginda Nabi S.A.W.
 Mengamalkan sunnah nabi adalah paling utama dalam kita menunjukkan kita kasihkan nabi. Apakah dengan kita menyambut maulidurrasul adalah sunnah nabi. Sudah tentu jawapan tegasnya adalah tidak.
Sebabnya nabi tak pernah melakukan semua ini. Mengamalkan sunnah nabi pula bukan terpilih kepada apa yang memberi munafaat kepada kita semata-mata atau setiap apa yang dirasakan bersesuaian dengan keinginan kita.
 Tapi meliputi semuanya yang termampu kita amalkan. Bermula dari corak berpakaian yang paling senang kepada membina sebuah Negara.

Nabi Muhammad s.a.w. telah membawa bersamanya syariat Islam yang syumul. Bersamanya ada ibadat samada wajib ataupun sunat. Solat, ada yang wajib dan ada yang sunat begitu juga ibadat yang lain seperti puasa dan zakat.
Nabi yang kita kasih telah bersusah payah membawa kepada kita Ibadat solat semasa Israk dan Mikraj. Nabi yang kita kasih juga semasa Rohnya yang mulia akan bercerai dengan badannya yang mulia itu sentiasa menuturkan “as-solah, as solah, as solah”. menunjukkan kepada umatnya akan kewajipan bersolat.
Tetapi sejauhmana kita yang mengaku kasihkan nabi merasakan solat ini penting? Kita yang mengadakan sambutan maulidurrasul dalam suasana yang sangat gemilang ini, sejauh mana telah memperelokkan solat samada pada rukun Qauli. Fi’li atau Qolbi.
Belum lagi kita membicarakan soal solat jemaah. Yang bukan hanya menjadi perkara yang wajib kifayah tetapi tidak pernah ditinggalkan oleh nabi s.a.w. Janganlah mengaku kitalah yang paling kasihkan nabi bila dengan gah menyambut maulidurrasul kemudian mempertikaikan sambutan orang lain yang tidak meriah andai solat jemaah tak mampu kita laksanakan walau hanya satu waktu sahaja.
Ayuh yang kasihkan nabi, buktikan kita benar-benar kasihkan nabi sebagaimana Nabi terlalu sayangkan umatnya. Ini jelas dan nyata apabila disaat roh sampai di kerongkong Nabi masih lagi menyebut “Ummati, Ummati”. Dan disaat pedihnya sakaratul maut nabi sempat berdoa supaya umatnya tidak terlalu pedih, sakit dan payah semasa sakaratul maut.

Antara tanda cinta yang dapat dilihat pada diri umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w ialah sentiasa merindui nabi sebagaimana rindunya kaum Ansor ketika menunggu-nunggu ketibaan nabi dalam peristiwa hijrah.
Seperti cintanya para sahabat seumpama Talhah dan Abu Dajanah yang sanggup menjadikan tubuh mereka sebagai perisai untuk melindungi nabi daripada terkena pedang dan anak panah musuh dalam peperangan Uhud.
 Umat yg cinta pada nabi juga sanggup mengorbankan harta dan jiwa dalam meneruskan perjuangan nabi dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Umat yang kasih pada nabi akan sentiasa taat kepada arahan Allah dan rasulNya serta sentiasa menjauhi larangan.
Umat yang cinta kepada nabi Muhammad s.a.w juga sentiasa berusaha dalam menjejaki dan mengikuti sunah nabi. Sekiranya terdetik perasaan benci kepada sunah nabi menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada kalangan yang diakui sebgai umat nabi. Mengapa ada umat Islam sendiri yang tidak suka kepada nabi dengan mempertikai sunah dan sistem Islam yang dibawa oleh nabi.
Kita wajib faham bagaimana tingginya rasa kasih nabi kepada umatnya sehingga pernah baginda bersabda dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :
Maksudnya : Bagi setiap nabi terdapat doa yang terus dimaqbulkan di dunia. Tetapi aku telah menyimpan doaku sebagai syafaat untuk umatku pada hari qiamat nanti
Dalam kitab Fathu al-Bari dijelaskan maksud hadis ini ialah setiap nabi telah mendoakan agar umatnya yang menderhaka dibinasakan segera melainkan nabi Muhammad s.a.w yang tidak mendoakan demikian. Ini kerana nabi akan memberikan syafaat sebagai balasan kesabaran umatnya menanggung kesusahan dunia.
Begitu juga imam Nawawi menerangkan hadis ini membuktikan kesempurnaan syafaat nabi dan belas kasihan baginda kepada umatnya dengan menjadikan kebaikan umatnya yang terpenting sehingga baginda menangguhkan doa balasan azab segera terhadap umatnya sehingga waktu terpenting dan amat diperlukan iaitu  syafaat baginda di akhirat nanti.
Oleh itu buktikan kecintaan kita kepada nabi termasuk melalui ucapan selawat sepanjang masa dan tempat sebagaimana yang dianjurkan antaranya hadis Nabi
Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali
Semoga sambutan maulidurrasul yang kita hadiri hari ini  lebih bermakna dan bernilai serta lebih menaikkan nilai kasih yang sebenar kita kepada nabi s.a.w dengan kita mengamalkan segala sunnahnya, melakukan segala yang diwajibkan serta meninggalkan segala apa yang telah dilarang.




Maulidur Rasul - almizan gabung dengan warga pondok


Hari Khamis 24 Januari 2013 bersamaan 12 Rabiul Awal 1434H - Jam 8.30 pagi













"diari' jawi...


Menziarahi pelajar di CCU Hospital Seri Manjung


Pendaftaran pelajar tahun 2013


Kain Bunting menyambut kedatangan pelajar baru ke SMA Maahad Al-Mizan

Ratusan kereta ibubapa menghantar anak balik ke asrama

Mengangkut barang keperluan dari kereta ke asrama,,,,

Sabar menunggu giliran mendaftar anak-anak kepada guru-guru kelas masing-masing.

Membeli keperluan asrama di kaunter koperasi sekolah...

Ibubapa pelajar ting. 1 mendengar taklimat dari pihak pentadbir sekolah...

Suasana di persekitaran Maahad Al-Mizan yang sangat sibuk pada hari pendaftaran...

Menyemak nama untuk dorm masing-masing

Dah dapat dorm, memasukkan barang keperluan ke dalam loker masing-masing...