Sunday, September 18, 2011

Program Bacaan Yassin dan Solat Hajat




Hari Khamis 15 September yang lepas telah dijalankan program Bacaan Yassin dan Solat Hajat bagi memohon ke hadrat Allah SWT akan kejayaan cemerlang pelajar-pelajar sekolah saya dalam peperiksaan awam tahun ini. Majlis ini dihadiri oleh semua pelajar, guru-guru dan ibu bapa sehinggakan Surau Tn Guru Hj Umar Maahad alMizan itu dipenuhi lebih kurang 800 orang para hadirin.

Program bermula pada jam 12.30 tengah hari dengan Ucapan Pengerusi Majlis, Bacaan Ayat Suci Al-Quran, Ucapan PK Pentadbiran mewakili Tn. Pengetua dan Bacaan Yassin beramai-ramai. Selepas itu diteruskan dengan solat Zohor berjamaah, solat sunnat Hajat dan kemudian diadakan Jamuan Hari Raya Aidilfitri di dewan Tn Guru Hj Zakaria dan disekitar dewan tersebut. Selepas jamuan raya, para pelajar dibenarkan balik kampung mengikut ibubapa masing-masing kerana cuti hujung minggu ditambah dengan cuti umum Hari Malaysia 16 September.

Memang telah menjadi kelaziman sekolah-sekolah sekarang ini mengadakan program Bacaan Yassin dan Solat Sunnat Hajat seperti ini sebelum menghadapi peperiksaan awam. Bagi sekolah saya, terdapat 5 jenis peperiksaan yang besar yang bakal dihadapi oleh para pelajar.

Pelajar-pelajar tingkatan 2 akan menduduki Peperiksaan ‘Idadi, Pelajar Tingkatan 3 akan menduduki peperiksaan PMR, dan pelajar tingkatan 4 akan menduduki peperiksaanThanawi. Begitu juga pelajar tingkatan 5 akan menduduki peperiksaan SPM serta pelajar tingkatan 6 akan menduduki peperiksaan STAM. Cuma pelajar tingkatan 1 sahaja yang tidak menduduki peperiksaan penting pada tahun ini.

Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada para ibubapa yang menghadiri majlis ini. Ada di antara ibubapa itu yang datang dari jauh, malahan ada yang mengambil ‘cuti rehat’ semata-mata untuk hadir ke majlis ini. Pada saya, ibubapa yang seperti ini adalah ibubapa yang sedar mengenai peranan mereka dan sesungguhnya doa daripada ibu bapa lebih afdal dan lebih mustajab di sisi Allah SWT.

Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah yang menegaskan, tiga golongan jika berdoa pasti dimakbulkan (oleh Allah) iaitu orang dizalimi, orang musafir dan doa ibu bapa kepada anaknya.
Semoga doa, bacaan Yassin dan Solat Hajat yang diadakan itu dimaqbulkan oleh Allah SWT. Amin!


No comments:

Post a Comment