Saturday, October 1, 2011

Selamat Berjuang Pelajar Ting.3

.



Hanya tinggal 4 hari lagi pelajar-pelajar tingkatan 3 akan menduduki peperiksaan PMR. Peperiksaan itu sememangnya dinanti-nantikan oleh pelajar-pelajar tingkatan 3. Apa tidaknya, setelah hampir setahun mereka diberi ‘tumpuan khusus’ dengan pelbagai program dan aktiviti pembelajaran oleh pihak pentadbir sekolah dan guru-guru mata pelajaran. Malahan ibubapa dan PIBG juga memberi perhatian dan sokongan yang tinggi kepada anak-anak pelajar tingkatan 3 ini.

Entah kenapa peperiksaan PMR selalunya diberi ‘perhatian’ begitu istimewa di sekolah-sekolah menengah. Pada hal masih ada lagi peperiksaan besar lain yang memberi ‘impak’ lebih besar kepada masa depan sesaorang pelajar seperti peperiksaan SPM dan STPM.






Peperiksaan PMR bukanlah peperiksaan ‘kalah mati’. Pelajar-pelajar yang gagal kerana tidak lulus semua mata pelajaran, masih boleh menyambung pelajaran di tingkatan 4. Cuma kalau ada pun gunanya peperiksaan PMR ini hanya untuk pemilihan aliran atau pakej mata pelajaran semasa mereka naik ke tingkatan 4 sahaja.

Dengan perubahan system pendidikan masa kini pula, peperiksaan PMR tahun ini adalah peperiksaan PMR yang ketiga terakhir sebelum peperiksaan PMR itu dimansuhkan pada tahun 2014. Hanya ada 3 kali sahaja lagi peperiksaan PMR akan diadakan iaitu pada tahun 2011, 2012 dan 2013. Lepas itu PMR akan berubah formatnya dan akan menjadi satu penilaian berbentuk pentaksiran berasaskan sekolah sahaja.

Jadi kenapa semua sekolah begitu mengambil berat tentang peperiksaan PMR? Di dalam mesyuarat guru di sekolah saya, saya selalu memaklumkan kepada guru-guru bahawa kita mesti bekerja keras untuk kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan PMR kerana ia satu perjuangan meningkatkan imej pendidikan khususnya di negeri Perak. Ini kerana setelah begitu lama negeri kita berada di ranking ‘bawah’ berbanding negeri lain di dalam pencapaian peperiksaan ini.






Justeru itu, pemimpin pendidikan di JPN dan PPD meletakkan visi agar kita dapat meningkat dan merealisasikan hasrat kita berada di ranking tiga teratas. Sebab itulah kita kena berusaha kuat bagi membuktikan sekolah kita dan negeri kita juga mampu berada di ranking atas sebagaimana slogan kita iaitu kita mahu “Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan”.






Di sekolah saya, pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan kepada para pelajar tingkatan 3 tahun ini. Sejak awal tahun lagi, pelbagai aktiviti utama dan sokongan dilaksanakan. Contohnya, program-program yang dianjurkan oleh panitia-panitia mata pelajaran, program motivasi dengan memanggil motivator luar, program latihtubi semasa cuti persekolahan dan program Pecutan Akhir sebelum peperiksaan PMR.

Banyak peruntukan kewangan dikeluarkan untuk melaksanakan program-program ini. Umpamanya bagi menjalankan Program Pecutan Akhir PMR, sebanyak lebih RM5000.00 dibelanjakan untuk memfotostat bahan-bahan latihtubi. Wang ini kalau dibahagikan dengan 133 orang calon PMR, bermakna setiap seorang pelajar diperuntukkan kira-kira RM38.00 untuk bahan-bahan fotostat bagi latihtubi mereka.











Program Pecutan Akhir PMR dilaksanakan sebaik sahaja selepas Peperiksaan Percubaan sehingga peperiksaan PMR sebenar berlangsung. Guru-guru turun secara “all out” atau “sederap” bagi membantu calon-calon PMR ini. Jadual waktu secara anjal dilaksanakan. Dua orang guru masuk ke satu-satu kelas secara serentak iaitu dengan kaedah ‘teacher support team’ (TST).






Sepanjang ianya dilaksanakan saya dapati, ianya berjalan dengan amat baik dan semua pelajar begitu serius mengikutinya. Tuan Pengetua juga amat berpuas hati dengan perjalanan program ini. Beliau juga turut mengarahkan saya menyusun program yang sama kepada pelajar-pelajar di tingkatan-tingkatan yang lain.






Berasaskan analisis peperiksaan Pertengahan Tahun, Peperiksaan Percubaan dan Ujian Pasca Percubaan yang meningkat dari satu ujian ke satu ujian, saya sangat berharap dan berdoa agar keputusan peperiksaan PMR tahun ini akan mencapai sasaran sekolah kami. Semoga dengan pencapaian ini nanti, SMAMAM akan berada di ranking atas, di muka surat pertama, sesuailah dengan hasrat kami, ALMIZAN SABK PILIHAN!


.

No comments:

Post a Comment