.
Pada hari raya ke-2, 2 Syawal 1432 H bersamaan 31 Ogos 2011, perkarangan rumah saya menjadi tempat berlangsungnya Majlis Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri bagi keluarga Cucu Pandak Leman. Majlis ini berlangsung mulai jam 9.00 pagi dan bersurai pada jam 1.30 petang. Kehadiran cucu-cucu Allahyarham Tn. Hj. Pandak Leman serta keluarga masing-masing sangat menggalakkan. Seramai 167 orang hadir yang terdiri dan cucu, cicit dan piut. Mereka datang ke majlis itu sementelah mereka berada di kampung kerana berhari raya.
Allahyarham Tn Hj Pandak Leman adalah datuk saya yang hidup pada tahun 1898 hingga 1975. Beliau berasal dari Kampung Teluk Manis, Layang-layang Kiri, Parit dan berhijrah membuka penempatan baru di kampung Jalan Badak ini pada tahun 1920han. Semasa hayatnya beliau merupakan seorang gigih berusaha dan menyayangi anak-anak dan cucu-cucunya. Saya memang rapat dengan Allahyarham, malahan semasa saya kecil saya tinggal bersamanya di rumah beliau. Semasa beliau meninggal dunia saya berumur 16 tahun dan berada di tingkatan 4.
Saya mengambil inisiatif mengumpulkan cucu-cucu Pandak Leman kali ini kerana mahukan agar kami saling mengenali ahli keluarga masing-masing lebih-lebih setelah kesemua anak-anak Tn Hj Pandak Leman telah meninggal dunia. Saya mahu semua kami, lebih-lebihnya generasi cicit-cicit Pandak Leman mengetahui siapa ahli keluarga mereka.
Majlis bermula dengan semua kami bertahlii untuk arwah ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Selepas itu diadakan sesi perbincangan dan ucapan-ucapan. Kemudian semua cucu-cucu pandak Leman tampil ke hadapan memperkenalkan ahli keluarga masing-masing. Setiap cucu Pandak Leman kena menyatakan alamat tempat tinggal dan nama anak-anaknya serta isteri atau suami masing-masing.
Di dalam ucapan-ucapan itu, beberapa keputusan dicapai. Antara yang penting ialah melantik ahli Jawatankuasa keluarga cucu Pandak Leman, bercadang mengadakan perhimpunan seperti itu setiap tahun dan menetapkan yuran tahunan bagi setiap keluarga.
Sesungguhnya majlis pada hari itu amat berjaya dan bermakna bagi kami. Kejayaannya di luar dugaan saya. Ia telah menyatukan kami sepupu-sepupu walaupun tinggal di serata negeri di Malaysia ini.
No comments:
Post a Comment