Saturday, September 29, 2012

Tahniah En Rahman...


Diceritakan pada suatu ketika, ada dua orang sahabat baik. Seorang daripada mereka bernama Muhamad dan seorang lagi bernama Ahmad. Suatu hari Muhamad meminta bantuan rakannya Ahmad untuk meminangkan seorang perempuan untuknya. Lalu, Muhamad pun memberitahu sekian-sekian rumah dan sekian-sekian orang.

         Maka, Ahmad pun menunaikan hajat Muhamad dengan pergi meminang perempuan tersebut untuk Muhamad. Namun, lain pula yang berlaku. Bapa perempuan itu berkata, ”Saya menyukai orang yang datang meminang, bukannya orang yang menyuruh meminang.”

         Ahmad menjadi serba salah. Hendak diterima, bimbang sahabatnya kecewa. Hendak ditolak, rugi pula peluang sudah berada di depan mata. Lagi pun perempuan yang nak dipinang itu memang kuat pegangan agama dan  cantik manis pula rupa parasnya.   Jadi, Ahmad pun menerima tawaran tersebut. Diringkaskan cerita,  maka berkahwinlah Ahmad dengan perempuan itu.

         Sejak hari itu,  Ahmad akan mengelakkan dirinya daripada bersua muka dengan Muhamad.  Ahmad  rasa bersalah kerana telah berkahwin dengan perempuan yang diminati oleh Muhamad. Untuk sekian lamanya, mereka tidak bertemu.

         Akhirnya pada suatu hari, Muhamad  dapat juga berjumpa dengan Ahmad.   Ahmad dalam keadaan serba salah memohon maaf kepada Muhamad.
        ”Aku minta maaf, wahai sahabatku. Tidak patut aku mengahwini perempuan yang kau sukai.”
        Tetapi apa kata si Muhamad,  ”Sebenarnya, akulah yang patut memohon maaf kepada kamu, Ahmad.  Kenapa pula, balas Ahmad.  Sudah tertulis jodoh perempuan itu dengan kamu tetapi aku pulak yang pandai-pandai menyuruh kamu meminang dia untuk aku.”.......................

          Moralnya,  Sekiranya semua manusia di dalam dunia ini berfikiran seperti Muhamad dan Ahmad, sudah tentu tidak ada masalah putus kawan hanya kerana dituduh "kawan makan kawan" atau  memutus silatur rahmi.  

          Pendik kata,  kita harus ‘berlapang dada’  dan saling memaafkan kawan-kawan kita walau apa pun kesalahannya kepada kita.   Yang penting kita sama-sama memaafkan satu sama lain.  Lihatlah Muhamad dan Ahmad, yang sanggup merendah diri dan saling memaaf satu sama lain, walaupun bagi sesetengah orang itu kes yang berat. Apa lagi kalau kesalahan-kesalahan kecil sesama kita, tak usahlah diambil hati sangat... berlapang dada lah kita, semoga persahabatan kita dapat diteruskan kerana Allah Taala.... 

Cerita ringkas ini disampaikan sebagai selingan di majlis perpisahan En Abdul Rahman b Kulup Wahab Ketua pembantu tadbir Al Mizan yang dinaikkan pangkat baru-baru ini…..




1 comment:

  1. Tahniah cikgu... pandai cikgu memberi kisah teladan kepada kami semua... Memang menarik kisah itu. Tapi cikgu mungkin si Muhamad tu dah dapat buah hati yang lain kot!

    ReplyDelete