Sunday, October 28, 2012

Tak tahu lagi jalan-jalan di Malaysia



Pada pagi Sabtu selepas solat Subuh saya bermotosikal dan membawa "touch-light" menuju ke Pusat Pengajian Pondok Ar Ridzuan (PPAR).   Setelah disuluh, seekor dari sepuluh lembu qurban yang ditambat di pokok kelapa sawit telah lepas. Saya dapati tali pengikat lehernya telah terlucut.  Namun, lembu tersebut masih berada di kawasan itu.  Saya kemudian meminta beberapa orang penghuni PPAR memastikan pintu pagar kawasan PPAR sentiasa ditutup agar lembu tidak lari keluar.

Pada jam 7. 30 pagi saya menelefon seorang rakan yang ada  memelihara lembu meminta tolong membawakan tali dan mengikat semula lembu yang terlepas  itu. Saya tahu dan percaya beliau memang "pakar" hal ehwal menangkap lembu.  Dipendekkan cerita lembu tersebut berjaya diikat semula oleh rakan saya ini seorang dirinya sahaja.

Pagi itu bila berita lembu terlepas itu tersebar, saya mendengar perbualan orang-orang kampung yang datang ke PPAR untuk menolong penyembelihan ibadat qurban. Ada yang memuji tindakan cekap rakan saya yang berjaya mengikat semula lembu itu. Namun ada juga yang mengatakan lembu-lembu yang kami beli itu adalah lembu impot yang datangnya dari Thailand. Sebab itu lembu tersebut tidak lari jauh bila terlepas, dia masih tak tahu, jalan-jalan di Malaysia....!!! 

Walau apa pun, semua urusan penyembelihan dan mensedeqahkan daging-daging qurban telah selamat dijalankan.  Majlis gotong royong pada hari Sabtu lepas telah diakhiri dengan jamuan makan tengah hari berlaukkan 2 ekor lembu yang diaqiqahkan pada hari Jumaat sebelah petang.

Didoakan semoga ibadat qurban para peserta pada hari itu diterima Allah Azza wa Jalla. Demikian juga kerja-kerja penyembelihan, melapah daging dan mensedeqahkan kepada orang ramai yang dilakukan oleh petugas-petugas diterima Allah sebagai amalan soleh dan mendapat ganjaran pahala dari Nya. (Amin!)












No comments:

Post a Comment