Berikut saya kongsikan artikel ringkas dari Artikel iluvislam.com (mohon izin….)
Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin dan
muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir ini
sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini.
Pernah di malam itu al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia,
Baitul Izzah. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di
seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam
tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000
bulan!
Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk
mendapatkannya, Rasulullah S.A.W mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya,
beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah S.W.T
sambil diikuti oleh para Sahabat R.A.
Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa fardhu,
berbuka, solat Tarawih, tilawah al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah
diri, merancang untuk amalan diri dan sebagainya.
Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadar :
1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan,
kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar
mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata;
tidak untuk kesibukan lain.
2. Memahami bahawa di mana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia
ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah S.W.T
dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi
harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang
sejahtera.
3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk iktikaf,
siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid
tersebut memahami ibadah iktikaf dan qiyamullail 10 malam terakhir agar tidak
berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.
4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara
berjemaah.
5. Jika anda bekerja di bawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan
dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak
dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid sepenuhnya
dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.
6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments
dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket
balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.
7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal agar kita tidak disibukkan nanti
dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih-muih, menyiap atau
menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai
orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.
8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan
pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing.
Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu
mencapai ke arah perubahan tersebut.
Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di
bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan
dan selamat dari api neraka.
Amin.
No comments:
Post a Comment