Wednesday, August 17, 2011

‘Ujian’ tiada air paip di bulan puasa

.
Puasa kali ini, penduduk-penduduk dari kampung Pecah Batu hingga ke kampung Lempor Hulu mendapat satu ujian ‘khas’ didatangkan oleh Allah Yang Maha Kuasa. Ujian ini bukanlah seteruk mana, namun bagi mereka yang tidak mampu menghadapinya, mungkin puasanya hanya tinggal lapar dan dahaga sahaja…..

‘Ujian’ yang saya maksudkan ialah terputusnya bekalan air paip selama 3 hari berturut-turut mulai 15 hingga 17 Ogos 2011. Air paip di kampung-kampung yang saya nyatakan di atas didapati tidak berair langsung mulai pagi hari Isnin hinggalah ke malam hari Rabu. Pada ingatan saya sendiri, rasanya belum pernah rumah saya mengalami bekalan air terputus seteruk kali ini kerana bekalan air paip terputus langsung tanpa setitik air.

Berbagai cerita dapat didengar yang menjadi punca ketiadaan air ini. Ada yang mengatakan paip tersumbat, tangki pecah di takungan atas bukit di kampung Guar dan sebagainya. Namun, walau apa sebab pun yang pastinya, kami berterima kasih kepada Lembaga Air Perak (LAP) yang menghantar bekalan air kepada penduduk kampung-kampung berkenaan. Penduduk meletakkan tong dan baldi di tepi jalan raya untuk diisi oleh lori Lembaga Air Perak. Satu fenomena yang tak pernah kita lihat di sini, mungkin pernah dilihat di dalam TV , di tempat lain sahaja.

Bagi asrama Al-Mizan, lori-lori LAP tak henti-henti menghantar bekalan air. Saya pun tak pasti berapa lori yang dihantar. Ditambah lagi dengan bekalan air yang dipam dari dalam bumi di sekolah ini, maka pelajar-pelajarnya tidaklah merasa susah sangat… anggaplah ini satu ujian di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mungkin Allah nak lihat, siapa hambaNya yang tahan sabar apabila diberi sedikit ujian…

Namun terdapat juga segelintir para pelajar yang tak ada ‘ketahanan diri’. Mereka menelefon ibu bapa suruh ambil untuk balik ke rumah. Si Ibu bapa pulak datang bagaikan nak menyelamatkan anaknya dari ‘perang’, Tetapi pada saya, ... tidakkah dia sedar dengan berbuat demikian, dia sendiri mengajar anak-anak lemah jati diri. Sepatutnya kita ajar anak-anak menghadapi sedikit kesusahan terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini. Biarlah ada merasa sedikit kesukaran ketika tinggal bersama-sama rakan-rakan sekolah. Bukannya lari balik meninggalkan kawan-kawan yang lain sahaja dalam kesusahan...

Walau apa pun, bekalan air pulih semula pada jam 7.00 petang hari Rabu apabila LAP selesai membaiki paip bocor di paya besar di kampung Pecah Batu….






Penduduk kampung meletakkan tong dan baldi di tepi jalan raya







Lembaga Air Perak bekerja keras menghantar air kepada penduduk-penduduk terlibat..







Plan B....Menyedut air dari dalam perut bumi, namun air yang didapati agak terhad dan perlahan.







Menunggu giliran untuk mandi...







Keseronokan mandi beramai-ramai....







Yang 'sayang' anak, datang segera mengambil anak untuk di bawa pulang ke rumah....






No comments:

Post a Comment