Saturday, June 30, 2012

Tazkirah minggu 1: Terbatasnya Ilmu Manusia



            Bagaimana hebatnya ilmu pengetahuan yang telah dicapai dan yang akan dicapai oleh manusia, namun ianya masih sedikit sekali jika dibandingkan dengan besar dan luasnya alam semesta yang masih belum banyak diketahui dan diterokai oleh manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan kecuali sedikit.
(Al-Isra :85)

            Tidak perlu kita perhatikan terlalu jauh, cukup dalam diri kita sendiri. Ada sesetengah pihak yang mengkaji tentang nyawa tetapi sehingga sekarang masih belum juga ditemui apakah hakikat nyawa itu. Bagaimana bentuk dan rupanya? Adakah ia  seperti air, udara atau... hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui. Sedangkan tentang diri sendiri pun banyak lagi yang kita tidak ketahui, inikan pula tentang bumi, planet-planet dan ruang angkasa, sekalipun ilmu pengetahuan manusia pada zaman teknologi maklumat ini lebih maju dan terkehadapan berbanding ilmu pengetahuan di zaman silam.

            Apabila kita melihat langit, kita dapati ia kelihatan begitu dekat seolah-olah beberapa kilometer sahaja. Akan tetapi setelah ada manusia naik ke bulan maka didapatinya langit itu masih juga jauh. Sehinggakan planet yang terjatuh dari kelompok matahari iaitu Pluto, di sana juga masih terdapat langit. Ya... betapa luasnya alam maya ciptaan Tuhan.

            Sejauhmana tinggi sekalipun ilmu pengetahuan seseorang namun ia tidak mampu menerangkan atau akalnya tidak memahami bagaimana sebenarnya rahsia perkembangan sebuah sel yang begitu halus yang bercantum sehingga menjadi makhluk berbentuk manusia, binatang atau tumbuhan. Ilmu yang dikurniakan Allah kepada  manusia adalah sangat sedikit diibaratkan jika kita ambil sebatang jarum lalu kita celupkan ke dalam laut lantas diangkat semula maka air yang terlekat di jarum itulah umpamanya pengetahuan manusia, sedangkan air laut yang masih tinggal di samudera luas adalah umpama luasnya pengetahuan Allah.

            Bagi mengelakkan hati kita daripada mati, mata daripada buta dan telinga daripada tuli maka marilah kita menyelami alam semesta ciptaan Tuhan supaya kita tergolong ke dalam golongan yang disebut oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:

Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka (dari petunjuk dan nasihat), dan penglihatan mereka ditutup (daripada mendapat pengajaran dari al-Quran dan alam semesta). Dan bagi mereka seksa yang amat berat.
(Al-Baqarah : 7)

Seluruh alam yang dapat kita lihat dengan mata kasar adalah terdiri dari kelompok matahari kerana mataharilah yang menjadi induk dan terpenting. Marilah kita renungkan saban hari apabila sang suria memancarkan sinarnya, alam semesta akan menjadi terang benderang. Apabila sang suria beradu di ufuk barat, pada mulanya cahaya kelihatan samar-samar kemudian seluruh alam gelap gelita. Apabila malam terus merangkak, sang bulan pula muncul dan bercahaya dengan dihiasi bintang-bintang yang berkelipan, namun ia tetap tidak dapat menyamai siang yang terangnya diberikan oleh matahari.

Apabila kita pada suatu malam berkunjung ke tepi pantai dengan langit yang cerah dan melihat ke lautan yang luas, kita akan dapat menyaksikan sendiri betapa hebat dan luasnya alam semesta raya ini. Lautan terdampar luas di hadapan kita dengan riak dan gelombangnya yang tidak pernah membosankan, sedang di angkasa raya bertaburan berjuta-juta bintang kecil dan besar dengan sinarnya yang berkedip-kedipan sampai ke mata kita. Ketika dan saat itu, kita dapat rasakan betapa tenangnya jiwa dan perasaan kita tambahan pula diiringi oleh hembusan bayu malam yang dingin. Tiada seorang pun yang tidak merasai kagum dan terpesona melihat keindahan alam di waktu malam yang indah dan permai itu.

Apabila kita melihat ke angkasa dengan kasar, kita hanya dapat menyaksikan sebahagian kecil sahaja alam semesta kerana keupayaan mata kita terbatas. Apabila kita memandang ke angkasa raya dengan menggunakan teleskop maka kita akan menjadi lebih kagum. Angkasa raya terbukti seribu kali lebih hebat dari apa yang dapat kita saksikan dengan mata kasar.

Sememangnya kita sebagai manusia haruslah memikirkan kejadian dan keadaan alam cakerawala yang maha luas ini. Sudah pasti manusia yang merasa kagum terhadap kehebatan dan keluasan alam semesta ini, akan merasai lebih kagum lagi tentang kebesaran Allah yang menciptakannya. Jika masih ada lagi manusia yang kagum dengan alam semesta tetapi tidak kagum langsung terhadap penciptanya maka itulah manusia yang disifatkan Allah lebih hina daripada haiwan lantaran mensia-siakan akal fikiran kurniaan Tuhan.

Ini baru setakat perbicaraan tentang luas dan jarak planet di antara planet-planet yang lain, belum lagi membicarakan susunan dan peredaran bintang-bintang di angkasa raya. Sekiranya kita benar-benar mengkaji dan menyelidik kemudian mencatatkan segalanya tanpa tertinggal walau satu pun nescaya tidak akan cukup samudera yang luas pada pandangan kita ini sebagai dakwat dan tidak cukup seluruh ranting dan dahan kayu untuk dijadikan pena. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat (ilmu) Tuhanku, maka akan habislah lautan ini sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).
(Al-Kahfi: 109)

Jika di bandingkan dengan alam cakerawala yang maha luas ini, bumi adalah ibarat debu yang halus sahaja. Jika bumi merupakan debu, maka air laut yang ada di muka bumi ini hanyalah berupa ¾ debu, tentu sahaja tidak cukup untuk mencatat alam semesta yang luas dan banyak itu. Inilah kekaguman terhadap kehebatan dan luasnya alam semesta ciptaan Tuhan yang tidak dapat dinafikan oleh setiap manusia yang mempunyai akal.

Manusia yang merupakan satu unit daripada alam semesta ini tidak kurang juga keajaibannya tersendiri. Jika kita mengkaji sel-sel dalam tubuh badan manusia seperti kromosom maka kita akan dapati bahawa di dalam kromosom terdapat pula gen yang tersangat halus yang akan membawa perwarisan sesuatu keturunan kepada generasi yang akan datang. Untuk melihat sel ini kita perlu menggunakan mikroskop atau mikroskop elektron. Cuba anda bayangkan betapa telitinya Allah s.w.t. mengatur segala kejadian di alam ini. Kesemuanya ini menimbulkan kehairanan dan pertanyaan kepada setiap sarjana-sarjana sains. Apakah yang sebenarnya ada di sebalik keanehan dan keajaiban itu? Mungkinkah keanehan itu sendiri yang melahirkan keanehan tersebut? Walau apa sekalipun, pasti ada pencipta segala keanehan itu. Ya... sudah pasti. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?
(Az-Zariyat: 20-21)

Cuba kita perhatikan bakteria pula. Bukan sahaja ia merupakan makhluk yang sangat halus, malahan mempunyai pelbagai bentuk pula. Ada yang berbentuk bulat (coccus), ada yang leper (becillus), ada yang panjang (spirillium) dan bermacam-macam lagi, hanya orang-orang yang mengkaji sahaja yang mengetahui. Rasanya jika ahli-ahli sains itu insaf terhadap kejadian-kejadian seumpama ini, maka tentunya mereka akan beriman dan iman mereka pasti lebih kukuh terhadap Allah s.w.t. berbanding orang lain.


No comments:

Post a Comment