Saturday, July 30, 2011
Hari Kokurikulum, Hari Kiosk Keusahawanan dan Hari Koperasi
Wednesday, July 27, 2011
Kem Kecemerlangan PMR SABK Negeri Perak
Pada 22 hingga 24 Julai 2011 yang lalu telah diadakan Kem Kecemerlangan PMR Sekolah-sekolah Agama Bantuan Kerajaan Negeri Perak bertempat di Maahad Tarbiyah Islamiah Batu 8, Changkat Jering. Seramai 10 orang pelajar ting. 3 dari setiap sekolah SABK telah terpilih menjadi peserta kem tersebut. Objektif utama kem ini adalah bagi membantu para pelajar cemerlang dari setiap sekolah mencapai ‘straight A’ dalam peperiksaan PMR nanti.
Pada hari Ahad 24 Julai, iaitu hari terakhir kem tersebut, telah diadakan pula perjumpaan guru-guru tingkatan 3 seluruh SABK negeri Perak dengan Dato’ Pengarah Pelajaran Negeri Perak dimana setiap sekolah dikehendaki menghantar 10 orang guru tingkatan 3 ke majlis itu. Saya mewakili tn pengetua telah hadir bersama 10 orang guru lagi mewakili sekolah saya.
Dalam ucapan panjang lebar dan bersemangat Dato’ Pengarah JPN telah menjelaskan hasrat dan hala tuju JPN Perak bagi mencapai visinya iaitu kecemerlangan dalam akademik, kecemerlangan dalam kokurikulum serta meningkatkan imej perkhidmatan pelajaran Perak. Saya sebenarnya sangat kagum dengan kerja kuat Dato’ Pengarah bagi meningkatkan taraf pencapaian peperiksaan awam negeri perak walaupun dengan bekerja 7 hari seminggu. Beliau telah sanggup berjumpa setiap kumpulan guru di negeri ini bagi menyampaikan hasrat dan hala tuju JPN.
Bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan awam tahun ini, beliau telah menggesa semua warga pendidik di negeri ini “melaksanakan tindakan segera” atau “sense of egency”. Usaha Sektor Pendidikan Islam melaksanakan kem kecemerlangan PMR kepada pelajar SABK seperti pada 22-24 Julai itu adalah satu sense of egency bagi mencapai peningkatan bilangan pelajar mendapat straight A. Bagi mencapai peningkatan peratus lulus, pihak sekolah diminta mengadakan program tersendiri untuk calon-calon PMR mereka.
Semasa majlis penutup kem kecemerlangan itu, telah diadakan penyampaian anugerah untuk sekolah SABK yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini. Sekolah saya telah menerima 3 hadiah, iaitu tempat kedua tertinggi GPS, pencapaian terbaik subjek KHB dan anugerah guru KHB terbaik di kalangan sekolah-sekolah SABK negeri Perak.
Saya mewakili sekolah menerima hadiah dari Dato’ Dr. Syed Omar Shariffudin, Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak , diperhatikan oleh Dato Pengarah
SABK Al Mizan diwakili oleh 6 pelajar cemerlang lelaki dan 4 pelajar cemerlang perempuan
Monday, July 25, 2011
2 bulan di sekolah yang baru...
Berikut adalah beberapa program / aktiviti yang saya hadiri sepanjang tempoh masa sebulan dua ini....
Latihan Dalam Perkhidmatan (Ladap) bil. 5 pada hari Sabtu
Bengkel audit akademik peperiksaan pertengahan tahun
Program Pecutan Akhir Perak Sentiasa di Puncak Kecemerlangan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh
Menghadiri Mesyuarat Sekolah-sekolah SABK yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah JPN Perak di BTPN Ipoh
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Peringkat Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar
Mewakili pengetua ke Multaqa Pengetua-pengetua SABK / SMAN Peringkat Kebangsaan di Hotel Putra Kuala Lumpur
Kejohanan Olahraga sekolah
Ikrar mematuhi peraturan sukan
Acara tarik tali antara rumah...
Dua beradik yang sangat rapat
Saya ingin mencatatkan dalam ‘post’ kali ini tentang perihal almarhum ayahanda saya dan almarhum bapa saudara saya yang kedua-duanya telah kembali ke RahmatulLahi Taala baru-baru ini.
Kedua-dua ayahanda saya dan ‘ayah ngah’ saya agak banyak persamaan berbanding abang mereka yang sulung atau “ayah we” saya. Ini kerana mereka berdua merupakan guru “Sekolah Arab” manakala “ayah we” saya adalah guru agama di sekolah kebangsaan.
Ayahanda saya menubuhkan “Sekolah Agama Rakyat atau Sekolah Arab” di kampung Jeliang ini pada tahun 1956 sebaik sahaja balik dari Makkah sebagaimana saya ceritakan dalam “posting” yang lepas. “Orang kanan” atau orang kuatnya yang mentadbir sekolah yang bernama “Madrasah Hidayah Islamiah Kampung Jeliang” ini adalah abangnya sendiri iaitu ayah ngah saya. Mereka berdua inilah yang menjadi Mudir dan Timbalan Mudir sekolah ini sejak penubuhannya pada tahun 1956 sehinggalah ke tahun 1995 iaitu kira-kira hampir 40 tahun lamanya.
Pada tahun 1995 ayah ngah saya mengambil alih jawatan Mudir kerana ayahanda saya membuka dan mengasaskan ‘Sekolah Arab Menengah’ di kampung ini yang diberi nama Sekolah Menengah Agama Hidayah Islamiah Kampung Jeliang, yang kemudian ditukar namanya kepada SMA Maahad Al Mizan.
Gambar yang bersejarah ini diambil dalam tahun 1961 semasa suatu ‘majlis’ di Sekolah Agama Rakyat Hidayah Islamiah Kampung Jeliang. Lihatlah betapa ramai anak-anak murid sekolah ini pada masa itu. Kanak-kanak kecil yang berdiri di samping ayahanda saya itu adalah saya sendiri. Masa itu saya baru berumur 2 tahun…

Gambar yang dibesarkan… di sebelah kanan ayahanda saya ialah bonda saya yang juga salah seorang tenaga pengajar di situ, dan di sebelah kiri ayahanda saya ialah ayah ngah saya selaku timbalan mudir.
Apa yang saya nak kongsikan dalam ‘post’ ini bukanlah sekadar nak tunjukkan gambar lama itu, tetapi nak kongsikan tentang satu sifat yang saya rasa amat istimewa yang ada pada ayahanda saya dan bapa saudara itu.
Ayahanda dan ayah ngah saya semasa hayatnya mempunyai banyak persamaan. Pertama mereka berdua sebagai guru agama di ‘sekolah arab’. Sekolah ini beroperasi pada sebelah petang. Jadi di sebelah pagi, mereka berdua adalah bekerja sendiri sebagai pekebun, penoreh getah, pesawah dan sebagainya. Sebagai pekebun mereka selalu berkebun bersama-sama di tanah yang diberi oleh nenda saya atau di tanah yang mereka beli sendiri. Begitu juga semasa bersawah padi, mereka selalu menjayakan sawah padi itu bersama-sama. Saya masih ingat semasa saya kecil dulu akan keseronokan bersawah padi di sawah di bendang Pulau Jitan Lempor. Bendang ayahanda saya dan bendang bapa saudara letaknya bersebelahan saja.
Kedua-dua ayahanda dan bapa saudara ini adalah guru agama bertauliah Jabatan Agam
Ada orang memberitahu saya, mereka tak pernah melihat dua orang adik beradik yang begitu baik dan rapat satu sama lain seperti ayahanda dan bapa saudara saya. Mereka selalu pergi ke mana-mana berdua. Hubungan yang begitu rapat inilah yang nak saya kongsikan dengan rakan-rakan semua. Kalau kita bandingkan pada hari ini ada orang adik beradik yang tak bertegur sapa atau ada orang adik beradik tetapi hubungannya agak renggang. Malahan orang itu lebih rapat dengan kawan-kawan lain berbanding dengan adik beradik sendiri.
Semoga kita dan adik beradik kita akan menjadi adik beradik yang sentiasa berbaik sangka dan bersatu hati dalam banyak hal seperti halnya ayahanda dan bapa saudara saya ini. Saling bekerja sama dan mempunyai hubungan yang sangat baik antara satu sama lain. WalLahu Aklam…
Friday, July 15, 2011
Ayah ngah dalam kenangan

Lima belas hari selepas ayahanda saya meninggal dunia, bapa saudara saya Tn Hj Abdul Aziz b Hj Sulaiman pula menghembuskan nafas terakhir. Beliau meninggal adalah pada 24 Jun 2011 bersamaan hari Jumaat iaitu pada kira-kira jam 12.30 tengah hari di hospital daerah Kuala Kangsar. Beliau yang berumur 84 tahun telah lama terlantar akbibat sakit kanser meninggalkan seorang isteri, sepuluh orang anak, 50 cucu dan beberapa orang cicit. Jenazah beliau selamat disemadikan pada hari yang sama di tanah perkuburan Islam Kampung Jeliang iaitu bersebelahan dengan kubur cucundanya Abdul Fatah yang meninggal akibat kemalangan jalanraya dua bulan sebelumnya.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh ‘ayah ngah’ saya ini, Amin!
Ayahanda yang dikasihi.
Hari Khamis 9 Jun 2011 bersamaan 7 Rejab 1432H adalah satu tarikh yang tak dapat saya lupakan. Ini kerana pada tarikh itu ayahanda saya yang dikasihi Tn Hj Zakaria b Hj Sulaiman telah kembali ke RahmatuLlah pada kira-kira jam 8.30 pagi. Almarhum ayahanda meninggal dunia setelah tidak sihat selama beberapa hari sebelum itu. Almarhum ayahanda menyahut panggilan Ilahi pada usia 82 tahun. Almarhum meninggalkan bonda yang dikasihi, kami 10 beradik dan 42 orang cucunda. Ayahanda selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Kampung Jeliang selepas solat Asar pada hari yang sama.
Pada saya, ayahanda yang dikasihi adalah seorang yang sangat berjasa khususnya kepada kami sekeluarga dan masyarakat sekeliling kami umumnya. Kalau boleh saya menceritakan, sejak dari mudanya, ayahanda adalah seorang yang sangat suka menuntut ilmu terutama ilmu Agama. Selepas menamatkan sekolah rendah, beliau belajar di sekolah pondok di Benut Payung Kelantan dan juga di Kedah Darul Aman. Hajat beliau untuk menyambung pelajaran di Makkah al Mukarramah tidak kesampaian apabila sesampainya beliau di sana pada tahun 1955 telah berlaku keadaan ‘tegang’ dan peperangan antara Negara-negara Arab dan Israel menyebabkan rakyat negara luar tidak dibenarkan berada di negara tersebut.
Apabila ayahanda balik dari Makkah itu, beliau telah mendirikan rumah tangga pada usia 3o tahun dan membuka Sekolah Agama Rakyat di Kampung Jeliang ini bagi meneruskan perjuangannya menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat. Walaupun pada masa itu terdapat berbagai tawaran untuk beliau berkhidmat dengan kerajaan seperti menjadi Kadi dan guru agama, namun ayahanda lebih berminat untuk membuka sekolah agama dalam visinya menyampaikan risalah dan dakwah Islamiah kepada masyarakat di samping bekerja sendiri untuk menyara diri dan keluarganya.
Begitulah kehidupan ayahanda yang dikasihi, pada sebelah pagi beliau menjadikan kebun getah, dusun dan sawah sebagai tempat perjuangannya, sebelah petang beliau akan meneruskan tugas mendidik anak bangsa mengenal agama Islam yang suci di ‘Sekolah Arab’nya dan sebelah malamnya pula beliau akan mengunjungi masjid-masjid dan surau-surau bagi menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat kerana beliau dilantik sebagai Guru Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Selain itu ayahanda merupakan imam di masjid dan merupakan pakar rujuk berkaitan ilmu agama kepada masyarakat sekeliling.
Perjuangan ayahanda di sekolah agama rakyat yang dikenali juga Madarsah Hidayah Islamiah Kampung Jeliang selama hampir 40 tahun itu diteruskan pula di SMA Maahad Al-Mizan apabila sekolah al Mizan itu ditubuhkan pada tahun 1995. Ayahanda menjadi pengasas dan pengetuanya yang pertama. Waktu itu ayahanda saya sudah pun berusia 67 tahun, namun perjuangannya sukar ditandingi. Segala perit getir dilalui dengan tabah. Beliau bukan sahaja sebagai pengetua tetapi juga sebagai ‘tukang kebun’, ‘pencuci bilik air’ atau apa sahaja tugas yang perlu yang mampu dilakukan bagi ‘menghidupkan’ sekolah menengah agama itu pada peringkat awalnya.
Saya masih ingat, mana ada pengetua yang ‘gaji’nya lebih rendah berbanding guru-guru-guru biasa di sekolahnya. Tetapi itu ada pada yang dikasihi ayahanda saya. Beliau membayar gaji guru melebihi gajinya sendiri semata-mata kerana hendakkan guru-guru muda itu kekal mengajar di situ. Namun segala kesusahan dan ‘pahit maung’ beliau terubat apabila orang ramai dan masyarakat luar terus memberi sokongan dengan memberi bantuan kewangan termasuk membeli ‘wakaf kaki’ dan menghantar anak-anak untuk belajar ke sekolah tersebut.
Ayahanda saya meletakkan jawatan sebagai pengetua pada tahun 2000 apabila beliau merasa tidak mampu meneruskan tugas yang sangat mencabar itu berbanding usianya. Lagi pun beliau sudah nampak penggantinya iaitu al fadzil ustaz Hj Megat Radzuan yang baru bersara dari jawatan kerajaan pada masa itu. Selepas itu, ayahanda masih menerus tugas sebagai seorang guru biasa di sekolah tersebut sehinggalah pada tahun 2006. Selain daripada itu ayahanda meneruskan tugas dakwahnya dan memimpin orang ramai mengenali ilmu Islam apabila beliau menjadi salah seorang tenaga pengajar di Pondok AlRidzuan Kpg Jalan Badak dan juga mengajar di masjid Jeliang sehinggalah ke akhir hayatnya.
Sesungguhnya saya sangat berbangga mempunyai seorang ayahanda seperti beliau. Beliau merupakan seorang yang tegas tetapi sangat menyayangi anak-anaknya. Kesemua kami diberi pendidikan yang secukupnya setakat mana yang kami mampu. Tidak pernah ada alasan ‘tidak ada duit’ untuk belajar. Pergilah menuntut ilmu setakat mana kami nak pergi. Beliau akan sentias
a mengusahakan mengikut kemampuannya. AlhamduliLlah berkat dari usaha dan doanya, tujuh dari sepuluh orang anaknya ‘graduat’ dari universiti-universiti tempatan. Beliau tidak meninggalkan harta yang banyak, tetapi beliau meninggalkan anak-anaknya yang mempunyai bekalan ilmu pengetahuan….Antara kenangan manis kejayaan ayahanda saya yang dapat saya rasakan adalah apabila beliau dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak pada tahun 1999. Majlis diadakan di dewan banquet bangunan Kerajaan Negeri Perak dan anugerah itu disampaikan oleh DYTM Raja Muda Perak. Di se
belah adalah gambar saya semasa mengiringi ayahanda saya di dewan bankuet pada majlis tersebut...Saya masih teringat satu ucapan ayahanda di majlis perpisahannya di Maahad Al Mizan pada tahun 2003, bahawa sebiji kelapa tua, kalau dimakan akan memberi santan yang pekat dan berkhasiat, dan kalau ditanam akan menjadi benih dan akan tumbuh sebagai pokok baru yang subur, dan kalau boleh beliau nak menjadi seumpama ‘kelapa tua’ yang banyak menafaatnya kepada manusia keseluruhannya itu. Dengan kata lain, hidup kita ini biarlah banyak membuat jasa dan berguna kepada orang orang lain. Alhamdulillah, ayahanda telah pun dapat memberi sumbangan yang besar kepada ahli keluarganya dan memberi menafaat kepada masyarakat sekelilingnya.
Sekarang apabila ayahanda saya sudah tiada, saya sangat ‘terasa sayu’… lebih-lebih lagi apabila ketika pergi solat Jumaat ke masjid. Memang telah menjadi kebiasaan saya sejak lebih 10 tahun ini, saya akan mengambil beliau untuk bersolat Jumaat di masjid dan menghantarnya ke rumah semula selepas solat itu. Tetapi sekarang saya akan keseorangan tanpa beliau di sebelah untuk pergi dan balik solat ke masjid itu…
Semoga Allah SWT melimpahkan Keredhaan serta Syurga kepada Roh ayahanda yang dikasihi, Amin ya Rabbul Alamin!
.
Tuesday, June 7, 2011
Kisah Sultan Muhammad Al Fateh
Constantinople atau kini dikenali sebagai Istanbul merupakan ibukota kepada Empayar Byzantium yang diasaskan pada tahun 324 Masihi oleh Maharaja Constantine Agung. Kota yang indah ini terletak di dua buah benua, iaitu Asia dan Eropah.
Pada zaman keemasannya yang menjangkau selama dua abad dari 850 hingga 1050 Masihi, Constantinople muncul sebagai sebuah pusat kebudayaan dan keilmuan yang tersohor. Bermula dari abad ke-11 empayar agung ini mula mengalami zaman kemerosotannya.
Pada zaman kemerosotannya empayar ini telah digempur oleh tentera salib dan kemudiannya oleh tentera Turki Uthmaniyah yang mempercepatkan proses pereputannya. Keagungan Constantino
ple berakhir pada 1453 apabila kota tersebut ditawan oleh Sultan Muhammad II atau lebih dikenali sebagai Muhammad Penakluk (al-Fatih). Dengan penaklukan yang dilakukan itu Constantinople ditukarkan namanya kepada Istanbul dan seterusnya diisytiharkan sebagai ibukota Daulah Uthmaniyah pada tahun 1457.Disebabkan kedudukannya yang strategik dan kemasyhuran yang dimilikinya, Constantinople cuba ditakluki oleh tentera Islam sejak pemerintahan khalifah Muawiyah lagi yang pernah menghantar bala tentera bagi menakluki kota tersebut pada tahun 669 Masihi. Usaha ini gagal kerana kekebalan kota Constantinople, tetapi menjadi satu peristiwa bersejarah apabila seorang sahabat nabi, Abu Ayyub al-Ansari meninggal dunia dalam ekspedisi ini.
Usaha bagi menakluki kota ini dipertingkatkan lagi oleh sultan-sultan Daulah Uthmaniyah yang mengaitkan usaha ini dengan keyakinan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad tentang sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali parit Khandaq iaitu “..Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, manakala tenteranya adalah sebaik-baik tentera…”.
Selain itu, wasiat Abu Ayyub yang mahukan supaya jenazahnya dikebumikan paling hampir dengan kubu Constantinople turut menjadi inspirasi kepada umat Islam untuk menakluki kota ini. Kepentingan hadith ini dan wasiat Abu Ayyub menjadikan usaha umat Islam menakluki ibu kota Byzantium sebagai tugas suci yang terus dilakukan sepanjang zaman.
Atas inspirasi inilah Sultan Muhammad ll berusaha sejak dari usia muda untuk menawan kota tersohor ini. Usaha yang beliau lakukan ini juga adalah atas keyakinan bahawa dirinyalah pemimpin terbaik untuk memikul tugas murni yang gagal dijayakan oleh pemimpin lain.
Sultan Muhammad ll dilahirkan pada 30 Mac 1432 di Edirne. Beliau merupakan anak keempat Sultan Murad II. Sultan Muhammad ll adalah seorang sultan Uthmaniyah yang berwibawa sebagai seorang pentadbir, ketua tentera dan juga merupakan seorang yang mahir dalam ilmu sejarah, geografi, ilmu falak dan puisi. Menurut Belini, iaitu seorang pelukis dari Venice yang bertemu Sultan Muhammad ll, sultan Uthmaniyah ini digambarkan sebagai seorang Islam yang warak dan fasih bertutur dalam sekurang-kurangnya tiga bahasa, iaitu Arab, Turki dan Parsi.
Sultan Muhammad ll adalah seorang yang bercita-cita tinggi dan secara tegas menyatakan cita-citanya untuk menawan kota Constantinople sebaik-baik sahaja dilantik menjadi sultan. Bagi merealisasikan cita-citanya itu Sultan Muhammad ll sendiri terlibat dengan perancangan bagi menawan kota ini sejak awal-awal lagi. Usaha beliau ini dibantu penasihat dan pembantunya yang berwibawa seperti Ak Shamsuddin yang merupakan penasihat kerohaniannya dan wazir Zarghanos Pasha.
Usaha Sultan Muhammad menakluki Constantinople merangkumi perancangan bagaimana kota ini perlu dipencilkan terlebih dahulu daripada sokongan luar, kekebalan kota ini perlu dihancurkan dan persiapan rapi dilakukan bagi menggempur kota tersebut. Sebagai langkah awal, Sultan Muhammad ll, telah membuat perjanjian persahabatan dengan jiran-jiran Constantinople bagi mengelakkan mereka menghulur bantuan kepada kota ini apabila dikepung.
Pada waktu yang sama Rumeli Hisari telah disiapkan binaannya pada 31 Ogos 1452 bagi melengkapkan peranannya dengan Anadolu Hisari dalam usaha memencilkan Constantinople dan menghalangnya daripada menerima bantuan luar melalui selat Bosphorus.
Setelah meyakini bahawa Constantinople telah dipencilkan, pada hari Isnin 2 April, 1453 Sultan Muhammad ll telah mengisytiharkan perang ke atas kota tersebut.
Serangan ke atas Constantinople dimulakan selepas solat Jumaat pada 6 April 1453 dengan tembakan dilepaskan oleh meriam gergasi. Meriam ini dicipta oleh Sultan Muhammad ll dengan bantuan seorang jurutera bangsa Hungary bernama Urban. Meriam yang mampu menembak peluru seberat antara 800-1200 paun ternyata berjaya merobek kubu yang selama ini amat kebal daripada sebarang serangan.
Serangan ke atas Constantinople melibatkan persiapan Sultan Muhammad ll yang melibatkan 140 buah kapal perang 320 buah perahu dengan angkatan tentera berjumlah seramai seratus lima puluh ribu orang, termasuklah dua belas ribu tentera janisari yang terlatih. Walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi menawan,namun kota ini ternyata kebal kerana selepas dua minggu serangan dilancarkan, kota tersebut masih mampu bertahan. Kegagalan ini sedikit sebanyak menjejaskan semangat juang bala tentera Sultan Muhammad ll. Antara faktor yang menggagalkan usaha penaklukan ini ialah keterbatasan serangan yang dilancarkan dari darat.
Lantaran itu, pada malam 21-22 April 21-22 Sultan Muhammad ll telah mengarahkan supaya kapal perangnya diheret melalui Bukit Galata menuju ke Tanduk Emas bagi membolehkan serangan dari laut yang lebih berkesan dapat dilancarkan. Dengan bantuan kayu bulat yang dilicinkan dengan menggunakan lemak lembu satu landasan diwujudkan bagi memudahkan kapal ini diseret menaiki bukit. Strategi yang digunakan ini ternyata memberikan kesan yang mengejutkan sehingga berjaya memecahkan pertahanan musuh dan membolehkan serangan dilakukan dengan lebih berkesan.
Walaupun strategi demi strategi diusahakan, namun kejayaan muktamad menawan Constantinople masih belum berhasil. Pada malam 26 Mei Sultan Muhammad ll telah mengadakan perundingan dengan pakar-pakar strateginya bagi membolehkan serangan muktamad dilancarkan. Pada hari Ahad 27 Mei Sultan Muhammad ll telah melakukan lawatan ke atas ketumbukan tenteranya bagi memberikan mereka semangat dan menawarkan hadiah apabila kota Constantinople berjaya ditawan.
Pada 28 Mei Sultan Muhammad ll mengumumkan kepada tenteranya supaya berehat, membersihkan rohani dan berpuasa sebelum serangan muktamad dilancarkan pada keesokan harinya. Pada malam sebelum serangan dilancarkan Sultan Muhammad ll sendiri bersama-sama dengan Zarghanos Pasha membuat persiapan terakhir dengan memperincikan strategi yang akan digunakan. Selain itu, beliau juga melawat khemah tenteranya bagi memberikan mereka semangat dengan menegaskan bahawa tugas menawan Constantinople adalah tugas suci yang mestilah dilaksanakan pada kali ini.
Pada awal pagi Rabu 29 Mei, tentera Uthmaniyah telah bertindak membakar khemah dan melaungkan kata-kata semangat bahawa mereka akan bermalam di dalam kota Constantinople pada waktu malam nanti. Serangan awal telah dilancarkan oleh tentera yang melibatkan pasukan rakyat yang kurang mahir dan diikuti dengan serangan oleh tentera yang lebih terlatih.
Akhirnya menjelang terbit matahari serangan dilancarkan oleh pasukan pemanah dan tentera janisari yang lebih terlatih. Serangan secara terancang ini ternyata membuahkan hasil yang membawa kepada jatuhnya kota Constantinople setelah dikepung selama lima puluh empat hari. Sebaik-baik sahaja memasuki Constantinople Sultan Muhammad ll mengumumkan bahawa kota ini kini dikenali sebagai Istanbul.
Penaklukan kota Constantinople oleh Sultan Muhammad ll merupakan satu peristiwa bersejarah dalam perkembangan Islam. Kejayaan yang dicapai ini merupakan gabungan inspirasi yang membakar semangat, perancangan yang rapi, kerja sepasukan yang jitu, strategi yang sesuai pada waktunya dan keyakinan kepada pertolongan Allah dalam membawa kejayaan. Ternyata usaha penaklukan ke atas kota ini oleh Sultan Muhammad ll boleh dijadikan iktibar dalam perjuangan membawa perubahan kepada ummah.
Usaha Mohamad Syaari Abdul Rahman menulis buku Kuasa Kepimpinan al-Fateh adalah satu usaha murni yang patut dipuji kerana membantu mendedahkan kepada khalayak satu peristiwa yang telah mengubah perjalanan sejarah umat Islam. Usaha Sultan Muhammad ll wajar menjadi iktibar kepada generasi muda dalam usaha menjadikan nasib umat Islam pada masa akan datang lebih baik daripada umat Islam pada masa kini.
(Sumber: Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman
Dekan
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya)
.










