Saturday, October 9, 2010

Hari Usahawan SK Jeliang



Hari ini saya mengunjungi Hari Usahawan Sekolah Kebangsaan Jeliang. Banyak gerai jualan diadakan di kawasan sekolah. Keuntungan jualan dikatakan akan mengisi tabung PIBG. Terdapatkan juga pameran dari PDRM serta perkhidmatan pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan. Saya ucapkan tahniah kepada jawatankuasa PIBG dan pihak sekolah yang menjayakan program Hari Ushawan tersebut. Memang menarik!!




Thursday, October 7, 2010

PMR bermula...

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Kesemua 131 orang calon PMR dari sekolah ini mula menduduki peperiksaan PMR yang bermula hari ini. Setelah segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh calon-calon, maka inilah masanya mereka mencurahkan segala ilmu itu ke atas kertas jawapan bertulis yang mereka hadapi. Diharap segala usaha yang telah dilaksanakan oleh pelajar-pelajar, guru-guru dan pihak sekolah akan mendatangkan hasil yang mengembirakan apabila keputusan PMR diumumkan nanti......


Berkumpul di luar sebelum memasuki dewan peperiksaan. Berdebarnya hati tak terkira...

Kain rentang dibuat khas menandakan sokongan warga sekolah kepada calon-calon

Buktikan lah segala usaha guru-guru dan ibubapa tidak dihampakan...


Bukan satu, tetapi 2 kain rentang dipasang bagi menyatakan harapan semua warga sekolah kepada anda sekelian.
.

Monday, October 4, 2010

Sajak doakan kami cikgu


Doakan kami cikgu
Halalkan ilmu cikgu
Janganlah marah lagi cikgu
Mintak maaf ya cikgu....

Ha apa pulak ni?
Bukankah cikgu selalu mendoakan,
Cikgu yang selalu kuat meng’amin’kan
Sedang kamu sendiri hanya diam...
Malah cikgu-cikgu yang lebih ramai
baca Yassin dan solat hajat
daripada ibu-bapak kamu.....

Siapa kata cikgu tak halalkan
Mengapa kamu ingat ia haram,
Atau kamu rasa bersalah
Tak buat kerja sekolah....
Lari daripada kelas cikgu...
Lepas daripada kepungan cikgu...

Atau....
Kamu minta halalkan nasi bungkus
Yang cikgu berikan untuk kelas tambahan
Tapi lepas kamu makan kamu lari balik....
Tak masuk pun kelas tambahan

Siapa kata cikgu marah
Tak lah....
Dulu... dulu memang cikgu marah
Cikgu buat kelas kamu tak datang....
Cikgu korbankan masa cuti, kamu terus bercuti...
Cikgu buat kem, kamu tak layan.
Cikgu sungguh-sungguh, kamu mainkan.....
Kamu tak ’bahasa’kan pengorbanan cikgu...

Sekarang kamu bersalam pulak...
Salam untuk apa, Nak mohon restu...

Okey, okey, eloklah kamu dah insaf...
kamu memang budak baik....
Cikgu-cikgu sudah maafkan,
Cikgu-cikgu sudah halalkan,
Malah cikgu iringi kamu ke dewan dengan doa….
Cikgu tak boleh tolong lagi...
Cikgu tak boleh masuk dewan itu...

Jawaplah sebaik mungkin,
Jawaplah jangan putus harap...
Insya Allah
Kamu akan berjaya..
Menaikkan peratus sekolah..
Janganlah lagi kita di bawah...
Selamat Berjuang!

Sunday, October 3, 2010

Amalan Pembaziran....


(Saya ubahsuai dari satu webside untuk renungan bersama)


Orang tua berkata jangan buang nasi kerana nasi yang terbuang tu menangis. Sebenarnya kata-kata ini menggalakkan kita supaya jangan membazir walaupun sebutir nasi. Orang kita kalau makan nasi memang biasa terbuang nasi. Bukan hanya sebutir nasi malah berbutir-butir nasi yang melekat di jari terus dibasuh tangan. Malah ramai yang membuang bukan sebutir sepinggan dan mungkin seperiuk pun ada kerana tak habis makan. Gambar sebelah sekadar hiasan menceritakan pembaziran....

Bayangkan jika setiap orang di Malaysia membuang hanya 3 butir nasi sekali makan. Rakyat Malaysia pada Jun 2010 ialah 28.9 juta orang menurut Utusan Malaysia.
Jika setiap kali seorang membuang setiap kali makan cuma 3 butir nasi, sudah menjadi 86.7 juta butir nasi. Ini paling sedikit, benarkah orang kita hanya membuang 3 butir nasi setiap kali makan?

Bayangkan dalam 1 kg beras mengandungi 50,000 butir beras. Jadi dalam 86 700 000 butir nasi di bahagi dengan 50, 000 sudah menjadi 1734 kilo beras terbuang sehari!
1 kilo beras boleh cukup untuk makan seramai 10 orang, maka 1734 kilo beras boleh memberi makan kepada :1734 X 10 = 17,340 orang.
Ini untuk sekali makan, kebiasaan orang kita makan nasi 2 kali sehari, bayangkan…Sehari boleh menyuap untuk 34,680 orang bagaimana kalau sebulan? Bagaimana kalau setahun?
Oleh itu janganlah membazir walau pun sebutir nasi. Sebutir nasi sejuta keringat. Jangan membuang walaupun sebutir nasi! Mungkin ini antara hikmah Rasulullah SAW mengajar kita menjilat jari selepas makan supaya sebutir nasi pun tidak membazir.

Insaflah kita, tidak jadi seperti ini....
Wallahu Aklam.....


.







Jamuan raya sana sini


Tak habis-habis lagi jamuan hari raya. Itulah ‘ikutan’ orang kita sekarang ini. Selagi ada bulan Syawal, selagi itulah nak beraya ! Keliru betul saya, dulu masa ngaji kat masjid, ustaz kata raya puasa hanya 1 hari sahaja….

Hari ini saya mendapat dua jemputan menghadiri rumah terbuka lagi. Tak tahulah nak pergi ke tidak. Cadangnya nak menebas kebun dulu, kalau larat nanti saya pergi….kalau tak larat, mohon maaf saja lah…Semoga kawan-kawan yang lain ramai yang datang…

Gambar ni ketika menghadiri jamuan hari raya pembantu makmal sekolah, lihatlah majlis pun dalam makmal…
.

Program Solat Hajat & Bacaan Yassin


Pagi hari Jumaat telah diadakan Program Solat Hajat dan Bacaan Surah Yassin bagi mendoakan kejayaan calon-calon dalam peperiksaan PMR nanti. Program yang bermula jam 9.00 pagi itu telah diadakan di Masjid Nurul Huda Manong.

Semua calon PMR lelaki dan perempuan hadir ke masjid lebih awal. Guru-guru dan ibubapa pelajar juga hadir bagi menyokong usaha yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Malang sedikit bilangan waris / ibubapa yang hadir sangat sedikit iaitu seramai 16 orang bapa serta beberapa beberapa orang ibu sahaja. Sedangkan bilangan calon semuanya 131 orang.

Kadang-kadang saya terfikir, sibuk benarkah ibubapa sekarang ini hinggakan tak dapat meluangkan sedikit masa bersama anak-anak dalam majlis memohon doa untuk anak-anak mereka sendiri.... Atau mereka hanya mengharapkan biarlah orang lain yang mendoakan kejayaan anak mereka. Atau mereka tak memang tak mengharapkan kejayaan anak-anaknya.....!

Maaf cakap, ada orang lain di sekolah lain, ibubapanya sanggup datang beratus km dan mengambil cuti semata-mata untuk bersama-sama anak-anak dalam majlis bacaan Yassin dan solat hajat yang dianjurkan oleh sekolah mereka. Bukan selalu, masa PMR sekali, masa SPM esok sekali lagi. Itu saja...

Apa pun, semoga Allah SWT memakbulkan permintaan pelajar-pelajar, guru-guru dan ibubapa yang hadir agar peratus pencapaian sekolah ini meningkat dalam PMR kali ini. Sudah sangat banyak program telah dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi membantu calon-calon menyiapkan diri untuuk menghadapi peperiksaan. Kejayaan pelajar-pelajar adalah kejayaan sekolah, Kejayaan sekolah adalah kebanggaan semua warga sekolah. InsyaAllah kita boleh!!

.

Wednesday, September 29, 2010

Persoalan Puasa 6

Saya copy daripada : Drmaza.com

1. Asas kepada amalan puasa enam hari pada Bulan Syawwal ini ialah sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian dia susulinya dengan enam hari dari Bulan Syawwal, maka ia bagaikan puasa sepanjang masa (tahun)” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll).

2. Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa puasa enam hari pada Bulan Syawwal adalah sunat. Walaupun al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H) menganggap makruh puasa enam hari pada Bulan Syawwal, namun pendapat tersebut dianggap tidak kuat. Dalam al-Muwatta riwayat al-Imam Malik bin Anas disebutkan:
“Malik berpendapat mengenai puasa enam hari selepas Idil Fitri bahawa beliau tidak pernah melihat ilmuwan dan ahli fekah melakukan puasa tersebut. Tidak sampai kepadanya apa-apa riwayat daripada ulama salaf mengenai hal itu. Ilmuwan memakruhkan puasa tersebut. Mereka bimbang kebidahannya. Bimbang golongan jahil mengaitkannya dengan Ramadan”. (al-Muwatta’, 1/330 –bil: 857. Beirut: Muassasah al-Risalah).
Maksudnya, beliau menyatakan makruh sebab beliau tidak melihat ahli ilmuwan di Madinah ketika itu mengamalkannya dan bimbang puasa tersebut dianggap wajib oleh mereka yang jahil. Adapun riwayat hadis di atas yang menggalakkan puasa enam hari Syawwal dianggap tidak kukuh disebabkan rawi Sa’d bin Sa’id bin Qais adalah masalah hafalan maka dianggap tidak kuat jika dia bersendirian (infirad) dalam riwayat. Di samping itu al-Imam Malik mengukurnya dengan amalan ilmuwan Madinah pada zamannya yang beliau dapati tidak mengamalkannya.

3. Namun hadis ini dianggap sahih oleh majoriti ilmuwan hadis. Walaupun Sa’d bin Said bin Qais mempunyai sedikit masalah, tetapi hadis ini ada mutaba’ah (jalur rawi yang lain) seperti Sofwan bin Sulaim dan selainnya. Maka hadis ini sahih dari segi ilmu hadis. Ketika mengulas kenyataan al-Imam Malik yang melihat tiada ilmuwan pada zamannya mengamalkan puasa enam tersebut, al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) berkata:
“Apabila sunnah itu telah sabit, maka ia tidak ditinggalkan hanya kerana ia tidak diamalkan oleh sebahagian, atau kebanyakan atau semua orang sekalipun” (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 8/238, Beirut: Dar al-Khair).
Maksud al-Imam al-Nawawi, kita tidak patut meninggalkan sesuatu sunnah Nabi s.a.w hanya kerana melihat orang lain tidak mengamalkannya sedangkan ia telah terbukti sahih riwayat tersebut di sisi ilmuwan hadis dan tiada nas sahih lain yang boleh menolak amalan tersebut. Inilah pendirian sepatutnya terhadap sunnah-sunnah Nabi s.a.w. Jika para ulama di Madinah pada masa al-Imam Malik bin Anas yang ketika masih ramai tabi’in dan sarjana-sarjana besar tidak dijadikan hujah bagi menolak amalan sunnah, apakah kita hari ini kita menolak sesuatu hadis hanya kerana orang Malaysia tidak mengamalkannya, atau ulama Malaysia tidak mengamalkanya? Sudah pasti itu dilakukan, maka terhapuskan banyak sunnah-sunnah Nabi s.a.w.

4. Berasaskan hadis ini maka kita dapat fahami bahawa sesiapa yang melakukan dua perkara; pertama, berpuasa pada bulan Ramadan. Kedua, berpuasa enam hari pada Bulan Syawwal. Maka ganjarannya seperti dia berpuasa setahun. Ertinya, jika dia hanya berpuasa Ramadan sahaja tanpa enam hari pada bulan Syawwal, dia tidak memperolehi fadilat ini. Demikian juga jika dia hanya berpuasa enam hari pada bulan Syawwal tanpa diselesaikan puasa Ramadan, maka dia juga tidak memperolehi fadilat ini.

5. Berdasarkan aturan ungkapan dalam hadis ini, maka yang terbaik seseorang yang mempunyai qada puasa Ramadan, sebaiknya hendaklah menyelesaikan qada (gantian) Ramadan dahulu kemudian diikuti enam hari pada Bulan Syawwal. Jika tidak berkesempatan lalu berpuasa enam dahulu dan qada selepas itu, mudah-mudahan amalan itu tetap diterima Allah kerana secara umumnya dia menunai keduanya, cuma tidak berdasar susunan sahaja.

6. Terdapat perbezaan dalam kalangan ulama; apakah afdal ditunai puasa enam hari pada bulan Syawwal itu sebaik sahaja selepas hari raya secara berturut-turut, atau mana-mana enam hari pada bulan Syawwal itu sama sahaja. Pendapat Mazhab Ahmad samada ditunaikan berturut-turut atau tidak adalah sama sahaja. Pendapat Mazhab Hanafi dan Syafi’i: Afdalnya berturut-turut selepas hariraya (lihat: Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah 1/380, Beirut: Dar al-Fikr).

7. Walaupun di sana ada yang berpendapat yang afdalnya adalah berturutan selepas hariraya disebabkan ungkapan ‘kemudian dia susulinya’, namun fadhilat puasa enam ini tetap diperolehi oleh sesiapa sahaja yang berpuasa enam hari tersebut dalam bulan Syawwal sekalipun bukan berturut-turut selepas hari raya. Kata al-Imam al-Nawawi:
“Afdalnya dilakukan puasa enam hari berturut selepas hari raya. Jika dilewatkan sehingga akhir Syawwal tetap mendapat fadilat ‘disusuli enam hari’ kerana ia menyusuli enam hari dalam bulan Syawwal” (Syarh Sahih Muslim, 8/238).

8. Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi ketika menjawab persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu berturut-turut selepas hari raya atau tidak, berkata:
“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).

9. Oleh kerana hari-hari puasa enam Syawwal itu ada pilihan, sementara kadang-kadang waktu kemeriahan keluarga itu sukar diperolehi melainkan seperti pertemuan semasa cuti hari raya ini, maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunat pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Puasa sunnat digalakkan, namun menjaga hubungan silaturrahim dan perasaan kaum keluarga juga amat penting. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Dalam riwayat lain oleh al-Tabarani dalam al-Ausad baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: “saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata ‘aku berpuasa!!). Jelas, baginda tidak menggalakkan berpuasa jika ada jamuan demi menjaga perasaan sahabat handai. Maka menjaga perasaan kaum keluarga lebih utama.

10. Tiada dalam Islam apa yang dinamakan dengan ‘hariraya puasa enam’. Tiada juga ibadat khusus hari raya puasa enam Syawwal seperti ‘solat tasbih hariraya puasa enam’ yang dibuat di sesetengah tempat. Ini semua perkara yang diada-adakan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Sabda Nabi s.a.w.:
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).
Solat tasbih jika hendak dilakukan, jangan dikaitkan dengan hariraya puasa enam atau sebagainya.