Thursday, November 5, 2009

Lampu Pecah



Baru semalam saya ‘post’kan satu cerita tentang vandalism di sekolah saya. Hari ini saya ‘post’kan satu berita lagi berkaitan ‘vandalism’ yang betul-betul terjadi kepada saya. Saya rasa bukan ‘vandalism’ lah sebaliknya satu perbuatan khianat dan jahat yang dilakukan oleh orang yang tak bertanggungjawab terhadap diri saya. Vandalism ialah perbuatan merosakkan harta awam, tetapi jika merosakkan harta orang persendirian itu lebih tepat lagi suatu perbuatan khianat atau jenayah…

Pagi tadi kira-kira jam 5.50 pagi ketika saya nak membuka pintu pagar untuk keluar solat subuh di surau, saya dapati dua biji lampu pada tiang pagar kediaman saya telah dipecahkan oleh sesaorang. Kejadian mungkin berlaku antara jam 12.00 malam hingga 5.50 pagi, kerana sebelum tidur jam 12.00 tengah malam, saya pasti kedua-dua lampu tersebut masih di dalam keadaan baik.


Kejadian memecahkan lampu ini sebenarnya adalah kali kedua berlaku. Kali pertama pada tahun 2008 yang lalu di mana sebiji lampu pagar ini di ketuk sehingga pecah dipercayai dengan batu besar oleh sesorang yang tak diketahui juga pada malam hari. Setelah ditukar dengan lampu lain, kejadian yang sama berlaku lagi malam tadi. Pada kali ini, saya dapati cara memecahkan lampu-lampu itu dengan cara memukulnya secara kuat dengan kayu atau objek keras yang lain.


Selepas solat subuh, saya termenung dan berfikir apakah salah saya sehingga ada orang yang begitu khianat dan sanggup melakukan perbuatan tersebut. Saya cuba mengingat kalau-kalau saya ada menyakiti sesorang yang mungkin beliau melakukan balas dendam kepada saya. Saya juga cuba memikirkan sesiapa yang mungkin melakukan perbuatan tersebut, tetapi saya tak dapat mengagaknya. Saya serahkan kepada Allah SWT untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang yang membuat pekerjaan tersebut.

Semasa sarapan pagi di kantin hari ini, beberapa orang kawan menasihati saya supaya melaporkan kejadian itu ke balai polis. Kata mereka dengan berbuat begitu, sekurang-kurangnya pihak polis mungkin akan kerap membuat pemantauan di kawasan rumah kediaman kita.

Saya berharap dan berdoa, perbuatan memecahkan lampu ini tidak dilakukan oleh anak-anak murid saya. Walaupun mungkin saya ada memarahi atau mendenda mereka, tetapi tidak pernah terlintas di hati saya menganggap mereka jahat sebaliknya tindakan ini sebagai mendidik dan memberi pengajaran kepada mereka. Saya selalu berdoa agar semua anak-anak murid ini menjadi orang yang baik, soleh dan menjadi warga negara yang berjasa suatu hari ini.

Seperkara lagi, saya terfikir bagaimana orang yang melakukan jenayah ini berhadapan dengan Allah SWT di akhirat nanti. Di mana mereka hendak mencari saya untuk memohon maaf. Di mana pula mereka nak cari kedai lampu untuk menggantikan kedua-dua lampu yang mereka pecahkan itu. Jika ada kedai lampunya, di mana mereka nak cari duit untuk membelinya….
Semoga mereka yang melakukannya ini segera memohon maaf dan bertaubat…………


.

Wednesday, November 4, 2009

Sejadah ambil wuduk pula!

Berikut saya ‘post’ satu berita dari satu blog yang saya baca hari ini. Mungkin yang dituliskan itu benar-benar berlaku sebagai diceritakan, atau mungkin juga sengaja dibuat berita suatu yang tak benar, biarlah dia dan Allah sahaja yang tahu. Sekiranya dia sendiri yang ambil gambar sejadah tepi paip air dan buat berita, saya rasa tak baiklah buat begitu. Apa guna menipu orang lain. Buatlah kerja yang lebih berfaedah daripada perbuatan menipu itu.
Sama-sama kita fikirkan….

Kejadian sejadah berdiri dengan sendirinya telah mengemparkan seluruh negara. Sejadah itu berdiri seolah-olah sedang menunaikan solat. Ada siap dengan berjemaah sekali. Beberapa insiden ini telah dilaporkan berlaku dibeberapa buah negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.Berita terbaru kali ini berlaku di Melaka dikatakan sejadah bukan sahaja pandai berdiri malah dah pandai mengambil air sembahyang pulak (gambar).




Insiden berlaku ketika waktu asar di sebuah surau apabila seorang kanak2 yang bermain berhampiran surau hendak membasuh kakinya terkejut melihat sehelai sejadah seperti sedang mengambil wudhu.Selepas terlihat sejadah itu, kanak2 tersebut terus berlari ke rumah dan menerangkan kejadian yang dilihatnya kepada ibunya. Apa lagi si Ibu pun lantas membuat kecoh dan mengajak beberapa jiran2nya terus ke surau tersebut untuk menyaksikan sejadah mengambil air sembahyang pula kali ini.

Alangkah terkejutnya mereka dan seperti tidak percaya apa yang lihatnya memang benar2 berlaku sejadah tersebut berada dalam salah satu kolah kecil di surau tersebut seolah-olah seperti sedang mengambil air sembahyang.Setelah suasana menjadi riuh rendah, tiba-tiba muncul bilal keluar dari dalam tandas surau dalam keadaan terpinga2 dan menanyakan kepada mereka apa yang sedang berlaku. Setelah mendengar penjelasan dari ibu kanak2 tadi, bilal tersebut lantas menerangkan hal sebenarnya seraya tersenyum menyatakan bahawa beliau yang meletakan sejadah tersebut disitu kerana hendak membasuhnya setelah terkena taik cicak.
.

Monday, November 2, 2009

VANDALISM...

Saya meminta guru bertugas membuat pengumuman sewaktu perhimpunan pagi.

Guru bertugas : Semua pelajar lelaki 4RT, 4SS dan 4VT diminta tunggu di tapak perhimpunan
selepas ini.

(Selepas perhimpunan semua pelajar lelaki ketiga-tiga kelas itu berbaris mengikut kelas masing-masing)

Saya: Assalamu alaikum… pagi semalam sewaktu saya ‘meronda ke kelas-kelas’, saya dapati
kelas tingkatan 3C dan 3J telah diceroboh dan perabot kerusi dan meja telah dirosak-
rosakkan. Ini satu perbuatan vandalism!!



Saya telah menyiasat dengan bertanya kepada saksi-saksi, perbuatan ini berlaku
sewaktu semua pelajar ting. 3 berada di padang mengikuti aktiviti kokurikulum
program selepas PMR. Saksi-saksi saya menyatakan ia dilakukan oleh sekumpulan
pelajar lelaki ting. 4RT, 4SS dan 4VT. Kamu telah memasuki kelas-kelas tersebut pada
waktu rehat dan selepas balik sekolah petang semalam. Saya minta pelajar yang
melakukannya, sila mengaku! Yang melakukan sila keluar ke hadapan sebelum saya
panggil!

Pelajar: (Semua diam. Tidak seorang pun yang mengaku melakukan vandalism tersebut)

Saya : Okey, tak mahu mengaku tak apa...Saya nak tanya, apa salah pihak sekolah sehingga
kamu berdendam dan merosakkan kerusi meja.

Saya: Bukankah pihak sekolah telah banyak membantu kamu belajar di sini?
Bukankah kamu belajar di sini secara percuma? Tak bayar apa-apa pun!
Bukankah kamu menerima pelbagai kemudahan belajar di sekolah ini?
Walaupun sekolah kita sekolah luar bandar, namun pelbagai peruntukan dan
kemudahan disediakan untuk kamu belajar di sini.
Kamu sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada semua guru, pegawai-pegawai
kementerian pelajaran dan kerajaan yang membekalkan peralatan tersebut...
Kamu tahu berapa harga satu set kerusi meja yang kamu pakai tu? Adakah kamu
keluar duit membayarnya?

Saya : Ha...Mamat! Cuba beritahu saya apa yang kamu tak puas hati?

Mamat : (diam sahaja.......)

Saya: Apa yang kamu marahkan? Apa yang membuatkan kamu memprotes? Apa salah kerusi
meja itu?

Mamat: Bukan saya yang buat, cikgu!

Saya: Kalau bukan kamu, beritahu saya, siapa yang lakukan?

Mamat : (diam sahaja.......)

Saya : Ha...Jamil! Beritahu saya kenapa kamu merosakkan kerusi meja tersebut? kamu ganti
balik, perabot-perabot itu bukan dapat free. Kerajaan keluarkan banyak wang ringgit
untuk membekalkan kerusi dan meja untuk kamu semua belajar....

Jamil : (diam sahaja......)

Saya: Kenapa semua diam? Ha.. Jamil, Jamal, ....Harun, ... Muharram, Syawal !!

Saya: Kalau saya turutkan rasa hati saya, saya te..te..tembak kamu semua!

Harun: Tembaklah!

Pelajar lain: Shhh.... diam le... jangan lawan dia!!

Saya: Kamu ingat saya tak berani,... macam mana saya dan guru-guru nak mengajar kamu
semua ni.. Tak tahu berterima kasih, tak tahu bersyukur.... Bila cikgu bercakap saja,
kamu melawan.... apa nak jadi ni!

Suara dari belakang: Kalau cikgu berani tembaklah kami!!
Pelajar lain ketawa.....

Saya : !@#$%^&*((!! (mengeluarkan senapang gajah dua laras...dan ...) Bangg!! Bangg!!

Pelajar : (Terdiam dan terkejut)

Beberapa orang pelajar rebah ke bumi, kepala berdarah, memancut-mancut... pelajar yang lain tergamam... diam dan tercengang melihat apa yang berlaku... Pelajar yang dekat dengan pelajar yang rebah tu menjerit! Pelajar-pelajar lain juga menjerit!! Tolong!!!! Tolong!!!

Saya: Ya Allah! Allah!!! Allahu Akbar !!!

Saya bingkas bangun... menggosok mata... Tak ada budak sekolah di depan, saya di bilik tidur. Rupanya saya bermimpi tadi...

Saya lihat jam dah hampir 4.00 pagi. Saya duduk di sisi katil.... Sampai terbawa ke mimpi rupanya.... Mimpi valdalism...

.

Saturday, October 31, 2009

Masya-Allah...!


MOSCOW - Majlis Mufti Rusia kelmarin sebulat suara menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan di wilayah Dagestan, selatan Rusia merupakan amaran tuhan kepada semua penduduk Islam di Rusia dan Dagestan.

Menurut kenyataan majlis itu, mengikuti perintah Allah dan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan dengan jiran, membersihkan diri daripada dosa dan mula mengamalkan prinsip kejiranan selain bermaaf-maafan menyebabkan penduduk Islam di negara tersebut akan mendapat keampunan Allah.


Menurut beberapa laporan, ibu bapa Ali yang tinggal di bandar Kizlyar di wilayah Dagestan dan kalangan imam tempatan mendakwa ayat suci al-Quran itu muncul pada hari Isnin dan Jumaat sebelum hilang dan digantikan dengan ayat baru.Salah satu ayat itu bermaksud: "Allah ialah Pencipta segala yang ada.".

Apabila ayat suci seterusnya muncul, Ali tidak dapat tidur sepanjang malam dan mengalami demam dengan kepanasan badannya tidak dapat dikurangkan walaupun dengan menggunakan ubat-ubatan kuat.Semasa dia dilahirkan, Ali didapati menghidap penyakit jantung dan berkaitan dengan otak tetapi dia sembuh sepenuhnya selepas ayat al-Quran mula muncul pada tubuhnya. - Agensi


Nota: SubhanAllah...

Jangan Berbohong



Ada satu pantun lama. Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri...Pantun ini memberi banyak pengajaran. Sesaorang yang berbohong akan terus berbohong dan akhirnya oleh kerana ’kesedapannya’ berbohong itu, ia tidak akan takut melakukan kesalahan yang lebih besar lagi seperti mencuri...

Memang sejak kecil, kita sering diajar bahawa bohong adalah perbuatan yang tidak baik atau dalam istilah yang paling mudah difahami, “bohong itu jahat”. Namun dalam kehidupan seharian, terutamanya bagi orang dewasa, bohong kadangkala menjadi suatu perkara yang biasa yang tidak dapat dielakkan. Namun, betulkah kita memang tidak dapat mengelak daripada berbohong?Mengapa berbohong?

Jawapan yang paling tepat, kerana mahu menyelamatkan diri sendiri daripada sesuatu keadaan! Yang biasa berlaku, kita tersepit dalam sesuatu situasi dan situasi itu berlaku kerana kelalaian atau kesalahan sendiri. Sekiranya kesulitan itu berlaku kerana kesilapan orang lain, tentulah kita tidak berbohong kerana kita dapat mencari pihak lain untuk diletakkan kesalahan itu.Tetapi sebaliknya apabila kesalahan itu berpunca daripada kita sendiri, maka kita terpaksa mereka-reka alasan supaya kita tidka dipersalahkan. Apabila terlalu bijak mereka-reka alasan, maka terjadilah pembohongan.

Bohong bermaksud memberitahu susuatu yang tidak benar dan kita tahu bahawa hal itu tidak benar. Atau dengan kata lain, berdusta. Dari sudut pandangan Islam, sudah tentu hukumnya haram. Jika kita memberitahu orang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu bahawa hal itu tidak benar, perbuatan itu bukanlah bohong namanya.Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Saya dengar Rasulullah SAW bersabda, “Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak..” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berpesan kepadanya, “Hanya dengan satu perkara: ‘Laa Takzib! (Jangan berbohong!).’

Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu. “Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab: Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum,” fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.”







.

Lambaian Kaabah




Sekarang ini sudah masuk musim haji. Setiap hari sekurang-kurangnya 3 buah kapalterbang berlepas dari negara kita menuju ke tanah suci di negara Arab Saudi itu. Ibadah haji adalah WAJIB bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan dan memenuhi syarat-syarat tertentu.

Menunaikan ibadat haji di sana merupakan medan penuh ujian dalam mematuhi rukun dan syarat wajib haji. Ia bukan perjalanan yang mudah bagi sesaorang muslim kerana mereka akan membawa bersamanya segala beban pengalaman hidup sama ada hidupnya dihabiskan dengan dosa dan culas kemudian hendak memburu pahala sama ada wajib atau sunat. Jika seruan haji disambut hanya kerana ikut-ikutan maka ibadah yang dilakukan hanya separuh hati dan haji mabrur yang menjadi cita-cita semua bakal haji dan hajah akan hanya akan menjadi ‘haji sangkut’ sahaja.

Bagi setiap bakal haji yang bersiap sedia menyambut panggilan haji selain mempersiapkan diri dengan segala bacaan dalam rukun haji kita harus ‘membersihkan’ diri daripada segala dosa dan memohon ampun dan maaf daripada semua pihak terutama yang terasa hati atau tersinggung oleh perbuatan dan lisan kita. Pendik kata semasa nak turun rumah nanti, bayangkan itu adalah turun yang terakhir dan tak balik-balik lagi…

Bagi kita di negara ini patut bersyukur kerana agensi yang bertanggungjawab menguruskan pemergian kita iaitu Tabung Haji memberikan kursus haji secara intensif kepada semua bakal haji. Sebab itu jamaah haji dari negara kita dapat mengerjakan ibadat itu dengan teratur dan berdisiplin.

Oleh sebab adanya ‘kouta’ yang ditetapkan oleh negara-negara Islam agar bilangan jamaah haji pada setiap tahun tidak terlalu ramai, maka tidaklah dapat sesaorang hendak pergi sesuka hati. Mereka terpaksa mendaftar dan mengikut giliran kerana kouta negara kita hanya 26,000 orang sahaja iaitu 0.1 peratus dari bilangan penduduk negara ini. Seorang kawan saya dari kampong saya yang dapat ke Makkah baru-baru ini memberi tahu saya, dia telah mendaftar untuk menunaikan ibadat haji ini sejak tahun 2000 lagi. Maknanya selepas 9 tahun baru tiba gilirannya untuk pergi. Memang pun, jika kita mendaftar untuk pergi ibadat haji di Tabung Haji sekarang, kita akan diberitahu nombor giliran yang bermula dengan nombor 2023 iaitu tahun kemungkinan kita dapat pergi.

Jadi sukalah saya nasihatkan kepada kawan-kawan yang belum pergi dan nak ke Makkah eloklah mendaftar segera dan jangan tunggu duit cukup baru nak mendaftar. Walaupun pendaftaran bermula nombor 2023, tetapi jika diizinkan Allah, sesaorang itu akan dapat juga pergi lebih awal. Berdoalah sahaja, nescaya Allah memberi jalan untuk kita… Insya-Allah kita akan menjadi muslim yang dapat melengkapkan rukun Islam kelimanya.... Amin!!



.

Friday, October 30, 2009

Tulisan Allah pada ikan toman


SEORANG peneroka di Rancangan Tanah Felda Aring Satu, Gua Musang, Mustapha Zakaria, 53, tidak sangka ikan toman bunga yang dipelihara lebih setahun lalu ada tulisan kalimah Allah di kedua-dua belah badannya.

Semasa ditemui di rumahnya baru-baru ini, beliau menyedari mengenai perkara itu apabila diberitahu oleh imam rancangan tanah berkenaan, Nordin Ariffin, yang mengunjungi rumahnya ternampak tulisan itu.

"Saya pada mulanya tidak percaya ada tulisan kalimah Allah tetapi selepas saya amati ikan yang saya pelihara di dalam akuarium itu, ternyata ia adalah benar.

"Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu dan saya tidak bercadang untuk menjualnya walaupun ada peneroka menawarkan harga RM300," katanya.

Mustapha berkata dia memperolehi ikan toman itu daripada rakannya di Kampung Rasa, Pasir Puteh, selepas rakannya memancing di sungai kampung terbabit.

Beliau berkata semasa membawa balik ikan toman itu lebih setahun lalu saiznya lebih kecil dalam sekitar setengah kilogram sahaja tetapi sekarang bertambah besar hingga mencapai lebih satu kilogram.

"Memang pada mulanya saya tidak berniat untuk memelihara lebih lama kerana sebelum ini saya pernah memelihara ikan jenis serupa dan menjualnya kepada orang lain," katanya.
Namun, tambah beliau kali ini dia akan terus menjaga dengan baik ikan toman berkenaan yang semakin bercahaya dan semakin ramai peneroka rancangan tanah terbabit datang melihatnya setiap hari.

"Menjadi hobi saya memelihara ikan dalam akuarium sejak usia remaja lagi tetapi ini adalah pertama kali ikan yang saya pelihara ditemui ada tulisan kalimah Allah.

"Ikan toman ini lebih bercahaya pada waktu malam hingga tulisan kalimah jelas kelihatan," katanya. BERNAMA