Saturday, November 5, 2011

Fakta Ibadat Haji 1432






MAKKAH: Ibadah haji yang mencapai kemuncaknya esok apabila semua jemaah berhimpun di Arafah, di barat Arab Saudi adalah perhimpunan tahunan yang terbesar di dunia.



Dianggarkan kira-kira 2.5 juta jemaah berhimpun di Makkah tahun ini – 1.8 juta dari luar negara dan 700,000 hingga 800,000 adalah jemaah tempatan.


Setiap negara Islam mempunyai kuota haji dengan 1,000 jemaah bagi setiap juta penduduk dan kumpulan haji terbesar seramai 200,000 adalah dari Indonesia.

Arab Saudi mengerahkan kira-kira 100,000 anggota keselamatan, termasuk 3,500 polis anti-rusuhan yang dilengkapi 450 kenderaan bersenjata, manakala jabatan pertahanan awam mengerahkan 22,000 anggota dan 6,000 kenderaan.

Sebanyak 1,500 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam dan di sekitar Masjidil Haram dan 29 balai polis dibuka bagi mengawal tempat suci.


Kira-kira 20,000 pekerja kesihatan diarah bersiap sedia menangani sebarang kes kecemasan dan lima helikopter penyelamat turut disediakan.

Masjidil Haram yang terletak di tengah Makkah tempat jemaah bersolat dan melakukan tawaf di Kaabah meliputi kawasan seluas 368,000 meter persegi mampu memuatkan lebih 1.5 juta orang.

Kaabah terletak di atas tapak marmar dibina daripada granit dan mempunyai pintu diperbuat daripada 280 kilogram emas tulen. Kain kiswah yang membaluti Kaabah ditukar setiap tahun. Ia dihiasi ayat al-Quran yang ditulis dengan benang emas dan perak seberat 150 kilogram.


Harian Metro



Sunday, October 30, 2011

TAKWIM PERSEKOLAHAN 2012

.





Sekolah tak dibenar pilih BI ajar matematik/sains

.

Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata pihak kementerian itu tidak akan membenarkan sekolah memilih bahasa untuk pengajaran matematik dan sains kerana ini akan menyukarkan keadaan.

Menurut Muhyiddin, menyediakan pilihan akan menimbulkan masalah dalam perancangan.

Katanya, jika sekolah dibenarkan membuat pilihan, keadaan akan menjadi kucar-kacir dalam sistem pendidikan.

Beliau yang juga timbalan perdana menteri berkata, adalah sukar bagi kementerian untuk menyediakan guru jika sekolah memilih untuk mengajar dalam bahasa Inggeris, atau dalam Bahasa Melayu.

Kumpulan pendesak yang terdiri daripada ibu bapa meminta kerajaan membenarkan sekolah memilih bahasa pengantar bagi kedua-dua mata pelajaran tersebut berikut perubahan dasar untuk kembali mengajar dalam Bahasa Malaysia.
Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) harus dihormati dan diterima baik semua pihak.

Katanya, ini kerana sistem pendidikan negara akan menjadi kucar-kacir sekiranya kerajaan memberi kebebasan kepada ibu bapa memilih bahasa pengantar untuk anak-anak mereka mempelajari sains dan matematik di sekolah.

"Sukar bagi Kementerian Pelajaran untuk merancang cara bagaimana sebuah sekolah mahukan bahasa Inggeris, manakala yang sebuah lagi mahukan bahasa Melayu dan bagaimana pula untuk menyediakan guru-gurunya.

"Pada hari ini kita tahu sesetengah guru bahasa Inggeris kita pun tidak berapa cekap...jadi kalau sesetengah sekolah nak bahasa Inggeris (tetapi) sekolah itu tidak mempunyai guru Bahasa Inggeris yang baik (maka) ia tidak akan tercapai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu VIII di ibunegara hari ini.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran memberi jaminan bahawa kepentingan penguasaan bahasa Inggeris tidak akan diketepikan setelah PPSMI dimansuhkan.

"Kita sedar mungkin sebahagian daripada mereka itu menghendaki supaya kita tidak mengetepikan bahasa Inggeris...mereka punya kebimbangan kalau perubahan dasar ini bermakna bahasa Inggeris itu tidak diberikan perhatian.

"Sebab itu kita ubah dari PPSMI kepada MBMMBI kerana kedua-duanya ada... bahasa Melayu untuk kita martabatkan dan bahasa Inggeris untuk kita perkukuhkan," katanya.

Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) sebelum ini mendesak kerajaan agar mengekalkan PPSMI dengan mendakwa bahawa ramai kalangan ibu bapa mahu supaya PPSMI terus dikekalkan atau memberi pilihan kepada ibu bapa yang masih mahu mengekalkan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris bagi anak-anak mereka.

Muhyiddin juga percaya dasar MBMMBI yang dilaksanakan mulai tahun ini bagi murid Tahun 1 melalui pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu itu akan membuahkan hasil dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Saya telah perkenalkan beberapa inisiatif, contohnya kita sudah ubah kurikulum pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah secara yang lebih menarik, lebih berkesan dan kita sudah tambah waktu pembelajarannya daripada 240 minit kepada 300 minit seminggu.

"Kemudian kita bawa masuk guru-guru penutur jati yang sudahpun ditempatkan di seluruh negara sebagai 'Master Teacher'. Pendekatan ini dilihat amat berkesan kerana mereka memantau guru-guru yang mengajar bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di seluruh negara.

"Kita juga melatih lebih ramai guru di Institut Perguruan Malaysia iaitu jumlahnya 10,000 guru yang nanti akan membimbing pembelajaran dalam bahasa Inggeris," katanya.

.

Friday, October 21, 2011

Majlis "Seraut Kaseh Tentra Batch 13"






Minggu lepas, dua orang pelajar perempuan tingkatan 5 menjemput saya untuk hadir ke majlis Jamuan Akhir Tahun Tingkatan 5. Katanya majlis itu akan diadakan pada 20 Oktober, hari Khamis. Saya kata, Insya-Allah saya akan datang! Kemudian mereka menambah, “cikgu!, temanya putih, hitam dan kelabu”

Saya pun lantas bertanya, saya kena pakai baju kelabu ke?, Jika ada pakailah cikgu!


Masa itu saya teringat sewaktu saya hadir di suatu majlis anak saya di SBPI Rawang beberapa tahun lalu. Dalam surat jemputan, meminta para hadirin memakai baju warna ungu. Temanya Ungu! Nak tahu, masa itu, saya membeli baju baru warna ungu untuk hadir!

Sekarang nak pakai baju putih, hitam atau kelabu. Hari Khamis pakai batik…. Ha, Nasib baik saya ada batik warna kelabu!

Bila sampai hari yang dinanti, saya pakai batik warna lain, bukan kelabu. Saya lihat cikgu-cikgu lain pun tak pakai baju kelabu kecuali beberapa orang sahaja yang ‘sporting’.

Yang nak saya catatkan di sini, betapa para pelajar zaman sekarang begitu mengikut ‘edaran masa’. Zaman mereka berlainan dengan zaman kita belajar dulu. Kita dulu tak terfikir pun nak buat macam itu… Sekarang ni ada bertema-tema pulak! Macam orang buat kenduri kahwin sekarang pun ada tema. Contohnya, pink. maka semuanya warna pink. Pakaian ahli keluarga warna pink, khemah warna pink, alas meja warna pink, dan bunga telor juga warna pink. Mungkin air sirapnya juga warna pink!

Anak perempuan saya yang duduk di asrama sekarang pun ada dua pasang baju khas yang serupa dengan kawan-kawannya. Satu baju ‘batch’ mereka dan satu lagi baju Jawatankuasa asrama sebab dia jadi SU Asrama. Baru-baru ini dia balik rumah bawa kain lagi suruh buat baju. “Dah pakat dengan kawan-kawan nak datang ke sekolah semasa ambil result SPM nanti pakai baju tu”….



Gambar berikut sekitar majlis Jamuan Akhir Tahun pelajar ting. 5 sekolah saya. Batch mereka batch 13 atau dinamakan juga batch ‘seven eleven’ sebab mereka masuk tahun 2007 dan keluar tahun 2011.




Lihatlah pelajar memakai baju kelabu yang seragam





Pelajar lelaki menyampaikan hadiah kepada Tn Pengetua, juga pakai baju ikut tema, 'kelabu'!



Sebahagian guru yang hadir di majlis Jamuan "Seraut Kaseh Tentra" itu. Apa pun terima kasih kerana menjamu cikgu-cikgu makan....


Wednesday, October 19, 2011

Program Selepas PMR di Al Mizan


.
Program Selepas PMR tahun ini dilaksanakan agak berlainan dengan program tahun-tahun lepas. Kita mengambil pendekatan yang lebih memberi menafaat kepada para pelajar di samping memberi pendidikan, pengalaman dan ilmu yang berguna kepada para pelajar tingkatan 3.

Kalau pada tahun-tahun yang lepas, aktiviti yang mengisi program selepas PMR banyak berupa sukan dan permainan, tetapi pada tahun ini, programnya dibahagikan kepada dua slot setiap hari. Slot pertama iaitu dari jam 7.30 pagi hingga jam 10.00 pagi, para pelajar akan berkebun, satu pendekatan yang menaikkan derajat ‘pertanian’ di kalangan para pelajar. Dari segi kesihatan, aktiviti berkebun ini juga mengeluarkan peluh di samping memberi satu pengalaman yang sukar dicari oleh anak-anak zaman sekarang ini.

Manakala slot kedua pada jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang, slot pengisian ilmu agama Thanawi (pelajaran ting. 4) disampaikan kepada para pelajar. Hasrat kita agar silibus mata pelajaran ini akan dapat dihabiskan dengan cepat pada tahun hadapan agar lebih banyak masa untuk mereka mengulangkaji pelajaran tersebut.

Setelah tiga hari saya membantu dan menyusun aktiviti berkebun ini, banyak yang saya lihat. Pertama, ramai di kalangan para pelajar ini tak pernah memegang cangkul sebelum ini. Sedangkan inilah ‘senjata’ para petani yang menghasilkan ribuan tan sayuran dan makanan di negara kita. Pada hari pertama beberapa orang pelajar mengadu kepada saya, tangannya 'melecet' kerana mencangkul semasa membina batas. Budak-budak sekarang ini rupanya tak pernah mengalami ‘kesusahan’ bekerja. Mungkin terlalu dimanjakan atau dibenarkan oleh ibubapanya asyik main ‘game’ sahaja.

Jadi rumusannya, aktiviti berkebun ini pada saya sangat mendatangkan pengajaran dan pengalaman kepada para pelajar. Insya-Allah saya masukkan gambar-gambar kebun pelajar ting. 3 di blog ini dari semasa ke semasa untuk melihat apa yang dimaksudkan ‘ jika kita berbudi kepada tanah ini…..’




Kawasan kosong ini akan menjadi 'kebun' pelajar lelaki ting. 3




Alamak, kerasnya tanah ni, boleh jadi kebun ke?





"Yang berat sama di pikul...." jadi kena gotong royong dulu bagi membuat asas bagi setiap batas sayur...




Lihatlah hasilnya, selepas hari kedua...




Mulai hari ketiga, setiap batas di'jagai' oleh dua orang pelajar. Oleh kerana ada 78 orang pelajar lelaki, maka ada 39 buah batas ke semuanya.....




Makin seronok pulak berkebun, "dah boleh tanam benih ke cikgu?


Yang ini, kebun pelajar-pelajar perempuan....


Nanti jika sayurnya dah boleh diambil, kami nak masak sendiri ...






Musim Pelajar Ponteng Sekolah Sudah Tiba.


.

Bila tiba akhir sesi persekolahan seperti sekarang ini, ramai orang mengatakan musim pelajar ponteng sekolah telah tiba. Hal ini bukan perkara baru, malah saban tahun ianya diperkatakan di sana-sini, samada di sekolah, di pejabat pelajaran, di dalam masyarakat atau di media-media utama.






Sekarang peperiksaan UPSR dan PMR telah selesai. Namun sesi persekolahan untuk tahun ini masih belum selesai. Ini bermakna, pelajar-pelajar tahun 6 dan tingkatan 3 masih perlu ke sekolah walaupun tidak ada lagi proses P&P seperti mana mereka sewaktu belum menduduki peperiksaan tempoh hari.

Sekarang menjadi satu cabaran kepada pihak sekolah untuk menyediakan aktiviti-aktiviti selepas peperiksaan agar para pelajar datang ke sekolah. Ini bukan tugas mudah. Sekarang bukan seperti zaman dahulu, para pelajar mendengar apa sahaja yang diperintahkan oleh guru-guru dan ibu bapa. Sekarang zaman telah berubah. Banyak daya tarikan di luar sekolah berbanding yang ada di dalam sekolah. Ini semua adalah factor kenapa para pelajar ponteng sekolah.

Beberapa tahun dulu, ada arahan agar peperiksaan awam dan juga peperiksaan akhir tahun di adakan di minggu-minggu terakhir sebelum sesi persekolahan tamat. Tetapi tak tahulah, mungkin kaedah itu juga ada banyak permasaalahannya yang kita tak berapa tahu. Yalah nak menguruskan sesuatu peperiksaan itu, bukan satu kerja yang mudah yang boleh dilonggokkan pada satu-satu tarikh sahaja.

Jadi tahun ini, nampaknya keadaan yang sama berulang. Selepas UPSR masih ada 2 bulan hari persekolahan. Selepas PMR masih ada lagi 5 minggu hari persekolahan. Dan selepas peperiksaan akhir tahun, masih ada tiga atau empat minggu lagi sebelum sekolah bercuti. Jadi bayangkan, inilah masanya musim ponteng sekolah. Ianya dah bermula, terutama bagi sekolah-sekolah harian. Sekolah berasrama mungkin hal ini tidak berlaku…





Gambar-gambar yang ditunjukkan ini boleh didapati di banyak laman web yang menceritakan masalah ponteng di kalangan pelajar ini…







Monday, October 17, 2011

Jam di Mekah hasil sentuhan anak Malaysia

.



MENARA Abraj Al-Bait mercu tanda utama kota Makkah. Gambar kecil, Wan Nazri Wan Aria.



MAKKAH: Rakyat Malaysia boleh berbangga melihat struktur menara jam yang tersergam indah menghadap Masjidil Haram di sini, Menara Hotel Jam Diraja Makkah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, kerana ia sebenarnya mempunyai 'sentuhan anak Malaysia'.

Wan Nazri Wan Aria, 31, adalah jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch, yang bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan pembinaan menara jam gergasi itu.
Katanya, menara itu memerlukan 'struktur keluli tidak berat' untuk menyokong jam gergasi itu, dan kejituan teknologi Jerman dengan kerjasama tenaga pakar Syarikat Premier Composite Technology dari Dubai, diperlukan untuk menyempurnakan tanggungjawab berkenaan.
Uniknya, 14 tenaga pakar Premier Composite Technology itu juga adalah daripada kumpulan anak muda Malaysia yang diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi yang memukau perhatian jutaan jemaah dari serata dunia mengerjakan haji dan umrah.

Dengan ketinggian 601 meter, ia adalah menara jam tertinggi dan terbesar dunia, mengalahkan struktur menara jam lain yang terkenal di seluruh dunia seperti Menara jam Palace of Culture and Science di Warsaw Poland, Menara jam The Big Ben di London, dan Menara jam Ann-Bradley di Milwaukee Amerika Syarikat.

“Ia tiga kali lebih besar daripada Menara Big Ben di London,” kata pemuda kelahiran Melaka, yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara pada 2002 sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman.

Nazri bersama beberapa jurutera Premier Composite Technology ditemui kumpulan media Tabung Haji yang menikmati teh tarik di Restoran Felda D'saji di Safwa Tower berhampiran Masjidil Haram di sini.
Katanya, beliau amat berbangga dapat menjadi sebahagian tenaga pakar yang melakar sejarah di Makkah, apabila dibabitkan dalam kerja membina mercu tanda terbaru yang dapat membantu jemaah mengenal pasti kedudukan Masjidil Haram dari jauh lagi, di tengah kota di Tanah Suci itu.

Jam gergasi yang dihias replika bulan sabit itu dikatakan boleh dilihat dari jarak sehingga 17 kilometer pada waktu malam dan 12 kilometer pada waktu siang, manakala cahaya daripada dua juta lampu LED yang menghiasinya berkerlipan setiap kali azan berkumandang pula boleh dilihat dari jarak sehingga 28 kilometer pada waktu malam.

Selain itu, 90 juta kaca mozek keemasan digunakan menghiasi keempat-empat permukaan jam berkenaan.

Nazri berkata, menara jam yang dilaporkan bernilai RM9 bilion itu dijangka siap sepenuhnya pada Februari depan sebelum diserahkan kepada pemaju dan kontraktornya, Kumpulan Binladin pada Mei, dan beliau bersama kumpulan pakar Premier Composite Technology akan terus berada di Makkah bagi memantau dan menyelia kerja akhir pembinaan menara jam itu.

Sementara itu, menceritakan pengalaman kerja di sebuah syarikat Jerman, Nazri berkata, beliau mengambil masa lama sebelum kepakarannya mendapat perhatian, pengiktirafan dan diberi peluang menerajui projek itu.

Rakannya, jurutera Premier Composite Technology, Armazizul Arifin pula berkata, bahan komposit adalah satu bidang baru dan tidak banyak syarikat dunia mempunyai kepakaran serta teknologi berkaitan bahan itu.

Beliau berkata, bekerja dalam satu kumpulan tenaga pakar dari negara sama menjadi satu kelebihan, dan menurutnya, beliau bersama kumpulannya turut terbabit dalam beberapa projek besar membabitkan pemasangan struktur binaan logam yang kukuh tetapi ringan itu.

Beliau bersama kumpulan rakannya juga terbabit dalam pemasangan kubah bergerak di Masjid Al-Nabawi di Madinah dan juga kubah di Masjid Putrajaya. – BERNAMA





.