Saturday, November 20, 2010

Cuti panjang bermula…


Cuti sekolah sudah pun bermula. Saya pasti ramai ibubapa yang bekerja dengan kerajaan yang sudah merancang untuk melakukan aktiviti membawa anak-anak bercuti ke destinasi tertentu. Ada ibubapa yang bekerja kerajaan ini mengumpul cuti tahunan mereka untuk tujuan melancung atau berehat di tempat-tempat peranginan.


Semasa anak-anak saya kecil dulu, saya juga sering membawa mereka ke tempat-tempat menarik di seluruh negara. Saya selalu membawa mereka ke KL untuk melawat dan melihat tempat-tempat terkenal seperti muzium, pusat sains, planetarium, KLCC, menara KL, putrajaya dan sebagainya. Pernah juga kami ke Langkawi, Port Dickson, Melaka, Johor dan negeri-negeri Pantai Timur. Namun sekarang ini bila anak-anak sudah besar, mereka sudah tidak hairan lagi dengan cuti-cuti panjang. Lagi pun cuti-cuti anak saya berbeza antara satu sama lain. Seorang cuti, yang lain tak cuti. Kalau dulu anak-anak saya sangat seronok menginap di hotel semasa lawatan itu, namun sekarang mereka dah tak hairan dengan hotel. Satu perkara yang saya lakukan apabila membawa anak-anak saya bercuti, ialah saya memastikan mereka membuat karangan atau esei mengenai lawatan tersebut. Dengan itu mereka setidak-tidaknya dapat meningkatkan penguasaai penulisan dalam BM dan BI.


Bagi ibu bapa yang bekerja kampung, rasanya tak banyak rancangan membawa anak-anak berjalan seperti ini. Namun ibubapa yang pandai akan menggunakan cuti panjang ini untuk mengajak anak-anak bekerja bersama-sama seperti menoreh getah atau ke kebun-kebun. Dengan ini anak-anak akan dibiasakan dengan kerja-kerja sendiri dan merasa betapa susahnya mencari rezeki. Saya sendiri semasa kecil dulu akan menoreh getah dan membuat pelbagai kerja apabila cuti sekolah yang panjang seperti cuti akhir tahun ini. Saya juga gembira kerana dapat menolong ayah saya bekerja di dalam masa cuti, sebab bila sudah balik ke asrama, saya tidak dapat menolong mereka lagi.


Walau apa pun, cuti selama 6 minggu ini mestilah dimenafaatkan dengan perkara-perkara yang berfaedah. Kalau tidak rugi lah anak-anak kita itu….
.

Thursday, November 18, 2010

Petikan Khutbah Jumaat berkitan ibadah korban



SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHANI SEKELIAN,

Salah satu amal ibadah yang disunatkan pada hari raya ialah melakukan korban. Waktu menyembelihnya ialah sesudah mengerjakan salat sunat Aidil Adha sehingga hari tasyrik ( 13 Zulhijjah ). Ianya boleh dilaksanakan dengan menyembelih seekor kambing untuk seorang atau seekor lembu untuk tujuh orang. Firman s.w.t. :

Maksudnya : " Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu ( wahai muhammad ) kebaikan yang banyak ( di dunia dan di akhirat ) oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur) sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya )".
( Surah al-Kausar : 1-3 )

Berdasarkan kepada Firman Allah tersebut, jamhur ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat muakad iaitu sunat yang sangat dituntut. Tarafnya lebih tinggi daripada sunat biasa, manakala nilai pahalanya pعla lebih besar. Dalam satu Hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah katanya, Sabda Rasulullah s.a.w. :

"مَنْ وَجَدَ سَعَةً ِلأَنْ يُضَحِّيَ فَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنـَا"

Maksudnya : " barangsiapa yang mempunyai kelapangan ( mampu ) untuk berkorban tatapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini ".
( riwayat Ahmad dan Ibni Majah )

Dari Hadis ini dapat dibuat kesimpulan, bahawa ibadah korban itu sangat penting sehingga hukumnya seolah-olah hampir kepada wajib, terutama kepada orang yang berkemampuan yang telah dilimpahkan dengan rezeki kepada mereka.

SIDANG JUMAAT SEKELIAN,

Jelaslah kepada kita, bahawa ibadah korban itu disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai satu latihan dan ujian bagi kaum muslimim untuk memupuk semangat berkorban. dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan oleh Allah untuk dirasai oleh golongan fakir miskin sekaligus memanifestasikan syiar Islam itu sendiri.

Sebagai kesimpulan, antara hikmat dan nilai-nilai yang terkandung dalam ibadah korban antaranya ialah :

1. Melatih dan membentuk mentaliti kaum Muslimim supaya sentiasa bersedia berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Tuhan demi kepentingan orang lain.

2. Sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah ( تَقَرُّبْ إِلى اللهَ ) sebagaimana yang sering kita ikrarkan dalam sembahyang lima waktu ; sesungguhnya solatku ،hidupku, ibadahku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allahs.w.t.

3. Menghidupkan sirah nabi Ibrahim yang kemudian disunatkan oleh Rasulullah s.a.w. menjadi syiar ibadah yang utama bagi kaum muslimim.

4. Peristiwa pengorbanan nabi Ibrahim dan nabi Ismail mengisyaratkan kepada kita bahawa jalinan hubungan kejasama antara generasi terdahulu dengan golongan terkemudian, bakal melahirkan kejayaan dan kecemerlangan ummah.

5. Dengan penyembelihan binatang korban itu, boleh dinikmati oleh diri orang yang berkorban itu sendiri, kaum keluarga jiran tetangga dan sahabat handai seluruhnya.

Wednesday, November 17, 2010

Kiswa baru untuk Kaabah


10 Zulhijjah 1431H.


Kain penutup Kaabah yang dikenali sebagai 'Kiswa' diganti baru dalam satu majlis tahunan di Makkah yang disiarkan secara langsung oleh televisyen tempatan.


Menurut sebuah akhbar tempatan di Makkah, Saudi Gazette, majlis pemasangan Kiswa yang baru itu disempurnakan oleh para petugas dari Majlis Agung yang menjaga Hal Ehwal Dua Masjid Suci.


Kiswa baru berharga SR20 juta (100 Saudi Riyal bernilai kira-kira USD26.67) setinggi 14 meter yang diperbuat dari sutera serta bersulam benang emas itu dihasilkan di sebuah kilang khas.


Ia turut merangkumi satu langsir di bahagian pintu Kaabah yang diperbuat daripada sutera khas, enam setengah meter tinggi dan tiga meter lebar, yang dihiasi dengan ayat-ayat suci Al-Quran yang disulam indah dengan benang diperbuat daripada emas dan perak.

Sunday, November 14, 2010

Ibadat Korban: Perkara yang disunnatkan ketika menyembelih

1. Menurut Mazhab Hanafi, sunat bagi orang yang hendak berkorban mengikat binatang yang akan dikorbankannya beberapa hari sebelum hari korban, untuk menunjukkan bahawa ketika bersedia untuk melakukan ibadah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah dan menzahirkan rasa bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. Di samping itu juga dimakruhkan sekiranya kita menggunakannya untuk menunggang, mengambil susunya, bulunya dan sebagainya.

2. Sunat disembelih sendiri oleh mereka yang berkorban, kerana boleh mendekatkan dirinya kepada Allah.

3. Sunat dihadapkan binatang yang akan disembelih ke arah kiblat, sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh semua imam.

4. Sunat kepada orang yang berkorban menyaksikan binatang korbannya, sepertimana Rasulullah SAW berkata kepada Fatimah:
Maksudnya;
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda;
“Bangunlah menuju tempat binatang korbanmu dan saksikanlah, kerana ia akan menyebabkan dosamu terampun bagi setiap titisan darah yang tumpah, bagi setiap satu dosa yang pernah engkau lakukan…”
(Hadis riwayat Al-Hakim, Al-Baihaqiy dan At-Tabraniy)

5. Membaca Basmalah (Bismillahirrahmani rrahim) sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir menyatakan bahawa kami telah menunaikan solat al-Adha bersama Rasulullah SAW, selepas selesai daripada solat tersebut, dibawa dihadapan baginda seeokor kibas, maka baginda menyembelihnya dan baginda membaca;
Maksudnya;
“ Dengan nama Allah dan Allah Maha besar, Ya Allah ini adalah (korban) dariku dan daripada mereka yang tidak mampu untuk berkorban dari kalangan umatku.”
(Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmizi)

6. Membaca salawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

7. Takbir (Menyebut Allahu Akbar)

8. Mendo’akan agar sembelihan tersebut diterima oleh Allah, seperti berkata “ YA Allah, ini adalah amalan yang Engkau perintahkan supaya aku kerjakan keranaMu, terimalah amalku ini)

9. Binatang yang disembelih itu hendaklah dihadapkan ke arah kiblat di atas rusuk kirinya, sekiranya binatang tersebut terdiri daripada lembu dan kambing. Sabda Nabi SAW;
Maksudnya;
Daripada Anas bahawa Rasulullah SAW telah melakukan korban dengan dua ekor kambing yang baik-baik, beliau menyembelihnya sendiri, beliau membaca bismillah dan beliau bertakbir.”
(Hadis riwayat Bukhari danMuslim)
Ketika melakukan korban Rasululah membaca;
Maksudnya;
“YA Allah terimalah kurban Muhammad, ahli kelurganya dan umatnya.”
(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

10. Memastikan bahawa binatang yang akan dikorbankan itu terdiri daripada binatang yang terbaik dari semua sudut, kerana binatang tersebut merupakan korban untuk mendapat ganjaran di akhirat.

11. Memastikan alat yang digunakan untuk menyembelih terdiri daripada alat yang tajam yang diperbuat daripada besi.

12. Menunggu sebentar selepas menyembelih sehingga binatang tersebut dipastikan benar-benar telah mati.

13. Menurut pandangan Mazhab Syafi’e, Malikiy dan sebahagian daripada Mazhab Hambali, disunatkan kepada mereka yang ingin melakukan ibadah korban, apabila masuknya hari ke sepuluh daripada bulan Zulhijjah, supaya tidak mencukur rambut dan memotong kuku sehinggalah selesai ibadah korban. Pendapat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
“ Sekiranya kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan salah seorang dari kamu mahu melakukan korban maka biarkan (jangan dipotong) rambut dan kuku-kukunya.”
(Hadis diriwayatkan oleh semua Imam kecuali Bukhari)

.

Ibadah Korban: Syarat Binatang Yang Dikorbankan

Binatang yang hendak dijadikan qurban itu, hendaklah dari binatang yang tidak cacat seperti pincang, sangat kurus, sakit, terpotong telinganya, terpotong ekornya.

Umur yang disarankan bagi binatang yang akan diqurbankan itu adalah seperti berikut;

i. Kambing atau domba yang telah berumur satu tahun lebih atau sudah berganti gigi

ii. Kambing biasa yang telah berumur dua tahun lebih.

iii. Unta yang telah berumur lima tahun lebih.

iv. Sapi, kerbau atau lembu yang telah berumur dua tahun lebih.

v. Sekiranya ternakan betina, pastikan ternakan tersebut tidak bunting ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap dianggap sah, jika selepas disembelih didapati haiwan ternakan itu sedang bunting.

Sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
Daripada Barra’ bin ‘Azib, Rasulullah SAW bersabda;
“ Empat jenis binatang yang tidak sah dijadikan qurban, yang rosak matanya, yang sakit, yang pincang dan yang kurus dan tidak mempunyai isi.”
(Hadis riwayat Muslim)

Seekor kambing hanya untuk korban satu orang, diqiaskan dengan denda meninggalkan wajib haji. Akan tetapi seekor unta, lembu, kerbau boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian menurut pandangan Syafi’iyyah.

Sabda Rasulullah SAW;
Daripada Jabir , beliau berkata :
“Kami telah menyembelih korban bersama dengan Rasulullah SAW, pada Tahun Hudhaibiyah, seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang.”
(Hadis Riwayat Muslim)


.

Keputusan UPSR 2010 Negeri Perak

Seramai 4,201 murid atau 9.99 peratus daripada 42,057 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini tahun ini mencatat prestasi cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Idris Ramli berkata, bilangan murid yang mencatatkan keputusan penuh 5A atau 7A kali ini meningkat seramai 264 orang berbanding 3,937 murid pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 1.21 peratus daripada 8.78 peratus. "Secara keseluruhannya, seramai 26,610 atau 63.27 peratus calon mencapai tahap penguasaan minimum. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.5 peratus berbanding 61.77 peratus pada 2009. "Gred Purata Negeri bagi tahun ini meningkat sebanyak 0.05 daripada 2.36 pada tahun lepas kepada 2.31 pada tahun ini," katanya ketika mengumumkan keputusan UPSR negeri ini di sini hari ini.

Menurut Mohd. Idris, dalam peperiksaan kali ini, sebanyak 701 daripada 842 sekolah kerajaan mencapai peratus menguasai melebihi 40 peratus.Katanya, antara sekolah dalam bandar yang menunjukkan pencapaian cemerlang ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Convent, SK Raja Perempuan, SK Marian Convent serta SK Cator Avenue di sini dan SK Convent Kota serta SK Perempuan Treacher Methodist di Taiping.

"Bagi kategori luar bandar pula, sekolah yang cemerlang adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Getah di Taiping, SK Balun Bidai di Kampung Gajah, SK Haji Ramli di Tanjung Piandang, SK Sungai Batang di Selekoh, SK Matang Gelugur, Matang dan SK Chegar Galah di Sauk," katanya.

Tambah beliau, dari segi prestasi mengikut mata pelajaran pula, peratus murid di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman turun sebanyak 3.66 peratus dan Bahasa Melayu Penulisan sebanyak 0.03 peratus berbanding tahun lepas.

"Di SK pula, peratus kecemerlangan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Pemahaman meningkat sebanyak 6.49 peratus tetapi Bahasa Melayu Penulisan menurun sebanyak 6.97 peratus."Bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris di SK pula, hanya 17.02 peratus murid SK meraih keputusan cemerlang dan sebanyak 20.86 peratus di SJK," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Idris memberitahu, kejayaan yang dicapai itu hasil usaha dan perancangan rapi oleh ibu bapa, murid, guru, pentadbir sekolah, masyarakat serta Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata, pelbagai program khas dari Jabatan Pelajaran negeri dan Pejabat Pelajaran daerah telah dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti guru serta memberikan motivasi kepada murid. Antaranya, pemantauan dan penyeliaan bersepadu untuk meningkatkan motivasi kepada guru dan murid, Program Guru Cemerlang dan mengkelaskan prestasi akademik sekolah mengikut warna, katanya.

.

Thursday, November 11, 2010

Ibadah Korban: Hikmah Di Sebalik Pensyariatannya

1. Mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS yang digelar sebagai ‘Abu al-Anbiyak’ (Bapa Para Nabi) yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT, namun begitu Allah menggantikannya dengan seekor kibas. Selain daripada itu sebagai mengenang dan mencontohi pengorbanan Nabi Ismail yang sanggup mengorbankan dirinya bagi mematuhi dan mentaati perintah Allah Azza wa Jalla.

2. Sebagai satu ibadah yang boleh mendekatkan seoarang hamba dengan Tuhannya, melalui bukti pengorbanan yang dilakukan. Ianya juga dianggap sebagai simbolik kesedian hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah yang tercinta. Di samping itu melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah.

3. Melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah.

4. Memulia serta mengagongkan satu syiar dari syiar-syiar agama Allah sebagai memenuhi tuntutan Allah;
Maksudnya;
“Demikianlah perintah Allah dan barangsiapa yang mengagongkan syiar-syiar agama Allah, maka (perbuatan) itu timbul dari ketaqwaan hati.”
(Surah al-Haj : ayat 32)

5. Untuk melahirkan rasa syukur di atas segala nikmat Allah yang terlalu banyak ke atas diri kita dan yang masih menghidupkan kita.

6. Sebagai penghapus kepada segala kesalahan dan dosa yang kita lakukan, sama ada melakukan kemungkaran dan maksiat atau mengabaikan suruhan Allah.

7. Untuk memberikan kegemberiaan kepada keluarga yang melakukan korban dan orang-orang lain yang mendapat bahagian daripada daging korban tersebut, di mana mereka dibenarkan untuk memakan, mensedekahkan atau menyimpan daging tersebut untuk dimakan dalam jangka masa yang lama.

8. Sentiasa mengingatkan kita, bahawa hidup ini amat memerlukan kepada pengorbanan, untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan yang hakiki dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Tanpa pengorbanan, tiada nilainya sebarang usaha yang kita lakukan.


.