Wednesday, November 10, 2010

Ibadah Korban: Hukumnya

Sebahagian ulama berpendapat bahawa korban itu hukumnya WAJIB, manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai SUNNAH.

Alasan yang mengatakan amalan korban itu adalah WAJIB berdasarkan firman Allah;
Maksudnya;
Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji dan sembelihlah (binatang) korbanmu.” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Sabda Rasulullah SAW;
Maksudnya;
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “ Barangsiapa yang mempunyai kemampuan, tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat kami.”
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Manakala mereka yang berpandangan bahawa amalan korban adalah suatu amalan SUNNAH adalah berpandukan hadis Nabi SAW;
Maksudnya;
“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunnah bagi kamu.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyatakan;
Maksudnya;
“ Diwajibkan ke atasku supaya berkorban dan tidak diwajibkan ke atas kamu.”
(Hadis riwayat Dar al-Qutniy)

Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya.

Terdapat sat Athar sahabat (hadis mengenai sahabat Nabi) bahawa Abu bakar dan Umar, pernah tidak melakukan ibadah korban, sehingga apabila ditanya oleh orang ramai mengenai tindakan mereka berdua itu, maka mereka berdua menyatakan bahawa mereka bertindak demikian kerana khuatir sekiranya mereka berkorban, orang ramai akan menganggapnya sebagai satu amalan wajib, sedangkan asalnya tidak diwajibkan ke atas mereka.
(Hadis riwayat Al-Baihaqiy dan lain-laiannya dengan sanad yang baik)

Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ibadah qurban ialah sunnah muakkad (sunnah yang amat dituntut) menurut kebanyakan mazhab fiqah. Dalam Mazhab Imam Abu Hanifah, amalan tersebut dianggap sebagai ibadah wajib. Wajib di sini ialah sesuatu yang lebih ringan daripada ‘fardhu’ dan lebih berta daripada sunnah. (Imam Abu Hanifah membezakan antara Fardhu dengan wajib, tidak sebagaimana imam-imam yang lain).
Hukum wajib di sini bermakna sesiapa yang meninggalkannya dianggap berdosa sekiranya mereka terdiri daripada golongan yang berkemampuan dan berkedudukan.

Rasulullah pernah ditanya mengenai amalan qurban tersebut, lantas baginda menjawab;
“Itulah sunnah daripada bapa kamu, Ibrahim…”
(Hadis riwayat At-Tirmizi dan Al-Hakim)

Sehubungan denga itu, ibadah korban dikira sama ada Sunnah Muakkadah atau wajib. Mazhab lain, selain Imam Abu Hanifah menghukumkan ‘makruh’ jika seseorang yang mempunyai kemampuan tetapi tidak melakukan ibadah korban.

Menurut Mazhab Imam As-Syafi’ie, hukumnya adalah ‘Sunnah muakkadah’ iaitu sebagai ibadah tambahan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika baginda masih hidup. Baginda dilaporkan pernah berkorban dengan dua ekor biri-biri yang besar bagi dirinya, keluarganya dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu untuk berkorban.

Namun begitu kebanyakan ulamak berpendapat ibadah korban adalah amalan yang sunnah sahaja. Seseorang itu tidak akan dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah melakukan ibadah korban seumur hidupnya. Jika dia tidak berkorban, lantaran tidak berkemampuan, anggaplah bahawa nabi telah berkorban bagi pihak umatnya.

Berpandukan kepada amalan korban yang dilakukan oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya, keluarga dan umatnya, maka para ulamak berpendapat adalah memadai jika seseorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.

Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih korban dengan dua ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’ dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibas tersebut.

.

Berita baik

Berita baik tentang cuti tambahan hari raya aidil adha 1431H

Sila klik di sini untuk mendapat maklumat apa berita yang baik itu….


http://ppdbatangpadang.edu.my/b-info.php?info=188


Sila muat turun di baris terakhir laman itu untuk melihat salinan surat JPN dan KPM berkaitan cuti tambahan di atas.



.

Tuesday, November 9, 2010

Ibadah korban : Pengertian dan Dalil

PENGERTIAN KORBAN

(1) Bahasa :
Nama yang diberikan terhadap apa yang dikorbankan atau apa yang disembelih pada Hari-Hari Raya Adha.

(2) Syarak:
Menyembelih haiwan yang tertentu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dalam waktu yang khusus (hari-hari Nahar). Ibadah ini telah disyariatkan pada Tahun Kedua Hijriyah sepertimana juga disyariatkan ibadah zakat dan Solat Dua Hari Raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dan telah dipastikan syariat mengenai berdasarkan al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulamak.

DALIL-DALIL MENGENAI KORBAN

(1) Dalil Al-Quran
Maksudnya;
Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu dirikanlah solat kerana Tuhanmu ( pada Hari Raya Haji) dan sembelihlah (binatang) korbanmu (sebagai ibadah dan mensyukuri nikmat Tuhanmu).” (Surah al-Kauthar : ayat 1-2)

Maksudnya ;
“Dan telah Kami (Allah) jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagai syiar agama Allah. Kamu banyak memperoleh kebaikan daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya.” ( Al-Haj ; 36)

(2) Dalil Hadis Mengenai Kelebihan Korban
Banyak hadis yang membicarakan mengenai ibadah korban, antaranya hadis daripada A’isyah, Rasulullah bersabda;
Maksudnya;
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari Aidil Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)

Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?”
Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu Ibrahim.”
Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?”
Baginda menjawab : “ Tiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.”
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.”
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)


(3) Dalil Ijma’ Ulamak
Para ulamak Islam telah bersepakat mengenai pensyariatan korban berdasarkan ayat dan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa amalan korban merupakan amalan yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Aidil Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah, sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Korban juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan firman Allah;
Maksudnya;
“ Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibas) yang besar.”
(Surah As-Soffaat : ayat 107)


.

Sunday, November 7, 2010

Tip Mendidik Anak Cara Rasulullah

Bila berbicara tentang peranan kita sebagai ibu bapa... ramai mempunyai pandangan dan pendapat sendiri. Ada yang berpendapat kita perlu sangat tegas kepada anak sehingga dengan menjegilkan mata pun sudah cukup membuat anak menikus. Ada pula yang merasakan pendekatan secara lembut dan reasoning lebih berkesan.

Apa pun pendapat yang diberikan ada panduan yang lebih baik iaitu berpandukan langkah yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w yang menyatakan ada empat tahap mendidik anak iaitu:

TAHAP 1 - Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (~6 tahun). Hendaklah kita membelai mereka dengan penuh kasih sayang dan banyak bergurau dengan mereka.

TAHAP 2 - Anak berumur 7 tahun sehingga baligh (~14 tahun). Hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, displin dan beri tanggungjawab.

TAHAP 3 - Anak berusia 15 tahun hingga dewasa (~21 tahun). Hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat.

TAHAP 4 - Anak berusia lebih daripada 21 tahun. Hendaklah para ibu bapa memberi mereka kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Begitulah pendekatan yang digunakan oleh junjungan besar kita. Malah kita semua sedia maklum bahawa Rasulullah s.a.w merupakan seorang insan yang sangat-sangat kasihkan kanak-kanak.

Kesimpulannya... lengkapkan diri kita dengan ilmu untuk menjadi ibu bapa yang terbaik untuk "amanah Allah" yang telah dikurniakan kepada kita. Ia boleh ditimba melalui buku-buku, kursus keibu bapaan, belajar dari pengalaman orang terdahulu dan pelbagai sumber lain. Peningkatan ilmu ini perlu sebagai pelaburan anda untuk melindungi dan menyuburkan aset paling berharga... iaitu anak anda.

Yakin dan percayalah... anak yang cemerlang lahir dari ibu bapa yang cemerlang juga, insyaAllah.

Aidiladha Disambut Pada Rabu, 17 November


KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Korban atau Aidiladha pada hari Rabu, 17 November ini bersamaan 10 Zulhijjah 1431 Hijrah.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah mengumumkan tarikh itu hari ini bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, setelah diperkenankan oleh Raja-Raja Melayu.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini diisytiharkan bahawa 1 Zulhijah 1431 Hijrah ialah pada 8 Nov 2010 Masehi.

"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban (10 Zulhijjah) bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Rabu, 17 Nov 2010 Masihi," katanya.
Pengumuman itu dibuat menerusi siaran radio dan televisyen. - BERNAMA
.

Wednesday, November 3, 2010

Hujan 2 jam di Makkah


Kekerapan hujan dan banjir di Malaysia menjadi perkara biasa tetapi di Makkah hujan merupakan perkara luar biasa dan dianggap rahmat Allah kerana bumi ambia ini jarang sekali menerima hujan.

Cuaca panas di tanah suci Makkah yang mencecah melebihi 41 darjah Celsius sejak dua minggu lalu dikejutkan dengan hujan lebat hampir dua jam petang semalam.

Hujan bermula kira-kira 5.30 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia) menyebabkan air melimpahi jalan-jalan di sekitar ibu kota Makkah, Aziziah, Syisya dan beberapa kawasan persekitarannya.

Pasukan media Lembaga Tabung Haji (TH) yang dalam perjalanan ke Syisya kira-kira empat kilometer dari pusat bandar Makkah menempoh perjalanan dalam hujan lebat disertai petir petang semalam.

Aliran trafik Kota Makkah yang sentiasa sibuk dengan kehadiran jutaan jemaah haji dari seluruh dunia bagaimanapun tidak terjejas kecuali jemaah-jemaah yang hendak menunaikan solat di Masjidil Haram kelihatan terkandas.

Kota Makkah berdebu berikutan pembangunan pesat sekarang hilang sementara, disebabkan hujan tersebut dan cuaca kembali panas seperti biasa hari ini. - Bernama

.

Tuesday, November 2, 2010

Banyaknya akronim...

Dalam suatu mesyuarat di PPD pada bulan lepas, saya mendengar taklimat semasa berkaitan pengurusan sekolah dan saya juga menerima kertas edaran berkaitan taklimat yang disampaikan itu. Bila saya melihat nota yang saya catat dan juga kertas edaran tersebut, saya terfikir betapa banyaknya akronim yang di pakai di JPN, PPD dan sekolah sekarang ini.

Tahukah apakah akronim itu. Dalam Kamus Dewan Edisi 4, akronim bererti kependekan yg terbentuk drpd ga­bung­an huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yg boleh diujarkan sbg satu perkataan (misalnya RISDA, MARA); mengakronimkan maknanya menjadikan bentuk ak­ronim; pengakroniman ialah perihal atau proses mem­ben­tuk akronim.

Kemudian saya terfikir juga, jikalau kertas edaran seperti yang saya terima itu disampaikan kepada bekas-bekas guru yang telah bersara 5 – 6 tahun dulu, rasanya mereka tak dapat memahami banyak akronim yang dicatatkan di situ….. begitulah dinamiknya sistem pendidikan kita sekarang ini..

Saya catatkan di sini akronim-akronim yang saya dapat dari kertas edaran itu dan dari nota saya.

KOT = Kejohanan Olahraga Tahunan
NILAM = Nilai Ilmu Amalan Membaca
JU = Jurulatih Utama
GC = Guru Cemerlang
WAJA = Wajib Jawab
JUSA = Jawab Untuk Skor ’A’
LADAP = Latihan dalam Perkhidmatan
SCAND = Strategic Change And New Deal
PASAK= Peenggerak Amalan Strategi Asas Kualiti
2T2T= 2 Tahun 2 Tahap
MTQ= Majlis Tadarus Al Quran
SPPICTS= Sistem Pengurusan Pemantauan ICT Sekolah
SSQS= Smart School Qualitification Standard
KPI= Key Performance Indicator
MINDA= Merealisasikan Intipati New Deal Akademik
SISPA= Sistem Pengurusan Akademik
KIT= Kepimpinan Instruksional dan Transformasional
LINUS= Program Literasi dan Numerasi
SIP= School Improvement Programme
EXAMO= Exam oriented
CO= Cooperative Organization
CINTA= Program “Cemerlang, Iman, Takwa”
EWS = Early Warning System
SBT= Sekolah Berprestasi Tinggi


Mungkin ada banyak lagi…. Tambahlah sendiri….