Friday, July 16, 2010

Jalan LRT.............

Dari Jabal Rahmah bas kami melalui jalan menuju ke Muzdalifah dan terus ke Mina. Sebagaimana kita tahu Muzdalifah dan Mina adalah nama-nama tempat yang penting yang merupakan sebahagian daripada tempat-tempat melaksanakan Wajib Haji bagi para jemaah di musim haji.

Muzdalifah ialah tempat di mana jemaah haji kena bermalam walaupun sekejap selepas separuh malam setelah selesai mengerjakan wukuf di padang arafah. Di Muzdalifah para jemaah haji biasanya akan mengutip anak-anak batu bagi kegunaan melontar di Jamrah-jamrah. Manakala Mina pula ialah tempat di mana para jemaah haji wajib bermalam pada malam-malam hari ke-11, ke-12 dan ke-13 Zulhijjah. Di Minalah letaknya tempat melontar yang tiga itu, iaitu Jamratul-Ula, Jamratul-Wusta dan Jumratul-Aqabah.

Di beberapa tempat dalam perjalanan itu, kami bertemu dengan kawasan pembinaan jalan LRT. Ini satu lagi projek raksasa yang sedang dilaksanakan di tanah suci Makkah. Difahamkan oleh pemandu pelancung kami, jalan-jalan LRT ini akan siap setahun dua lagi. Ia menghubungkan kota Makkah dengan tempat-tempat seperti padang Arafah, Muzdalifah dan Mina. Insya-Allah jika siap nanti, tentulah akan memudahkan pada jemaah haji untuk pergi ke tempat-tempat berkenaan. Tidaklah perlu lagi menggunakan bas seperti sekarang ini. Mungkin perkhidmatan bas yang begitu banyak seperti sekarang ini akan ditamatkan kerana semua jemaah haji akan menggunakan LRT.



Jalan-jalan LRT sedang dalam pembinaan


Di Mina, sekarang ini, khemah-khemah tetap yang beribu banyaknya sudah siap dipasang dan tidak dibongkar di luar musim haji. Berbeza dengan padang arafah yang khemah-khemahnya akan didirikan oleh pihak berkuasa apabila sampai musim haji sahaja. Lepas itu semua khemah ini akan dibongkar dan tahun hadapan dipasang lagi. Khemah-khemah di Mina yang canggih ini biasanya siap berhawa dingin. Dan di kawasan khemah-khemah ini juga didirikan bangunan-bangunan tandas dan bilik-bilik air yang lebih elok secara tetap. Begitulah mudahnya sekarang ini. .


Lihatlah betapa canggihnya khemah-khemah yang disediakan di Mina untuk para jemaah haji di musim haji,
.

Gambar dari dalam bas ini menunjukkan pemandangan di sekitar Mina yang luas itu. Terowong yang jauh kelihatan itu ialah terowong Muassim, yang pernah meragut nyawa ratusan para jemaah haji satu ketika dahulu kerana jemaah haji ”bertembung” antara yang nak pergi melontar di jamrah dengan yang telah selesai melontar.

Hotel-hotel baru juga di bina di Mina bagi kemudahan jemaah haji untuk mabit (bermalam) iaitu salah satu wajib haji...

Mengakhiri lawatan, kami di bawa ke Jaaranah untuk miqat umrah bagi sesiapa yang nak mengerjakan umrah lagi. . Dalam perjalanan itu kami melalui satu tempat bernama Lembah Hunain. Pemandu pelancung kami menceritakan sejarah Lembah Hunain iaitu peperangan Hunain di zaman Rasullullah SAW dan asal usul kenapa masjid di Jaaranah ini menjadi miqat untuk mengerjakan umrah.

Peperangan Hunain berlaku pada bulan Syawal tahun kelapan Hijrah. Dalam peperangan ini, bilangan tentera Islam sangat ramai iaitu 10,000 orang telah memerangi dua puak kecil penentang Islam. Malangnya, kerana bilangan tentera yang ramai itu telah menjadikan mereka berasa “kuat” sehingga lupa pada pertolongan Allah SWT.
Allah menguji tentera Islam dengan tipu helah musuh sehingga berlaku kacau bilau. Ramai tentera Islam melarikan diri. Mereka terpaksa berundur dan mengatur semula strategi sehingga akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada tentera Islam. Begitulah Allah sentiasa “menguji” sahabat-sahabat pada masa perkembangan Islam dahulu.....

Selepas memenangi peperangan tersebut, RasulUllah SAW dan para sahabat berangkat ke Jaaranah untuk berniat umrah kemudian berangkat ke Masjidilharam untuk melakukan tawaf dan saie. Itulah permulaanya bagaimana masjid Jaaranah menjadi salah satu miqat untuk mengerjakan umrah sebagaimana yang telah diajarkan oleh baginda RasulUllah SAW.
Kami sungguh terharu mendengar kisah tersebut, Terfikir di fikiran saya betapa susahnya RasulUllah dan para sahabat dulu mengerjakan umrah pada masa itu dengan berkenderaankan unta atau berjalan kaki sahaja, berbanding kita di zaman sekarang yang menaiki bas berhawa dingin...... Semoga amalan kita diterima dan mendapat keredhaan jua dari Allah SWT , Amin.....

Lembah Hunain sekarang ini telah menjadi kawasan penempatan penduduk-penduduk Arab ....
WaLlahu aklam...



..

Monday, July 12, 2010

Lawatan Di Luar Makkah

Pada pagi Sabtu, 12 Jun 2010, pakej umrah kami membawa kami melawat ke tempat-tempat penting di persekitaran bandaraya Makkah. Mula-mula kami di bawa melawat Bukit Thur. Kami tidaklah naik bukit ini kerana bukit ini memang agak tinggi juga, cuma kami di bawa ke kaki bukit tersebut untuk melihat dan mengambil gambar sahaja. Walaupun ada kumpulan orang ramai menaiki bukit tersebut dari sebelah yang berlainan yang kami nampak jauh nun di atas bukit itu.

Apakah pentingnya bukit Thur ini di dalam perkembangan Islam? Kalau masih ingat, di bukit inilah Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar As Siddiq “bersembunyi” sebagai satu strategi menghadapi kafir Quraish sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah. Yang mengkagumkan, bukit ini sebenarnya bukanlah terletak di perjalanan yang biasa ke Madinah, tetapi ia menghala ke ‘belakang’ Makkah. Tetapi itu lah strategi Nabi SAW memperdayakan kaum kafir Quraish ketika itu. Apabila saya melihat bukit ini, terfikir betapa susahnya Nabi dan para sahabat berjuang menegakkan Agama Allah pada masa itu… Terfikir juga saya bagaimana anakanda perempuan Saidina Abu Bakar yang bernama Asmak berulang-alik menaiki bukit kering kontang yang tinggi ini untuk menghantar makanan kepada Junjungan RasulUllah SAW dan bapanya pada masa penghijrahan itu. Masya-Allah!!!

Satu sudut yang menarik yang memperlihatkan bukit Thur…..

Yang ni pula, dua orang kenalan saya semasa lawatan ini, seorang bernama Habibullah dan seorang lagi bernama Ismail. Kedua-duanya berasal dari Indonesia dan menuntut di ”Pasentren” di Makkah ini.

Kami seterusnya pergi melawat Padang Arafah dan Jabal Rahmah. Di dalam perjalanan kami melalui kawasan Universiti Ummul Quraa yang terkenal d Saudi Arabia itu. Memang kawasan universiti ini sangat luas. Sebenarnya universiti ini telah banyak melahirkan para ilmuwan Islam yang telah menyumbang terhadap perkembangan Islam di seluruh dunia.



Pemandangan dari luar Universiti Ummul Quraa

Kalau di musim haji, padang arafah merupakan tempat yang paling sibuk dan dihadiri oleh jutaan manusia yang melaksanakan rukun haji iaitu wukuf di padang arafah , tetapi di luar musim haji ia merupakan tempat yang sunyi dan tidak berpenghuni. Padang arafah ini juga telah ditanam dengan banyak pokok-pokok dan kalau diperhatikan semacam dah bukan padang pasir seperti dahulu... Kebanyakan pokok yang ditanam dan boleh hidup di sini ialah pokok seperti pokok ”semambu”. Nama pokok-pokok ini tak pula saya tahu....

Lihat gambar padang arafah yang saya ambil dari dalam bas.....

Destinasi kami ialah Jabal Rahmah atau bukit Rahmah yang bererti bukit penuh rahmat. Ini mungkin kerana bukit ini selalu dikunjungi pelawat-pelawat. Bukit ini juga mempunyai sejarah penting dalam Islam. Selain menjadi sebahagian tempat wukuf dalam rukun haji, dikisahkan, di bukit inilah Nabi Adam dan Siti Hawa bertemu semula setelah ratusan tahun dikeluarkan dari syurga ke bumi. Konon ceritanya, tempat ini merupakan tempat terbaik untuk berdoa kepada Allah SWT meminta jodoh, minta cinta bagi orang berkasih, atau kebahagiaan rumah tangga bagi pasangan suami isteri. . Namun itu hanya pendapat sesetengah orang sahaja. Tiada Nas yang jelas mengenainya.... Wallahualam..

Para pengunjung menaiki bukit Jabal Rahmah. Tak pasti pula mereka ini bersungguh-sungguh naik ke bukit kerana nak berdoa mencari jodoh atau hanya untuk bergambar kenangan.

Di kaki bukit Rahmah ini terdapat ramai peniaga yang berniaga kecil-kecilan ala pasar malam di negara kita. Terdapat pula orang arab yang buat bisnes dengan menyediakan unta yang ”dihias” yang boleh dinaiki bagi sesiapa yang teringin menaiki unta...Demikian juga ada pemuda-pemuda Arab yang kerjanya mengambil gambar ”siap segera” untuk kepada pengunjung-pengunjung yang berminat. Mereka biasanya berpakat dengan tuan punya ”unta berhias”. Sesiapa yang nak merasa naik unta, mereka akan mengambil gambarnya. Jika kita layan sangat mereka, mereka akan ambil gambar untuk banyak posing yang akhirnya pengunjung itu terpaksa membayar dengan kos yang banyak kerana harga gambarnya 10 riyal sekeping gambar. Jadi, eloklah berhati-hati dan menolak dengan ”tegas” jika budak Arab itu nak ambil gambar kita.

....












Thursday, July 8, 2010

Bangunan Tertinggi ….

Semasa saya hadir ke sini dulu, bangunan hotel di sekeliling Masjidil Haram ini yang tinggi rasanya ialah Hotel Darul Tauhid yang terletak bersebelahan Masjid Tambahan. Bangunan tinggi yang lain ialah ‘King Palace’ yang terletak di Jabal Qabis dan mungkin ada beberapa hotel lain yang saya tak tahu namanya. Tetapi pada hari ini bangunan-bangunan pencakar langit di sekeliling masjid ini sudah sangat banyak. Malahan hotel Darul Tauhid itu sudah jauh lebih rendah dibandingkan bangunan-bangunan tinggi yang baru dibina.


Sebahagian hotel di kota Makkah..


Dan yang menarik sekali, sekarang ini terdapat sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan yang dikatakan akan menjadi bangunan ’paling tinggi di dunia”. Bangunan ini terletak bersebelahan Hotel Al Safwa yang mewah itu. Bangunan paling tinggi itu dinamakan ”Zam-zam Tower” yang bila siap nanti akan mengalahkan bangunan tertinggi di dunia sekarang ini iaitu ”The Burj Dubai” di U.A.E.

Saya tak pasti berapa ketinggiannya, tetapi memang sangat tinggi dan ianya sebuah bangunan yang besar, tidak seperti menara yang biasanya kecil dan halus tetapi tinggi. Di bahagian atasnya di letakkan sebuah jam yang sangat besar, yang mungkin pula akan menjadi jam paling besar di dunia. Saya rasa diameter bulatan jam ini sahaja setinggi 5 atau 6 tingkat bangunan.

Semasa kami melakukan miqat umrah di Taneem yang jaraknya 9 km dari masjidil haram, bangunan Zam-zam Tawer ini dapat dilihat dengan mata kasar. Begitu juga bangunan ini jelas kelihatan dari Muzdalifah tempat di mana jemaah haji akan bermalam selepas wukuf di Arafah pada musim haji. Jarak Muzdalifah dari Masjidil Haram ialah 8 km. Bayangkan lah!

Lihat betapa tingginya bangunan ini dibanding dengan bangunan hotel yang lain. Manara Masjidil Haram juga dilihat jauh ke bawah ...


Apabila saya melihat bangunan itu dari dalam masjid, saya terfikir, mungkin suatu masa nanti akan ada manusia yang datang ke Makkah bukan kerana beribadat di Masjidil Haram, tetapi kerana menziarahi atau melancung melihat bangunan tertinggi di dunia ini sahaja. Adakah perbuatan macam ini dibolehkan dalam Islam?.

Saya juga terfikir, mungkinkah orang-orang kafir hanya melihat bangunan tertinggi di dunia ini melalui gambar di media atau TV sahaja dan mereka tidak datang ke situ, kerana mengikut kebanyakan mazhab di dalam Islam, orang-orang kafir dilarang memasuki tanam haram di kota Makkah ini. Oleh itu orang-orang kafir juga tidak boleh ke bangunan paling tinggi itu....

Adakah kerajaan Arab Saudi akan melaksanakan larangan itu di zaman sekarang ini..
Namun kita sebgai umat Islam mesti yakin, walau apa pun yang berlaku, Allah SWT akan memelihara kesucian Masjidil Haram dan BaituLlah ini...

Bangunan Zam-zam Tower di lihat dari dalam masjid.... jam besar yang sangat besar itu masih dalam pembinaan....
.

Wednesday, July 7, 2010

Kaabah dan Masjidil Haram....

Dalam suatu hadis ada menyatakan yang maksudnya, ”Ada 5 perkara yang kalau kita lihat sahaja kita akan dapat pahala, (1) melihat kaabah, (2) melihat Al-Quran (3) melihat kedua ibu bapa (4) melihat air zam-zam, dan (5) melihat orang alim..”

Jadi sesiapa sahaja, yang datang ke Masjidil Haram ini seharusnya menggunakan kesempatan ini melihat sepuas-puasnya Kaabah sambil memikirkan kebesaran Allah SWT. Memang kalau kita melihat kaabah ini dengan penuh khusuk dan memikirkan keagungan Allah Yang Maha Kuasa, kita akan menitiskan air mata... Kita akan merasakan betapa kecilnya kita sebagai makhluk, tambahan pula jika banyak melakukan kesalahan-kesalahan atau dosa, sama ada dosa-dosa kecil, apa lagi dosa-dosa besar. Kata ustaz pakej umrah yang mengajar di hotel kami, semasa melihat kaabah, jangan pula melihat gelagat orang ramai sahaja di keliling kaabah, itu tak dapat pahala...






Setiap kali datang ke masjid ini, kami pasti akan melihat kaabah sepuas-puasnya... sama ada kami di tingkat bawah, di tingkat dua atau di bahagian tengah depan kaabah.

Sesungguhnya Masjidil Haram sebuah masjid yang sangat besar yang dapat menampung jutaan para jemaah. Lihatlah gambar para jemaah pada waktu puncak semasa mengerjakan haji.... Di mana-mana sahaja terdapat umat manusia, di dalam, di luar, di jalan-jalan hingga di antara bangunan-bangunan.... Allahu Akbar!




Kedua-dua gambar ini saya scan dari buku yang beli di Makkah tempuh hari.... (klik 2X pada gambar untuk lebih jelas)

Satu lagi, oleh kerana besarnya masjid ini, jika kita masuk ke masjid ini kita boleh tersesat. Malahan memang ramai para jemaah yang sesat di dalam masjid ini dan tak boleh keluar.... Antara sebabnya, di mana-mana di dalam masjid ini kelihatan agak sama sahaja... Oleh itu bagi orang yang biasa, mereka akan memerhatikan arah penjuru kaabah yang mana mereka masuk tadi... maka senanglah untuk mereka mencari jalan keluar...

Bagi setengah-setengah orang pula, mereka akan mengingat nombor pintu masuk ke masjid. Tahukah kome ada berapa pintu di masjid ini? Sebenarnya sekarang ini ada 95 buah pintu di masjidil haram. Pintu-pintu dilabel nombor 1, 2, 3 hinggalah 95. Ada juga pintu yang diberi nama khas seperti pintu King Abdul Aziz, pintu Assalam, Pintu Safa, pintu Jibril, Pintu Ismail, Pintu Marwah dan sebagainya.. Jadi jika sesaorang itu masuk melalui pintu nombor 5 katakan, mereka boleh keluar melalui pintu 5 juga. Dengan itu senanglah mencari jalan balik menuju ke hotel penginapan.....

Wallahu aklam...

Tuesday, July 6, 2010

Banyaknya perubahan…

Di Saudi Arabia sekarang ini, masa hari siang lebih panjang daripada masa hari malam. Waktu Subuh (naik fajar) masuk pada sekitar jam 4.00 pagi manakala waktu Maghrib (matahari terbenam) pada jam 7.20 petang. Berbeza dengan kita di Malaysia, waktu Subuh pada jam 5.50 pagi dan Maghrib pula 7.30 petang. Suhu di Kota Makkah agak panas. Pada waktu subuh sahaja suhunya sekitar 36o-37oC manakala pada waktu zohor (tengah hari) suhunya menjangkau 44oC. Kita senang melihat suhu di Makkah ini kerana ada di pamerkan di beberapa tempat di luar Masjidil Haram ini.


Kelihatan luar Masjidil Haram menghala pintu 1 atau pintu Malik Abdul Aziz.

Banyak terdapat perubahan yang saya perhatikan di Masjidil Haram ini berbanding semasa saya datang 7 tahun lalu. Perubahan-perubahan ini, terdapat sama ada di dalam masjid mahu pun di luar masjid. Di dalam masjid umpamanya, tangga besar ke telaga zam-zam sudah tidak ada lagi. Mungkin ianya ditutup bagi meluaskan kawasan tawaf di sekeliling kaabah. Kalau dulu, di tangga itulah berkumpulnya ramai jemaah, ada yang berdiri dan berdoa sambil menghadap ke pintu kaabah sehingga menghalang laluan jemaah lain. Begitu juga, sekarang ini telah disediakan ‘trek’ untuk jemaah berkerusi roda melakukan tawaf di tingkat dua masjid. Pada masa dulu, tidak ada trek seperti ini menyebabkan orang yang tawaf dengan kerusi roda ini mudah melanggar orang yang sedang solat.

Kelihatan pagar khas untuk trek kerusi roda di tingkat dua.

Perubahan yang lain lagi ialah di tempat Saei. Kalau dulu cuma ada tiga lapis atau tiga tingkat trek melakukan saei, sekarang telah di tambah menjadi lima lapis atau lima tingkat. Tambahan itu ialah antara tingkat dua dengan tingkat tiga dan satu lagi ialah tambahan di tingkat paling atas. Tambahan ini dibuat untuk menampung para jemaah melakukan saie, lebih-lebih lagi di musim haji.

Tempat saie di Bukit Safa. Lihatlah batu-batu dibukit itu telah dipagar bagi menghalang para jemaah berkumpul di situ.

Kelihatan Tempat Saie tingkat 1, tingkat 2 dan tingkat 3. Di sini tempat pusingannya di bukit Safa...

Selain itu banyak lagi perubahan-perubahan akan berlaku kepada Masjidil Haram ini. Tak dapat nak saya ceritakan kerana saya sendiri tak pasti projek yang sedang pesat itu untuk apa. Namun apa yang pasti. kerja-kerja pembinaan di masjid ini sangat giat dijalankan sepanjang siang dan malam. Pekerja-pekerjanya hanya berhenti bekerja waktu solat sahaja.....



Kome lihat lah sahaja gambar-gambar kerja pembinaan di atas........

.


Monday, July 5, 2010

Sampai di Makkah ….


Selepas 3 hari 3 malam di Madinah al Munawwarah, kami berangkat ke Tanah Suci Makkah al Mukarramah. Sebelum berangkat, kami melakukan ziarah wida’ terhadap baginda RasuluLlah SAW. Kami berdoa sebagaimana diajarkan di dalam buku panduan umrah, antaranya, “Ya Allah, berikanlah selawat kepada Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarganya dan jangan Engkau menjadikan kunjungan ini peghabisan bagi kami dengan Nabi-Mu, hapuskanlah segala dosa kami dengan menziarahinya dan bekalilah kami keselamatan dalam perjalanan kami serta mudahkanlah kepulangan kami menuju ahli keluarga kami wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dari segala yang pengasih.”

Perjalanan dengan bas dari Madinah Al Munawwarah ke Makkah al Mukarramah mengambil masa kira-kira 6 jam. Kami semua berpakaian Ihram dan melakukan niat umrah di masjid Bir Ali. Kami sampai di kota Makkah kira-kira jam 9 malam. Lampu-lampu yang menyinari bandar raya ini sangat menakjubkan kami. Semua yang ada di dalam bas kelihatan begitu takjub dengan keindahan Masjidil Haram yang kami lihat dari jauh. Bagi yang belum pernah sampai ke kota ini, semua nya menunggu dengan saspen bagaimana rupa BaitulLah yang selama hari ini melihatnya dalam gambar atau TV sahaja.

Seperti di Madinah, hotel penginapan kami tidak jauh dari masjidil Haram. Hanya kira-kira 200 meter sahaja. Ianya bertentangan dengan Istana Raja di Ijyad Street. Selepas key-in di hotel dan berehat beberapa ketika, kami terus pergi ke Masjidil Haram. Urusetia pakej umrah kami membahagi-bahagikan kami kepada beberapa kumpulan supaya mudah melakukan tawaf dan saie. Selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jamak Taakhir, saya bersama ahli keluarga dan beberapa kenalan yang lain pun melakukan tawaf umrah. Saya menetapkan semua orang membuat tawaf secara sendirian, sesiapa yang selesai dulu, berkumpul di satu tempat.yang sama (tiang masjid yang ada label berlampu hijau) sebelum kita pergi melakukan saie pula.

Malam itu kami selesai saie dan tahallul pada jam 2.00 pagi. Nak balik ke hotel badan masih penat, apa lagi waktu subuh masuk jam 4.00 pagi. Jadi kami buat keputusan untuk duduk sahaja di masjid menunggu solat subuh.....
.

Thursday, July 1, 2010

Ziarah Luar.....


Hari kedua di Madinah, pihak syarikat pakej umrah membawa kami melawat tempat-tempat penting di luar kota Madinah dalam program”ziarah luar”. Kami seramai 34 orang menaiki bas khas dengan disediakan pemandu pelancungnya.

Tempat pertama lawatan kami ialah Masjid Quba. Sebagaimana kita sedia maklum, masjid Quba ini adalah masjid yang pertama dibina oleh RasulUllah SAW iaitu semasa baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah.








Hampir kesemua pengunjung-pengunjung Madinah akan menziarahi dan bersolat sunat di masjid Quba ini kerana kelebihan bersolat di masjid ini ada di nyatakan di dalam satu Hadis RasulUllah SAW. Malahan para sahabat RasulUllah SAW dulu juga sering ke masjid ini kerana mengikut tuntutan Hadis tersebut.

Papan kenyataan yang menuliskan Hadis RasulUllah SAW di atas ada di dinding masjid ini. Maksud Hadis itu ialah, ”Barang siapa membersihkan diri (berwuduk) di rumahnya, kemudian pergi ke masjid Quba lalu solat dua rokaat, maka baginya mendapat seperti pahala satu umrah” – hadis riwayat Ibnu Majah.

Kemudian kami singgah ke ladang korma yang terletak di dalam perjalanan ke Jabal Uhud. Rupanya di Madinah sekarang belum lagi musim buah kurma masak. Lihatlah gambar buah-buah korma yang ada di sini masih hijau lagi... Kata pemandu pelancung kami, semua buah korma yang ada dijual di sini pada masa sekarang adalah stok lama yakni buah-buahan pada musim yang lepas, yang disimpan atau disejukbekukan....



Kunjungan kami seterusnya ialah menziarahi Jabal Uhud, tempat di mana para Shuhada Peperangan Uhud disemadikan. Antaranya yang termasyhur ialah bapa saudara Nabi SAW iaitu Saidina Hamzah bin Abdul Muthalib. Peperangan Uhud yang berlaku pada tahun ke-3 hijrah itu, dikenali di dalam sejarah Islam sebagai suatu peperangan yang banyak memberi pengajaran kepada orang-orang yang beriman. Gugurnya 70 orang shuhada di dalam peperangan itu memberi pengajaran yang amat besar di dalam menengakkan agama Islam yang suci ini.


Selepas itu kami menziarahi pula Masjid Qiblatain atau masjid dua kiblat. Sejarah masjid ini kerana di masjid inilah RasulUllah mendapat perintah dari Allah SWT agar bertukar qiblat solat dari arah Masjidil Aqso ke arah BaitulLah di Makkah. Diceritakan RasulUllah dan para sahabat dulu bersolat menghadap Masjidil Aqso di Palestine selama 17 bulan sebelum mendapat perintah menukar arah qiblat tersebut. Perintah tersebut diturunkan ketika baginda sedang solat 4 rokaat. Dua rokaat menghadap ke Masjidil Aqso, manakala dua rokaat lagi menghadap BaitulLah di Masjidil Haram.

Seterusnya, kami ke Masjid Tujuh yang terkenal itu. Sekarang ini namanya saja masjid Tujuh tetapi yang tinggal hanya dua buah masjid yang kecil sahaja. Yang lain sudah tiada mungkin dirobohkan. Wallahu aklam. . Mengikut sejarahnya masjid ini dibina semasa peperangan Khandak atau Peperangan parit. Peperangan ini umat Islam berjaya kerana strategi yang di atur oleh RasulUllah agar mereka membina parit yang panjang dan lebar bagi menghalang tentera musuh memasuki bandar Madinah. Kata pemandu pelancung kami, ’tidak ada apa-apa istimewa masjid ini selain sejarah sahaja, tiada apa-apa fadhilat bersolat di dalamnya....”

Lawatan kami seterusnya ialah ke Pasar Tamar untuk membeli buah-buah korma dan sebagainya. Nasihat dari pihak syarikat umrah agar kami membeli korma di sini, kerana lebih murah dan lebih elok berbanding korma di Makkah nanti. Namun seperti yang saya katakan tadi, semua buah-buah korma ini adalah keluaran musim lepas. Korma baru musim baru akan masak pada bulan Ramadhan nanti.... Korma Ajwa atau yang dinamakan korma Nabi itu harganya 60 Riyal sekilogram. Buah-buah lain yang dijual termasuklah buah zaiton, buah tin, kismis, badam, kacang sepit dan sebaginya. Banyaklah juga kami berbelanja di sini.... Nak buat buah tangan bila balik nanti.... ...



.